Sunday, May 23, 2010

Ini Bukan ABC

Ada apa dalam kotak?

Menulis...

Itu bukan lagi rahsia! Semua orang tentunya tahu Izanor suka menulis. Lalalalala :D Tetapi, apa yang tidak diketahui ialah... sejak bila dan bagaimana ia bermula?

Sejak kecil lagi, Izanor memang suka membaca. Terlalu suka! Sebagai bukti, setiap kali isi borang biodata (sama ada hal rasmi sekolah atau buku biodata rakan-rakan) di garis tempat kosong ruangan hobi, membaca adalah aktiviti pertama yang mengetuai aktiviti menyanyi, bersukan, bermain hujan... ops! Seeloknya senarai hobi terhenti setakat ini sahaja agar kita tidak menyimpang jauh serta menyelamatkan para pembaca dari bahaya yang tidak terduga. Hehehe:P

Bukti yang kedua demi mengukuhkan lagi subjek penceritaan ialah, di sekolah dulu jawatan pustakawan telah disambar oleh Izanor dengan cara sering berkunjung ke perpustakaan ibarat rumah sendiri. Taktik yang amat berkesan lagi membahagiakan! 

Izanor baca apa sahaja bahan yang ada. Buku, surat khabar, majalah, poster, papan tanda dan lain-lain. Sejujurnya, Izanor mengakui hati lebih terpaut pada komik dan buku cerita. Tenaga membaca akan menjadi dua kali ganda pantas saat memegang Mutiara Naga:P

Izanor mula baca novel ketika di bangku sekolah rendah, darjah empat. Izanor jatuh suka! Bermula detik itu, lama-kelamaan setelah membaca berpuluh-puluh buah novel, Izanor sedar betapa menulis adalah satu perkara yang amat dekat dan tidak boleh dipisahkan dari hidupnya.

Menulis itu jiwa. Menulis itu nikmat. Satu anugerah yang hebat. Kepuasan menulis adalah sesuatu yang sukar digambarkan. Menaiki roller coaster, memenangi kejohanan olahraga, menonton bunga api mahupun percutian bersama keluarga... tidak ada bandingan tepat bagi menceritakan keseronokan menulis yang dialami.

Demi berkongsi dengan para pembaca tersayang, Izanor ada menyelitkan catatan diari semasa di tingkatan dua. Apa? Diari? Bukahkah kandungan diari sepatutnya rahsia dan tidak sesuai diperlihatkan kepada umum?

Ya, sepatutnya begitulah. (#_#)

Tetapi, diari Izanor ini ada sedikit kelainan. Di dalamnya tetap ada rahsia, catatan harian dan luahan perasaan. Namun, ia dalam bentuk yang selamat dan tidak memudaratkan mana-mana pihak. Mungkin agak berserabut, apa-apa pun... selamat melihat! ;) 



Ha, inilah yang dikatakan terlebih pandai! Okey, ceritanya ialah Izanor telah mencipta simbol-simbol bagi huruf A hingga huruf Z. Izanor mahu ada tulisan peribadi yang hanya difahami seorang diri. Ewah!

Pada mulanya, kesemua simbol tercatat lengkap pada sehelai kertas yang akan sentiasa dirujuk setiap kali mahu 'update'. Sampai satu masa, Izanor telah berjaya menguasai tulisan peribadi ini sepenuhnya. Atas dasar keyakinan yang tidak bertempat, Izanor tanpa secuit keraguan sesenang hati membuang kertas asli tersebut. Langsung tidak ada salinan pendua. Oh, bagusnya!

Setahun kemudian, Izanor sudah malas 'update' diari. Jika 'update' sekalipun, Izanor lebih senang menggunakan abjad ABC yang normal. Jadi... tentu semua pembaca sudah mampu mengagak pengajaran dari kisah ini, bukan?

Termenung terpacak tiga hari tiga malam sambil pegang kanta pun tak mungkin Izanor mampu baca simbol yang pelik-pelik ini!

(T__T) *penyesalan yang tidak berguna* 

Oh, pelik? Padahalnya, dulu dialah yang paling bangga sebab kononnya memiliki tulisan peribadi. Huhuhu~


Aduh, lucu dan tersengih juga dibuatnya mengenangkan memori ini :D Ada bentuk mahkota, daun, topi, burung, awan, bintang, bulan, matahari, mata, cendawan, tanda seru, tanda soal, kapal dan banyak lagi. Bijak, bijak... perasan bijak! Imaginasi terlampau seorang penulis! :P

Apa boleh buat, remaja zaman Izanor masih belum mengenali dunia internet yang mewujudkan ruangan seperti laman web dan blog. Sekarang senang, kita boleh kunci dan set privasi blog hanya untuk bacaan sendiri. Keinginan mencipta tulisan peribadi yang bukan-bukan pastinya tidak terlintas di fikiran! ;)

Ini bukan ajaib, ini bukan cubaan, ini betul-betul... kisah yang sebenar-benarnya~ 

Thursday, May 13, 2010

Penulis, Telefon dan Idea

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Ini cerita dua minggu yang lalu. Mungkin sudah agak lewat, tapi masih juga Izanor mahu mengisahkannya buat para pembaca. (Ala... mengaku sahajalah mahu mengadu. Mengisahkan konon! Hehehe)

 
Sabtu bersamaan dengan 1 Mei. Hari Buruh yang bertanggungjawab terhadap peristiwa itu. Peristiwa apa? Jeng, jeng jeng!

Sony Ericsson kesayangan telah hilang dari pandangan. Isk, isk...


Ya! Izanor kehilangan telefon yang belum mencecah dua tahun jagung usianya semasa pergi kenduri di rumah seorang teman rapat. Apa boleh buat? Hanya setakat itu jodoh perhubungan 'pemilik dan telefon' di antara kami.

Agaknya, Sony Ericsson sudah bosan dengan Izanor yang selalu mengabaikannya. Sony Ericsson kecil hati kerana Izanor lebih suka bertegur sapa dan bermain dengan keyboard laptop tanpa mengendahkan badan keypadnya. Sikap Izanor yang hanya mencari Sony Ericsson ketika mahu mengunci jam loceng semata-mata sememangnya tidak wajar.

Sebaik Izanor terjaga dari tidur atas khidmat yang dicurahkan oleh Sony Ericsson, Izanor akan kembali kepada laptop. Terus menghidupkan suis laptop dan berjam-jam menghabiskan waktu bersama. Apabila sudah kepenatan dan mahu melenakan mata, barulah bantuan Sony Ericsson diperlukan. Oleh itu, disebabkan segala penyebab yang menyeksakan lagi merana, Sony Ericsson pun membuat keputusan meninggalkan Izanor. Al-kisahnya~


Adakah teori sebegitu boleh dipercayai? Terpulanglah! Lalalalala;)


Sebenarnya, kehilangan telefon bukanlah sesedih mana. Rasa kecewa dan terkilan memang ada. Tapi, hanya di tahap biasa-biasa. Apa yang lebih menyedihkan ialah... kehilangan semua kandungan yang terdapat di dalamnya.


  • Kotak idea (terdapat beberapa idea yang tersimpan dalam fail draf. Idea tentang apa sahaja yang terlintas. Boleh digunakan untuk masa akan datang mengikut kesesuaian tema penulisan. Kebiasaannya, idea itu akan dimasukkan ke dalam laptop. Tapi itulah, belum sempat berbuat demikian idea telah terkubur bersama telefon yang entah di mana)

  • Nombor telefon rakan dan kenalan. Izanor hanya ingat dan hafal kurang dari sepuluh nombor. Alahai, sayang sangat.

  • Gambar-gambar yang menghuni My Picture. Sama ada yang dirakam sendiri atau dihantar oleh rakan-rakan. Lagi sekali, sayang sangat juga!

  • Alamat rumah, pejabat mahupun laman web yang penting-penting

Hmm, tak mengapalah. Walaupun kecewa, sedikit kesal dan terkilan dengan idea-idea yang berterbangan... Izanor akur atas apa yang terjadi. Semoga kehilangan ini menjadi garis permulaan kemunculan idea-idea baru yang lebih hebat dan mencurah-curah. Berusahalah! (Mengenggam penumbuk)


Patah tumbuh, hilang berganti. Telefon lama pergi, hadir telefon baru. Sebelum mengundur diri, saksikanlah bahan bukti yang terpapar di bawah ini. Semoga pembaca-pembaca sentiasa ’cool’ tidak kira apa jua dugaan yang dilalui. Senyum-senyum bunga, semua! Sampai kita bertemu lagi (^_^)



Julai 2008-Mei 2010 : Si Lama yang terasa diabaikan, merajuk dan hilang.



Mei 2010: Si Baru ini milik adik yang mempunyai dua telefon. Ya, Izanor gembira kerana ada jam loceng yang mampu menganggu dan mengatur kehidupannya seperti biasa. :D


Nota: Tujuan catatan ini dihebohkan bukan untuk minta simpati. Tetapi, sekiranya sebuah telefon baru muncul sebagai hadiah... semestinya tidak akan ditolak dan diterima dengan senyuman yang melebar hingga ke telinga. Hohoho:P Gurauan semata-mata, okey! (~_v)