Tuesday, November 23, 2010

Episod Bengkel-Bengkel

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Apa khabar semua pelawat bilik biru? Harapnya ceria dan masih sudi berkunjung walaupun pemiliknya sudah agak lama tidak membuat sebarang catatan. Kehidupan Izanor masih seperti biasa. Sentiasa sibuk berlumba lari dengan masa. Siapa yang menang? Izanor atau masa?


Huh, hampir tiga minggu tidak update blog. Tak perlulah tanya siapa yang menang! (Sindir Izanor pembuli kepada Izanor pasrah dibuli)

Baiklah. Maaflah ya... (tertunduk-tunduk gaya orang Jepun). Sepatutnya, tadi mahu jawab keputusan perlumbaan adalah seri, tapi... tak apalah! Abaikan saja. Izanor mengaku kesalahan sendiri dan bersedia terima kemarahan. Sekian. Mari kita tinggalkan babak dramatik ini. (>_<)


Hai, hai, hai! Sebenarnya, catatan kali ini berkisar tentang bengkel-bengkel yang dihadiri Izanor sepanjang 2010 yang sudah pun menjejak ke November. Hanya berbaki sebulan beberapa hari saja lagi sebelum kita melangkah tahun yang baru. Oh, gayanya seperti tidak wujud lagi bengkel-bengkel yang akan beroperasi di serata Malaysia sehingga Izanor sudah mahu menyimpulkan semuanya dalam satu catatan?


Bukan begitu. Bengkel-bengkel yang dianjurkan pelbagai pihak memang wujud dan masih meriah berlangsung. Cuma, berdasarkan status jadual kerja Izanor saat ini, rasanya tidak mungkin mampu hadir dan melibatkan diri lagi. Oleh itu... Izanor cukup berpuas hati dan pasrah dengan jumlah sebanyak empat buah bengkel yang menimbunkan pengalaman selazat Cadbury.


Mahu rasa secebis dari kelazatan yang serupa?;) Okey, bengkel pertama yang julung-julung kali Izanor pergi ialah Bengkel KJ Method. Catatan  mengenainya ada Izanor kongsikan semasa Januari yang lalu. Catatan yang tidak mempunyai gambar. Maklumlah, Izanor asyik mengelak dan menjauhkan tubuh dari lensa kamera.


Bila diajak bergambar... "Tak apa, tak apalah". Itu yang kerap diucap Izanor sambil pura-pura sibuk belek nota atau telefon. Maka, tiadalah gambar kenang-kenangan yang dapat diletak dengan tajuk-bengkel penulisan pertama. Sekian~


2) Bengkel Membina Personaliti Usahawan Berpengaruh.


Pada mulanya Izanor tak merancang untuk pergi. Usahawan? Tajuk bengkel yang tidak khusus terhadap bidang penulisan menjadikan Izanor kurang berminat. Eh, eh... memilih sungguh Izanor! (minda masih tumpul)Namun, atas pelawaan sungguh-sungguh seorang teman menyebabkan Izanor akhirnya terpengaruh.


Rata-rata peserta bengkel mempunyai asas perniagaan dan sedang menjalankan bisnes mereka sendiri. Perniagaan aksesori telefon, tudung, kasut Crocs, buku, dan banyak lagi. Semuanya menggunakan khidmat internet sebagai strategi pemasaran. Itu yang mahu menambah ilmu dan jadi seorang yang lebih berpengaruh. Pandang depan, belakang, kiri dan kiri lagi... isk, Izanor memang segan dikelilingi usahawan-usahawan yang hebat itu! (pandang kanan akan nampak dinding semata-mata)


Sebenarnya, tanpa disedari... Izanor pun berstatus usahawan juga secara tidak langsung. Menurut kata Puan Ainon (Sifu Pts), seorang penulis mempunyai buku. Buku itu adalah produk yang dijual. Jadi, penulis juga merupakan seorang peniaga. (tarik nafas lega dan tersengih lebar)


Banyak ilmu dan maklumat yang terpatri sepanjang separuh hari berkursus. Para peserta begitu rendah diri saling mencurah dan menabur apa yang dimiliki. Izanor rasa seronok sehingga tanpa diduga menaipkan nota penghargaan di Facebook. Itulah, mujurnya peluang sebaik ini mengetuk pintu minda Izanor yang pada mulanya hanya memandang sebelah mata. Belum cuba, belum tahu. Bila sudah pergi, baru teruja dan faham betapa indahnya perasaan berganding bahu! ^_^


Lihat Izanor di hujung sekali. Sikap peserta yang fobia kamera! Paling lambat dan siput bergerak ke tapak pengumpulan para model, itu yang strategik di tepi:P  Beria-ia pakai baju kurung sebab tak tahu kod pakaian berbengkel dengan para usahawan. Padahalnya... tidak ada sebarang kod pun (~_~)


3) Bengkel Merancang Kejayaan Buku dalam Pasaran.


Kejayaan buku? Jeng, jeng, jeng! Bunyinya sangat menarik dan berbaloi-baloi. Tangkai jantung Izanor terpanggil-panggil supaya menyertainya. Bengkel diadakan pada 19 September. Tarikh yang sama Izanor sepakat membawa diri ke Kuantan sebenarnya. Ingatkan tiada rezeki, tetapi... alhamdulillah atas sebab-sebab lain bengkel yang menyaksikan Izanor jadi pelajar tekun ini berjaya dihadiri.


Apa yang tekun sangat itu, Izanor? Tekun sebab duduk di baris paling hadapan. Harus tekun, ya!


Bengkel ini dikendalikan oleh Sifu Pts yang dihormati iaitu, Puan Ainon. Secara ringkasnya, pembentangan bengkel menjurus kepada daya usaha seorang penulis dan jalinan hubungan perniagaan yang efektif. Seorang penulis harus tahu informasi pasaran buku. Contohnya, Izanor menulis novel remaja. Jadi, Izanor mesti mengkaji, menyelidik dan memahami pasaran novel remaja. Senaraikan ciri-ciri novel yang laris terjual dan buat kesimpulan. Apa yang seronok, menarik dan bagusnya sesebuah novel itu?


Sebagai penulis yang ingin berjaya, kita mesti baca, baca dan baca! Membaca itu umpama modal dalam penulisan. Sila ringankan tulang dan urat mata supaya teruja bercahaya menatap buku-buku. Apa faedahnya menatap kaku? Jangan pura-pura naif... mesti membaca, ya! Baca blog pun okey juga! Hehehe.


Adik-adik yang sedang cuti sekolah pasti banyak masa lapang, kan? Ingin rasa riang dan rasa hebat? Ya... membacalah!


Wah, pandainya cucuk-cucuk suruh orang membaca... diri sendiri? Bila kali terakhir baca buku? Okey, okey... tak mahu sebut lagi. Selepas catatan ini siap Kak Izanor akan berlari mencari buku! (wajah kesal sambil tergeleng-geleng sedih-rindu mahu membaca, isk, isk, isk!)


Imej pelajar tekun. Hohoho! Sebenarnya, Izanor tiada pilihan. Kawan yang tolong cop tempat duduk di baris depan itu. Siap ada yang tolong cop? Ya, jika tidak mungkin saja duduk bersila di lantai kerana kuota peserta yang datang memang tidak menentu dan penuh hingga ke penjuru pintu. Percayalah~


Semasa bengkel berlangsung, semua umat Islam masih dilingkungi suasana Syawal. Maka, kami sebulat jiwa meraikan detik istimewa dengan berbaju tradisional dan menjamu kuih raya yang diseludup dari rumah masing-masing adanya :D


4) Bengkel Mini.


Bengkel yang terakhir ini dicadangkan oleh teman-teman penulis terdekat. Bilangan pesertanya pun kecil iaitu, seramai enam orang sahaja. Sesi bengkel mini dijalankan dalam suasana tidak formal. Kami bebas bertanya, bergurau dan mengusik peserta-peserta, termasuklah tenaga pengajar juga. Hehehe! Bagi sesi yang pertama ini kami membincangkan tajuk tanda baca dan tatabahasa.


Pembentang yang sedang berdiri itu ialah Umi Danial yang menulis buku Eksperimen Pertama-Tim BEST. Novel yang menceritakan keseronokan belajar tentang sains. Orangnya cukup comel dan aktif bercakap.


Beliau yang merupakan seorang editor berpengalaman telah menerangkan butir-butir terperinci berkenaan tanda baca. Alhamdulillah... banyak input yang diterima oleh Izanor yang masih baru dalam dunia penulisan. Semoga selepas ini, Izanor mampu mengurangkan kesalahan-kesalahan kecil semasa menulis. Semoga manuskrip yang dihantar akan menyejukkan mata dan hati editor bertugas.


Menuntut ilmu itu tiada penghujungnya. Izanor akan sentiasa memperbaiki kelemahan dan kekurangan yang ada. Menjejaki dan menembusi pintu bengkel-bengkel yang sentiasa terbuka. Semoga tahun 2011 membentangkan  kesempatan yang lebih beerti dalam perjuangan Izanor mencorakkan karya-karya seterusnya.

Thursday, November 4, 2010

Fujitsu Hitam Menawan Kalbu

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Kredit gambar: Facebook AinMaisarah


Sesiapa yang sering mengikuti setiap catatan dalam bilik biru ini pasti mengetahui masalah laptop Izanor yang sering sakit-sakit. Sudah dihantar ke klinik tetapi, masih juga sakitnya tidak sembuh-sembuh! Oleh itu, Pengurus yang prihatin dan AinMaisarah yang baik budi telah memberikan Izanor sebuah laptop baru.


Izanor amat terharu dan menghargainya! (T__T)


Fujitsu nama diberi. Laptop kelahiran Jepun ini telah berada di pangkuan Izanor sejak Selasa minggu lalu. Maka, genaplah sepuluh hari ia jadi saksi temujanji Izanor bersama Alakudin, emel yahoo, facebook, dan beberapa laman web yang lain.

Sesungguhnya, Fujitsu diberi layanan kelas pertama. Plastik yang membaluti muka skrin masih tidak dibuka. Begitu juga plastik kulit di bahagian atas (mungkin boleh disebut kepala laptop). Setiap kali tamat tugasan, Fujitsu akan disimpan selamat dan selesa ke dalam kepompongnya (beg laptop) semula. Izanor tidak sesekali membiarkannya terpampang atau terbentang tanpa makna. Sekadar berhenti rehat kurang satu jam pun, ketebalan dan kemampatan dinding beg pasti melindungi Fujitsu.

Ya! Izanor menjaga kebajikan Fujitsu dengan begitu rapi. Sangat-sangat skema! ;) Semua itu dilakukan demi memastikan Fujitsu kekal sihat dan cergas. Izanor harap Fujitsu tercegah dari sebarang penyakit. Terselamat dan kebal menghadapi serangan virus-virus yang berleluasa.


Semoga menulis berjuta-juta perkataan. Chaiyok! Chaiyok!


Itulah kata-kata azimat yang diucapkan Kak Ain kepada Kak Izanor selepas Fujitsu bertukar tangan. Wah… berjuta-juta perkataan? (Bayangkan taburan huruf-huruf yang melintas dan berlari-lari di hadapan mata!) Sebagai sahabat dan mentor yang dihormati, pesanan berharga itu Izanor kunci dalam kotak hati.


Senyum-senyum bunga. Sampai kita bertemu lagi ;)