Thursday, January 28, 2010

Menghadiri Bengkel Penulisan

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Pada Ahad yang lalu, Izanor berkesempatan menghadiri bengkel penulisan di Taman Permata. Bengkel yang bertajuk KJ Method itu dikendalikan oleh Puan Ainon. Itulah kali pertama dalam sejarah. Bengkel penulisan terulung yang berjaya diikuti Izanor sepanjang bergelar penulis. Alhamdulillah! Selepas ini, Izanor berazam mahu menempah tempat ke pelbagai bengkel lagi bagi meningkatkan ilmu dan teknik penulisan.

Bengkel KJ Method menggambarkan cara mudah dan efektif bagaimana kita boleh menulis banyak buku secara serentak. Satu perkongsian yang amat menarik. Terima kasih banyak dikalungkan buat Puan Ainon. Gaya penerangannya ringkas, padat dan santai. InsyaAllah... Kak Izanor pasti mencuba dan mengamalkannya. Selain ilmu yang ditimba, Kak Izanor turut dapat beramah mesra dan menambah kenalan baru. Ada yang telah sedia berhubung di Facebook dan akhirnya bersua muka di sana. Ada juga yang langsung tidak dikenali tetapi cepat serasi. Terdapat tiga orang bakal penulis yang juga berasal dari Seremban. Seronok bertemu teman sekampung :D

Nota penting : Sentiasalah mencatat setiap butir peristiwa yang dilalui, info yang dibaca, maklumat yang didapati semasa berbual dan sebagainya di dalam sebuah arkib peribadi. Jangan berhenti! Di kemudian hari, tanpa sedar segala bahan terkumpul dan mampu dijadikan idea untuk 3 buah buku sekaligus. Boleh jadi juga lebih! Kak Izanor kebiasaannya membawa buku nota kecil ke mana-mana. Jika terlupa, Kak Izanor akan menggunakan telefon bimbit dan kembali merekod di dalam fail apabila pulang ke rumah. Adik-adik yang berminat mahu jadi penulis bolehlah mencuba teknik ini. Dengan umur yang masih muda, perjalanan adik-adik masih panjang. Banyak peristiwa dan pengalaman yang akan ditempuh. Penulisan buku yang banyak pasti mampu terhasil. Bertuahnya! :) 

Sekian saja catatan yang terungkap dari Bilik Biru kali ini. Semoga semua pembaca sihat dan ceria melalui kehidupan seharian. Sampai kita bertemu lagi =)

(Oh, ya. Tentang kuiz siapakah watak utama di dalam novel Aku Mahu Superbibik, jawapannya ialah : Ina dan Bibik. Terima kasih kepada semua yang menyertai!)

Thursday, January 21, 2010

Jodoh Perkenalan Dengan AinMaisarah

Assalamualaikum dan salam sejahtera,


Seperti yang dijanjikan, berikut adalah catatan jodoh perkenalan di antara kami berdua:)


Izanor yang suka buku dan gila buku tentulah akan sentiasa berkunjung ke kedai buku. Semasa keluar jumpa kawan, tengok wayang, beli baju, cari kasut dan atas tujuan apa sekalipun... kedai buku tidak pernah terkeluar carta Top 3:D Sama ada mahu membeli atau tak, Izanor tetap melangkah masuk ke dalam kedai buku Popular. Huh, macam ada magnet pula!


Tersebutlah kisah di suatu musim yang tak dapat dipastikan tarikhnya. Dalam pada membelek buku-buku yang tersusun, mata terpandang tajuk 'Tak Bisa Memilihmu'. Pegang dan baca sinopsis di belakang. Selepas itu letak semula di rak yang tersedia.


Hari lain di bulan yang lain. Ternampak pula buku Impiana dan Aku Mahu Popular. Masa itu baru sedar dan perasan yang ketiga-tiga buku ditulis oleh penulis yang sama. Hati mula berdetik tertanya-tanya! Siapa Ain Maisarah ya? (Apa nak buat, Kak Izanor memang tertinggal berbulan-bulan jauh dibandingkan adik-adik semua)


Oktober 2008. Sesi rehat di celah keributan timbunan fail yang melanda pejabat. Izanor jalan-jalan cuci mata melawat halaman di internet dan terjumpa rumah Pink. Segalanya telah terjawab! Barulah kenal insan yang bergelar AinMaisarah. Wow! Banyak buku yang sudah tertulis dan diterbitkan. Terkagum dalam diam dan tergerak mahu membaca hasil tulisan AinMaisarah yang sangat berkaliber itu.


Izanor memilih buku Aku Mahu Popular kerana itu merupakan karya yang pertama. Pulang kerja petang yang sama terus serbu kedai buku Popular. Tapi, kehabisan stok pula! Isk!


Esoknya, Izanor kembali ke rumah Pink dan beli secara terus! Gerenti dapat terus ke pintu rumah! Tak perlu risau lagi! Sebaik urusan pembayaran dibuat, memang bahagia berhari-hari sementara menunggu motor Postman :D


Januari 2009. Izanor hantar emel kepada AinMaisarah dengan tujuan berbincang tentang dunia penulisan. Berhajat mahu mendengar pengalaman dan mengetahui perancangan yang terperinci supaya dapat menulis dengan konsisten.


Selepas bertemu dan bercerita, keselesaan menjelma. Izanor sangat tidak menyangka bahawa di pihak AinMaisarah dan Tuan Pengurus sememangnya mahu mencari penulis bersama. Begitulah segalanya bermula!


"Kenyang memakan, kenyang menjual. Harapkan sebuku roti , tetapi ditawarkan pula sebuah kilang dan resepi membuat roti!”


(Adik-adik, janganlah buat laporan pada wartawan terkenal : Karam Singh Walia pula! Kak Izanor saja cuba bakat cipta peribahasa yang tak seberapa. Saja seronok-seronok=)


Alhamdulillah. Kak Izanor yang bernaluri seorang penulis tidak mampu menggambarkan kegembiraan di atas kerjasama dengan AinMaisarah. Penulis berbakat besar, berkaliber, menjadi idola dan kesayangan ribuan remaja telah memilih diri ini.


Bertuah! Ramai yang telah menyatakannya. Kak Izanor pasti ramai lagi yang akan menyebut ungkapan serupa. Kak Izanor sendiri terfikir-fikir dan sedar status kecil sebutir pasir di lautan penulisan. Kak Izanor berasa amat bertuah kerana dianugerahkan peluang hebat ini sehingga tiada kata yang dapat menceritakannya. (Pengakuan : Kak Izanor popular sebagai Ratu Air Mata di kalangan kawan-kawan rapat. Huhu... saat ini air mata sudah bergenang! Terharu dalam senyuman:)


Terima kasih Ain, kerana membawa Izanor ke dalam Tim AinMaisarah. Terima kasih juga dikalungkan buat Tuan Pengurus yang banyak mencurah idea, pengalaman serta tunjuk ajar. Terima kasih kerana Tuan Pengurus sudi menguruskan perjalanan kerjaya penulisan di antara kita bertiga. Jasa baik Ain dan Tuan Pengurus hanya tuhan yang mampu membalasnya.


Kak Izanor juga tidak melupakan para pembaca dan adik-adik yang banyak memberi galakan. Terima kasih semua! Sekarang, Kak Izanor mahu kembali ke alam dongeng. Perlu mencantikkan Cinderellah dan mengajar ilmu memikat si putera raja! Sampai kita bertemu di catatan yang lain.

Thursday, January 14, 2010

Salam Pengenalan

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Semoga ceria dan bersemangat:)

Akhirnya blog ini dapat dilahirkan dan bertentang mata dengan para pembaca. Berhempas pulas mengalahkan pendaki gunung, mengambil masa berhari-hari juga untuk merealisasikannya. Iyalah, Izanor memang tak mahir dan tak biasa dengan pelbagai aplikasi yang disediakan. Merangkak dan terhegeh-hegeh membelek satu demi satu. Itu tak kena. Ini tak betul. Memilih latar halaman saja berjam-jam! Sudahlah lambat, cerewet pula. Hehe! Namun, alhamdulilah... di hari Jumaat yang indah ini blog Izanor dilancarkan dengan catatan yang pertama=)

Seperti yang semua sedia maklum, Izanor adalah penulis bersama AinMaisarah. Kerjasama kami terjalin menerusi novel Aku Mahu Superbibik yang dijangka terbit semasa Pesta Buku bulan Mac ini. Selepas itu, AinMaisarah dan Pengurus AinMaisarah telah menawarkan Izanor sebagai penulis bersama bagi projek yang seterusnya.

Kami telah berbincang dan mencapai persetujuan pada 1 Januari yang lalu. Alhamdulilah! Semoga kerjasama ini membawa seribu berkat dan rahmat. Manuskrip pertama iatu prolog Cinderellah vs Rapunzelah telah diserahkan. Ini merupakan tajuk pertama untuk siri Dongeng Sri Bangsar. Kami akan cuba mencurah dan menghasilkan yang terbaik.

Kepada semua pembaca dan peminat AinMaisarah, adik-adik yang jauh dan dekat... terima kasih kerana menyokong Kak Izanor. Terima kasih kerana sudi mengeratkan hubungan kita di Facebook. Terima kasih kerana sentiasa mendoakan yang baik dan memberi kata-kata semangat.

Untuk catatan yang akan datang, Kak Izanor mahu kongsikan cerita perkenalan dengan Kak AinMaisarah. Sampai bertemu nanti:)