Thursday, March 31, 2011

Sinopsis Cinderellah VS Rapunzellah


Aduan Kepada Konsortium Pari-Pari


Bantulah saya! Saya adalah mangsa dera keluarga tiri sendiri! Saya sudah cuba telefon teledera berkali-kali tetapi tiada operator yang mengangkat. Itu sebabnya saya minta bantuan Konsortium Pari-Pari. Saya harap sangat dapat dilepaskan daripada deraan mental dan fizikal yang sungguh tidak tertanggung ini!

Setiap hari saya diminta melakukan kerja rumah tanpa henti. Memasak, membasuh, mengemas rumah dan melipat kain baju adalah rutin yang mesti. Saya hanya dibenarkan tidur tiga jam setiap hari dan hanya boleh makan setengah pinggan nasi. Paling tidak tahan, setiap saat dan ketika… telinga didera dengan caci maki. Kepala saya juga turut ditunjal-tunjal sesuka hati. Sungguh! Saya sudah tidak tahan dengan hidup saya yang sebegini!

Tolonglah pihak konsortium pari-pari. Lepaskan saya dari belenggu masalah ini! Saya percaya dengan kebolehan konsortium. Malah rakan baik saya iaitu Bawang Putih turut mencadangkan perkhidmatan konsortium pari-pari. Dengarnya Bawang Putih berjaya mencincang lumat Bawang Merah yang kejam itu. Bawang Merah juga sudah bertukar menjadi bawang goreng dengan bantuan hebat pari-pari. Oh, saya juga mahu kakak-kakak tiri saya menerima nasib begitu juga!

Tolonglah saya wahai Konsortium Pari-Pari!


*Novel pertama Dongeng Sri Bangsar yang akan 'blink-blink' di pasaran buku remaja bulan April ini. Nantikan kisah dongeng yang berkonsepkan lucu dan pening terbitan Blink Book Sdn. Bhd. Semoga terhibur dan gumbira la la la! ;)

Friday, March 25, 2011

Sinopsis Aku Mahu Superbibik



“Saya mahu bibik yang pandai gubah bunga, baiki paip, fasih berbahasa Inggeris, mahir menjahit dan ada lesen memandu serentak!” beritahu Ina yakin.

“Amboi, tingginya impian awak! Bibik pun manusia biasa seperti kita semua. Bukannya Superman!” Farah tersentak.

“Superman?” Ina mengulang perkataan itu. “Betul cakap awak, Farah! Bibik memang manusia biasa. Tetapi saya tidak mahu yang biasa-biasa. Saya mahu bibik yang hebat dan luar biasa! Saya mahu seorang superbibik!”

Itulah impian Shazarina! Memiliki seorang bibik sempurna. Demi mencapainya, dia sanggup melakukan temu ramah ala-ala mencari peserta rancangan realiti TV. Hanya yang benar-benar layak akan diambil bekerja!

Demam pencarian bibik juga tersampuk kepada kumpulan The Wannababes. Tambah lagi, Shasha kini mempunyai tiga bibik secara serentak. Itu membuatkan Fasharina binti Tan Sri Hisham, Ketua The Wannababes rasa tercabar. Fasha yang punya dua bibik bertekad menyamai kehebatan Shasha! Fasha perlu mempunyai tiga bibik juga! Itu trend terkini orang kaya-kaya!

Apakah kesudahan pencarian bibik oleh Ina dan Fasha? Ketahui kesudahannya dalam novel Aku Mahu Superbibik!
* * * * *
*Ya. Setahun sudah berlalu, baru kini penulis mahu letak sinopsisnya. Walaupun di portal PTS ada memaparkannya, Izanor yang baru terbuka mata dan sedar keselesaan para pembaca itu paling utama-maka kewujudan sinopsis ini penting buat sesiapa yang sudi berkunjung ke bilik biru. Harapnya kesangsian dan ragu-ragu di hati mereka yang berminat terhadap novel Aku Mahu Superbibik bertukar ceria sekaligus terangguk-angguk memahami... oh, begini jalan ceritanya!;)

Thursday, March 17, 2011

Hari Pink

Sabtu yang lalu kami berkampung dan berukhwah di Pasir Besar. Sesiapa yang tinggal di Negeri Sembilan pasti tahu: hampir dua jam perjalanan dari Seremban. Rombongan kami sebanyak 4 buah kereta dan ditambah lagi 4 buah kereta (mungkin lima, hmm tak pasti sedara mana yang kongsi kereta dan jumlah penumpang kereta) ke majlis pertunangan sepupuku. Okey, saksikanlah beberapa klik sempena Hari Pink yang bersejarah itu!






Mengalahkan artis, ada banyak cahaya kamera yang menuntut perhatian. Keliru den! :D

Tema majlis Pink dan Purple sebenarnya. Kami pilih dan undi pakai PINK:D