Wednesday, April 13, 2011

Ada Apa Dengan Cinderellah VS Rapunzellah?

Assalamualaikum dan salam sejahtera,


Tik-tok, tik-tok jarum jam berputar. 10 hari lagi Pesta Buku akan bermula! PBAKL 2011 yang dinanti-nanti hingga menjelma dalam mimpi di malam hari. Ha, sudah rancang perjalanan ke sana? Bersiap dengan senarai buku-buku yang mahu dibeli? Oh, tak perlukan senarai hanya beberapa judul yang sudah dihafal dalam kepala? OK-OK! Apa? Senarai terlalu panjang yang apabila dilipat jadi setebal katalog Giant? Fuh...


Okey, tak kira senarai pendek atau panjang, agaknya Cinderellah VS Rapunzellah ada tersenarai atau tidak? Soalan cepu-emas berjuta karat dan kilau. Hehehe!


Dup-dap dup-dap loceng jantung yang berlagu! Berdebar memikirkan reaksi pembaca terhadap novel pertama yang berkisarkan alam dongeng ini. Yalah, satu pengalaman yang lain dari lain. Sangat berbeza dengan cerita Superbibik yang mesra majikan lagi mesra masyarakat. Jadi, secuit kebimbangan adalah rasa yang tak mampu dihindarkan. Tak mahu risau tapi ter-risau juga-juga! Apa pun, Kak Izanor positif bahawa novel Cinderellah VS Rapunzellah akan menyinar dan menambat hati para peminat novel remaja.


Unik, lucu, pening dan menghiburkan! Dengan ini Kak Izanor kongsikan sedikit sedutan khas buat pembaca-pembaca yang meminati karya AinMaisarah, yang menyukai gandingan Kak Izanor dan Kak Ain, yang tidak jemu mengalirkan sokongan, juga tak dilupakan semua pencinta buku yang mendokong kuat industri kesayangan kita.


You're the best! ^_________________^

* * * * *


Sewaktu itu, perasaan Cinderellah bagaikan gunung berapi yang tunggu masa meledakkan laharnya. Wajah membengis seperti harimau yang tidak cukup makan. Mata mencerun memandang Rapunzellah yang sudah dianggap hanya sekecil ikan. Bila-bila masa boleh diratah dan ditelan!
 
(Cinderellah yang emosional, zas!)
 
 
“Awak berdua sendiri lihat kehadiran saya ke majlis ini amat dinantikan oleh Putera Mahkota. Kami memang serasi bersama!” Rapunzellah sempat lagi menutur kesimpulan kepada segala hujahnya. Matanya tajam memandang Tizz dan Fizz dan menghadiahkan jelingan maut.
 
(Rapunzellah yang suka berlagak bagus, eh-eh-eh!)
 
 
“Suka hati abanglah hendak cakap apa pun. Saya tidak hairan! Saya tetap suka cerita dongeng! Dapat pakai gaun kembang beropol-ropol. Ada tongkat sakti. Boleh main dengan penyapu terbang. Oh, indahnya!Sampai sekarang pun saya masih berharap supaya dapat merasai kehidupan di alam dongeng!” ucap Tizz Tiranah bersungguh-sungguh.

(Peminat fanatik kisah-kisah dongeng :D)
 
 
“Cinderellah! Milo! Tolonglah berbaik dan bersahabat buat sementara waktu. Kita harus cari putera yang ditakdirkan untuk Rapunzellah. Kita tidak ada masa yang panjang. Tidak perlu bergaduh seperti budak yang tidak matang.” Fizz Fazlullah menegur.
 
(Ketua pasukan yang sentiasa jadi pendamai)
 
 
“Mengapa kita tidak terfikir mengenai baju kelabu asap? Fizz, Tizz, Cinderellah dan Milo semuanya tidak minat warna kelabu. Hairan! Tidak dinafikan warna kelabu itu kelam dan tidak menarik. Tetapi, mesti ada keistimewaan yang terpendam juga. Itu yang kita kena kaji! Boleh buat tajuk buku... ada apa dengan kelabu? Menarik, bukan?” Milo terus berleter panjang di saat semua orang bergerak pulang penuh longlai. Melayan kehampaan yang dalam. Nampaknya, hanya angin yang sudi mendengar omelan Milo!
 
(Milo yang perlu dijahit mulut kucingnya, hohoho!)
 
 
“Habis tercemar tangan saya yang suci!” Sharifah Famanis menyentuh saki-baki makanan dalam besen untuk dipindahkan ke mulut plastik.
 
Sharifah Faleya mendengus kuat. “Huh, tangan kakak pun tercemar juga!”

(Dua Sharifah yang terlampau tak sedarkan status diri, erk!)


*Perancangannya mahu update blog selang dua hari sempena keterujaan menyambut pesta yang bakal berlangsung bermula 22 April minggu depan. Hm, mampukah? Kita tunggu dan lihat, okey;)

Thursday, March 31, 2011

Sinopsis Cinderellah VS Rapunzellah


Aduan Kepada Konsortium Pari-Pari


Bantulah saya! Saya adalah mangsa dera keluarga tiri sendiri! Saya sudah cuba telefon teledera berkali-kali tetapi tiada operator yang mengangkat. Itu sebabnya saya minta bantuan Konsortium Pari-Pari. Saya harap sangat dapat dilepaskan daripada deraan mental dan fizikal yang sungguh tidak tertanggung ini!

Setiap hari saya diminta melakukan kerja rumah tanpa henti. Memasak, membasuh, mengemas rumah dan melipat kain baju adalah rutin yang mesti. Saya hanya dibenarkan tidur tiga jam setiap hari dan hanya boleh makan setengah pinggan nasi. Paling tidak tahan, setiap saat dan ketika… telinga didera dengan caci maki. Kepala saya juga turut ditunjal-tunjal sesuka hati. Sungguh! Saya sudah tidak tahan dengan hidup saya yang sebegini!

Tolonglah pihak konsortium pari-pari. Lepaskan saya dari belenggu masalah ini! Saya percaya dengan kebolehan konsortium. Malah rakan baik saya iaitu Bawang Putih turut mencadangkan perkhidmatan konsortium pari-pari. Dengarnya Bawang Putih berjaya mencincang lumat Bawang Merah yang kejam itu. Bawang Merah juga sudah bertukar menjadi bawang goreng dengan bantuan hebat pari-pari. Oh, saya juga mahu kakak-kakak tiri saya menerima nasib begitu juga!

Tolonglah saya wahai Konsortium Pari-Pari!


*Novel pertama Dongeng Sri Bangsar yang akan 'blink-blink' di pasaran buku remaja bulan April ini. Nantikan kisah dongeng yang berkonsepkan lucu dan pening terbitan Blink Book Sdn. Bhd. Semoga terhibur dan gumbira la la la! ;)

Friday, March 25, 2011

Sinopsis Aku Mahu Superbibik



“Saya mahu bibik yang pandai gubah bunga, baiki paip, fasih berbahasa Inggeris, mahir menjahit dan ada lesen memandu serentak!” beritahu Ina yakin.

“Amboi, tingginya impian awak! Bibik pun manusia biasa seperti kita semua. Bukannya Superman!” Farah tersentak.

“Superman?” Ina mengulang perkataan itu. “Betul cakap awak, Farah! Bibik memang manusia biasa. Tetapi saya tidak mahu yang biasa-biasa. Saya mahu bibik yang hebat dan luar biasa! Saya mahu seorang superbibik!”

Itulah impian Shazarina! Memiliki seorang bibik sempurna. Demi mencapainya, dia sanggup melakukan temu ramah ala-ala mencari peserta rancangan realiti TV. Hanya yang benar-benar layak akan diambil bekerja!

Demam pencarian bibik juga tersampuk kepada kumpulan The Wannababes. Tambah lagi, Shasha kini mempunyai tiga bibik secara serentak. Itu membuatkan Fasharina binti Tan Sri Hisham, Ketua The Wannababes rasa tercabar. Fasha yang punya dua bibik bertekad menyamai kehebatan Shasha! Fasha perlu mempunyai tiga bibik juga! Itu trend terkini orang kaya-kaya!

Apakah kesudahan pencarian bibik oleh Ina dan Fasha? Ketahui kesudahannya dalam novel Aku Mahu Superbibik!
* * * * *
*Ya. Setahun sudah berlalu, baru kini penulis mahu letak sinopsisnya. Walaupun di portal PTS ada memaparkannya, Izanor yang baru terbuka mata dan sedar keselesaan para pembaca itu paling utama-maka kewujudan sinopsis ini penting buat sesiapa yang sudi berkunjung ke bilik biru. Harapnya kesangsian dan ragu-ragu di hati mereka yang berminat terhadap novel Aku Mahu Superbibik bertukar ceria sekaligus terangguk-angguk memahami... oh, begini jalan ceritanya!;)

Thursday, March 17, 2011

Hari Pink

Sabtu yang lalu kami berkampung dan berukhwah di Pasir Besar. Sesiapa yang tinggal di Negeri Sembilan pasti tahu: hampir dua jam perjalanan dari Seremban. Rombongan kami sebanyak 4 buah kereta dan ditambah lagi 4 buah kereta (mungkin lima, hmm tak pasti sedara mana yang kongsi kereta dan jumlah penumpang kereta) ke majlis pertunangan sepupuku. Okey, saksikanlah beberapa klik sempena Hari Pink yang bersejarah itu!






Mengalahkan artis, ada banyak cahaya kamera yang menuntut perhatian. Keliru den! :D

Tema majlis Pink dan Purple sebenarnya. Kami pilih dan undi pakai PINK:D 

Sunday, February 27, 2011

Klik!


Kisahnya semalam Izanor keluar jalan-jalan petang (bukanlah jalan sangat pun, ada tugas sebenarnya) bersama seorang teman merangkap pemandu dan juga jurugambar. Teman 3 dalam 1!:D Kami pergi ke taman yang pada mulanya redup dan berangin sepoi namun rebas-rebas di saat akhir.


Bergambar! Itulah tujuan utama kami mengunjungi taman yang tak biasa dijejaki itu walaupun tak jauh mana dari rumah. Patutnya pergi bersenam atau berjogging atau apa saja yang melibatkan gaya hidup sihat, kan? Okey-okey, lain kali kami pergi pakai baju dan kasut sukan. Semalam memang tak sempat. Mana nak bergambar, nak pilih sudut-sudut yang sesuai-dengan nak tebalkan muka dengan orang yang lalu-lalang lagi... hehehe! 


Dalam masa kurang satu jam, adalah 29 KLIK yang berjaya dirakam. Aksi di tangga, di lorong, sebalik pokok ala heroin hindustan, aksi termenung dan banyak lagilah. Selepas membelek dan menilai kesemua aksi yang ditampilkan, hanya satu yang paling menepati jiwa Izanor. Hanya satu? Satu?


Ah, inilah nasib model tak profesional. Sudahlah tak pro, tak suka bergambar pula! Huhuhu, apa nak buat? Nampak gayanya kena usaha kuat lagi. Mungkin (tak ada mungkin-mungkin la, mesti!) kena buat sesi fotografi yang lain. Minggu-minggu depan bergantung kepada tahap kesibukan si teman. Yalah, nama pun berfungsi 3 dalam 1-kena tempah buat temujanji awal-awal. Hui, bukan senang okey!


Ada sesiapa nak tahu, nak tengok gambar yang jadi pilihan Kak Izanor? Betul jujur nak tengok? Baiklah... sila sediakan ubat mata terlebih dulu. Sebarang kecederaan tidak akan ditanggung oleh persatuan aksi-aksi berfoto sedunia. Okey, okey... semua sudah faham dan tanpa sangsi lagi gambar akan dipaparkan.


TADAAAaaa!


Aksi cermin kereta? Ini yang paling menarik? Sukar dipercayai bukan? Hai... itulah... ini yang paling okey. Yang lain lagi 28 itu... erk, tak mahu komen.


Oh, ya lupa mahu beritahu apa motif yang sibuk bergambar sampai sanggup mencemar duli ke taman. Aha, gambar utama di Facebook yang sudah lama tak bertukar (hampir setahun) gambar yang BIRU itu sudah sampai detiknya turun takhta:P Gambar yang sesuai juga diperlukan untuk ruangan berkongsi cerita dalam novel. Selain itu, gambar-gambar penting sebagai persediaan urusan yang dikendalikan syarikat penerbitan.


Hmm! Gambar kita harus kelihatan menarik dan berkarisma. Berkarakter serius namun santai. Bergaya profesional namun mesra. (Eceh perasan diri bagaikan pakar)  Gambar tak beremosi ala-ala kad pengenalan itu tak digalakkan, ya!:) Huh, bukan senang menggabungkan kesemua ciri-ciri dan selamba beraksi-berdepan dengan kamera.  *geleng 1000 kali


Tentulah aksi cermin kereta tak termasuk dalam senarai gambar yang mampu dibanggakan. Ya, faham! Di kesempatan yang lain, Kak Izanor pasti berkongsi dengan para pembaca selepas berjaya mendapat gambar yang jadi idaman kalbu. Jika bukan di sini, pasti saja di Facebook.


Sampai bertemu lagi. Senyum-senyum bunga! ^__^

Saturday, February 19, 2011

Misi Tiga Buku

Bila jadi juara lari 100 meter, kita dapat medal. Bila cukup tidur seperti bayi, mata tidak secomel Panda. Hu! Setiap apa yang dilakukan pasti ada hasilnya. Sama ada hasil yang tiba ke pangkuan atau dirancang sejak mula-dicatat dalam nota hati.


Misi tiga buku!


Selepas menyiapkan tiga manuskrip, senarai impian berikut akan dilaksanakan:




1) Beli novel yang bila di-google mendapat keputusan sebanyak 22 juta carian, fuh! 




2) Beli kompilasi si kuat shopping. Eh, mampu ke? *Jeling-jeling tabung*




3) Beli yang satu ini saja. Kompilasi di atas tunggu misi yang seterusnyalah, daa~


4) Cuti menulis selama seminggu. Hore! (Ada apa dengan seminggu? Tujuh hari yang pasti tak terasa berlalu, hmm... tapi tak mungkin sanggup cuti hingga sebulan, isk)


5) Marathon membaca! Baca, baca dan baca buku yang baru dibeli + buku yang sudah lama dibeli. Konon-konon pandang kiri ada BUKU, toleh kanan nampak BUKU, ditenggelami lautan BUKU dan dikelilingi bangunan BUKU. Wahhh! *Imaginasi terlampau*


Kenapa senarai satu dan dua ialah mahu beli novel Inggeris?

Hmm, seumur usia Izanor baru pernah beli sebuah novel Inggeris. Selain dari memperbaiki rekod sedia ada, kedua-dua tajuk jadi pilihan sebab tarikan magnetnya. Sinopsis-tema-kulit buku dan taraf kelarisannya, yezza!


Kenapa terdesak sangat mahu membaca? Tak ada senarai hasrat yang lain ke?

Tipulah jika kata tak membaca. Itu hobi bin habit. Setiap hari pun membaca. Cuma, suasana membaca tak seperti yang diharapkan. Terkejar-kejar dan berlumba-lumba dengan tugasan menulis + banyak lagi aktiviti yang dilakukan seharian. Baru dua tiga muka surat, iklan! Hu, membaca yang tak cool langsung! Hai... memang tak dapat jumpa saat duduk berjam-jam, membaca terpedihkan mata seperti zaman dulu-dulu :D Al-kisahnya.


Misi ini sengaja dicatatkan di sini sebagai peringatan dan amaran buat penulis. Biar semua pembaca tahu. Selagi tak tercapai misi selagi itulah manuskripnya tak siap, kan? Huhuhu. Bukan saja amaran, tetapi juga semangat dan motivasi. Mesti cepat-cepat tulis! Baiklah, minta jari dulu. Ada tanggungjawab besar yang sedang memanggil. Sampai bertemu lagi, ya! ;)

Wednesday, February 9, 2011

Lazat Berkrim Disukai Ramai!


 

Terlebih senduk dari kuah.

 

 


Okey! Lihat tak? Lihat tak? Tulisan yang berpusat atas blackforest? Orang lain yang teruja-terlebih perasan-sibuk bergambar dengan kek. Hehehe! Hari lahir bonda kesayangan sebenarnya. Kami saja sambut awal sebab adik pertama dan ketiga ada di rumah. Tarikh yang sepatutnya nanti mesti ada yang MC. Itu yang letak dua tarikh sekaligus:P Kesimpulannya, selama tiga hari Kak Izanor menulis ditemani krim gebu yang lazat (sempat ke hari yang ketiga? Bukan hari kedua lagi sudah licin?)


Semoga penulisan yang terhasil akan lazat berkrim dan disukai ramai. Senyum-senyum bunga! ^_^