Saturday, August 27, 2011

Model Baju Hari Raya

2007: Poster filem Ungu Violet


2008: Kempen iklan Sayangi Alam Sekitar


2009: Mungkin penyokong JAMBU?


2010: Muka hadapan kotak Koko Krunch

  • Sebelum 2007 memang tiada tema warna. Gambar ada tapi bukan dari kamera digital.
  • Ya! Keempat-empat lokasi pengambaran hanyalah di rumah. Tidak mampu (malas) ke studio.
  • Ya! Tema sama warna sering mengelirukan semasa mahu asingkan baju para lelaki.  

Apa tema warna baju raya 2011?

(^___________^)

Wednesday, August 24, 2011

Catatan Ramadhan 3: Tiba-tiba Jadi Chef

Cerita dua minggu lalu: Sembang adik lelaki dan kakaknya.

"Saya sudah dapat tapak gerai. Esok kita berniagalah. Kakak masak nasi beriani!"

*NASI BERIANI*


Kakak terpana! Kerut di dahi dan kerut di hati. Kakak dia yang tak pandai masak ini disuruh masak NASI BERIANI? Goreng pisang tak apa lagi. Bertuah punya adik.


(Memanglah tahu cara masak dan pernah kecoh-kecoh di dapur demi seperiuk nasi beriani. Masakan untuk diri sendiri dan famili. Jika berombak atau tercucuk perut pun kita-kita saja. Ini sembang berniaga. Ini sembang tentang kepuasan pelanggan yang sentiasa betul. Nope! Tiada ruang untukmu wahai BERIANI)

"Kita jual benda lainlah..."

Jawab kakak selepas berminit-minit terdiam dengan kerut yang masih tertimbul.

"Semua benda orang lain sudah jual. Saya sudah buat siasatan."

Balas adik lelaki yang sungguh bercita-cita.


Nasi terkeras-nasi terlembik-kurang rempah-terlebih kuning atau oren-kuah dal tak pekat-ayam kurang perisa dan... bilik kebal dalam otak kakak ligat menyenaraikan kesan-kesan buruk lalu menyingkirkan terus menu NASI BERIANI dengan jayanya. Kakak buat keputusan muktamad tanpa perlukan penasihat. Kakak yang kena jadi tukang masaknya pun.


Satu hari dihabiskan dengan berfikir-pilih menu dan buat akaun modal (+______+)


Kami sepakat ingin berniaga rojak! Percayalah bahawa resepi diambil dari internet. Sangat skema dan ikut bulat-bulat sukatan bahan-bahan yang tertera. Sangat percaya masakan ini pasti wow punya.


Atas dasar percaya dan skema, Izanor yang seumur hidupnya tak pernah memasak ROJAK dengan terbuka hati bertukang di dapur dalam status berpuasa. Ya! Dengan bahagia (naif) menjual air tangannya tanpa kritikan Cik Jari dan Encik Tekak.


Waktu berbuka puasa hari yang sama:

"Kurang masam dan kurang manis."

Itulah komen dari ahli panel (emak merangkap ketua chef ) minit pertama menjamah rojak yang pada anggapan Izanor pasti wow kelazatannya.

"Kuah tak rasa kuah rojak."

Ahli panel kedua (adik bongsu yang alergi dapur) berwajah serius sehingga tak mahu habiskan baki rojak di pinggan.

"Belum pandai lagi."

Hanya sekadar merasa satu dua sudu. Tindak balas ahli panel ketiga (ayah) sambil tersenyum-senyum.


Rasa okey-okey. Memanglah apa yang dikata para ahli panel itu benar. Siapa suruh masak tanpa merasa? Siapa suruh masak tanpa melakukan ujian malam sebelumnya? Jadi-jadi-jadi... terima sajalah hakikat terbentang. 


Adik lelaki yang baru pulang (dia berbuka di tapak bazar Ramadhan) dengan wajah ada senyum-angkat baki rojak dan letak di atas meja.

"Kuah rojak rasa okey, kan?"


Tak dapat dipastikan lahirnya reaksi itu sebenar-benar kerana okey atau sebab perut kosong yang terisi apa pun tak ada bezanya. Mungkin juga reaksi neutral seorang peniaga.

Maafkan daku wahai para pembeli kerana terlalu positif.

(T_________T)


Itu hanya cerita hari pertama. Hari seterusnya sudah yakin dan berganda positif sebab sesi masakan berlangsung sebelum sahur (tamat era kenaifan). Hari yang lain juga sudah ada penambahan menu. Wah!    




-11.30 malam: Proses pembekuan-



-1.00 pagi: Paparan khas dari muka periuk-



-Tiga rasa 4.00 petang-



-Menanti keberangkatan 4.30 petang-


Cabaran membikin mee rojak:

-Ada banyak bahan-bahan (leceh dan remeh dan kena ingat)
-Ada banyak langkah-langkah (merebus-memotong-mengisar-menggoreng)
-Kami berbincang (bertikam lidah) potongan timun-tauhu-cucur udang yang sesuai.


Memanglah ada para askar yang membantu. Tapi, mulut Izanor tak henti menegur-asyik ulang ayat sama dengan vokal tinggi: "Eh! Salahlah! Jangan potong macam itu!" atau "Eh! Salahlah! Letak timun dulu baru tauge!" dan beberapa ayat sedondon dengannya. Siapa yang belum kenal pasti cop Izanor si bos yang cerewet. Huhuhu!


Maklumlah...tiba-tiba jadi chef. Tiba-tiba jadi peniaga. Hah! Mana boleh berperangai normal dan buat tidak kisah. Nanti dapat surat dari pembeli-pembeli yang rasa tertipu dan terus tubuhkan page Facebook-Beribu yang LIKE dan kutuk-kutuk? *imaginasi terlampau hihihi*



-Hasil papan nama kehabisan dakwat pen marker-


Rojak Special atau Rojak Sedap sudah selalu orang guna. Kami fikir-fikir mahu pilih nama apa. Adik lelaki yang cadangkan nama ROJAK GEBU. Nama tercetus dari gelaran (ejekan) salah seorang sepupu. Dia memiliki tubuh sihat dan tembam. Dari jauh atau dari dekat memang kelihatan gebu tak ragu-ragu.



-Okeylah. Dapat bantu tingkatkan skil mengira. Kira modal bukan main detail-



-Itu dia sepupu gebu (kurang gebu kerana berpuasa). Sempat online sementara masuk kerja-




Lihatlah sangat kaya-sangat gebu dan berbaloi-baloi dijual RM 2.00 kan?


Rekod berniaga hanyalah selama 5 hari. Tiada pelanggan yang fanatik rojak (ini bukan fakta sedih ya). Tiada pelanggan yang ketagih dan termimpikan rasa rojak (juga bukan fakta sedih) Kami ada komitmen lain terhadap rumah dan kehidupan peribadi. Lagipun, sangat penat tiap hari. Tambah pengalaman itu yang penting. Hmm... apa pun memang seronoklah! :D

Wednesday, August 17, 2011

Catatan Ramadhan 2: Cahaya Ilahi Lagu Nasyid Kesukaan



Dulu masa sekolah rendah pernah nyanyi lagu ini wakil kelas untuk pertandingan nasyid. Kategori darjah lima dan enam tak salahnya. Hehehe! Antara banyak-banyak lagu nasyid yang pernah menyentuh ke dasar hati, lagu ini memang masuk carta top 5. Irama dan liriknya amat menusuk kalbu.


Semalam tiba-tiba terkenang dan laju sahaja jari-jari menaipkan barisan lirik yang masih terhafal. Jumpa dan baru tahu oh, tajuknya Cahaya Ilahi! Terus cari di You Tube dan ulang dengar sampai berbelas kali. Sambil dengar sambil nyanyi dan sambil menulis. *harapnya jiran sebelah tak ternganggu dengan vokal syahdu pecah lemak antara jam 3.00 ke 4.00 pagi hihihi.


Dula yang masa darjah 5 Melur, rakaman semasa kami berlatih vokal dinyanyikan oleh kumpulan lain. Memang tak ingat lagi nama kumpulannya. Namun, klip yang terpapar ini adalah dari kumpulan Hijjaz dan dendangan mereka langsung tidak mengecewakan.

Selamat mendengar dan menghayati lagu ini! Sambil buat gaya genggam tangan aras pinggang. Okey;D   

Sunday, August 14, 2011

Tidak Berjodoh dengan Boboiboy

Cerita hari Sabtu:


Adik perempuan yang bongsu sedang tonton Doraemon. Tiba-tiba adik lelaki  muncul di ruang tamu- mencapai alat kawalan TV sambil mulutnya ringan bertanya:


"As umur berapa?"

"Enam belas..."


"Umur 16 mana boleh tengok kartun lagi."

*****


Cerita keesokan harinya: Hari Ahad sudah tiba!


Lima minit sebelum jam tujuh. Tubuh selesa di sofa, alat kawalan jauh yang sudah berada dalam pegangan ditekan-tekan. Okey! Sudah lihat info dan amat puas hati kerana rancangan yang dinanti-nanti akan bersiaran tak lama lagi. Lalu menjerit (kecil) teruja:


"As! Kejap lagi Boboiboy mula!"

Sepuluh minit pertama kami menonton dengan tenang. Adik lelaki muncul dan As menegur dengan kata-kata yang berbunyi:

"Abang tak mahu tanya kaklong umur berapa?"

Kaklong terpinga-pinga.

"Siapa yang pengaruh agaknya? Mesti ada orang yang suruh kaklong tengok Boboiboy."

As ketawa-ketawa. Tangan adik lelaki sudah panjang mengambil alat kawalan TV. Dia selamba menukar siaran lain seiring meletusnya satu jeritan (ganas + kecewa):

"Janganlah tukar!"

*****


Dua cerita di atas termaktub pada bulan Jun yang lalu. Sebenarnya, tak kisahlah umur berapa pun kan? Kita tengok rancangan TV, drama atau berita sekalipun sebab minat. Dalam kes Izanor, memang tak ada siapa yang pengaruh. Tak ada siapa yang suruh. Sejak iklan animasi Boboiboy terpapar di TV3 hati melonjak-lonjak mahu tonton. Comelnya-comelnya-comelnya! Suka sangat tengok gaya-tengok pergerakan dan tengok warna-warna gambar yang terang. Wah hebatnya-hebatnya-hebatnya!


Okey, nampaknya perasaan ini tercetus hasil pengaruh iklan. Baiklah!:D


Apa pun memang naluri suka tengok benda-benda comel. Dan... Boboiboy tersangatlah comel! Kita tak perlu bercakap tentang Boboiboy. Ambil contoh Shrek: semua peringkat umur pun tengok. Terpulanglah citarasa dan minat masing-masing. Adik lelaki saja cakap macam itu. Konon-konon perli dan menyedarkan tahap umur yang tak layak tengok kartun atau animasi lagi. Eleh! Sebenarnya dia ada rancangan yang hendak ditonton waktu itu. Kalau tak ada, dia pun sama terkebil-kebil dan tersengih tengok gelagat Boboiboy yang cool.


Kak Izanor tulis novel remaja. Okey apa layan Boboiboy, kan? (Fakta menyedapkan hati sendiri dan minta undi sokongan)




Selepas meng-Google baru tahu hakikat Boboiboy yang mampu terbahagi kepada tiga.


Oh. Inilah barisan pelakon-peranan dan kekuasaan yang dimiliki.


*Super Makcik Probe yang PINK*


*Buaian sotong yang melambai-lambai*


Jom ramai-ramai pindah ke sini. Cop jadi jiran Boboiboy!

Rumah baru Boboiboy. Ada basikal setia menanti untuk dikayuh-kayuh lalala.


Orang kuat Boboiboy. Bravo!


Percayalah yang sejak Boboiboy bersiaran mengisi hari Ahad yang ceria, belum sekali pun Izanor dapat tonton satu episod penuh. Kadang-kadang terlupa. Ingatkan hari Sabtu. Selalu tanya adik dan buat dia tertekan. Dengan wajah ganas dia akan menjawab: Hari Ahadlah! Esok!


Esoknya yang sememangnya hari Ahad: hari berkemas + hari bersantai. Macam-macam aktiviti yang dilakukan. Sedar-sedar sudah pukul 9 malam. Huhuhu!


Hari Ahad juga dikenali sebagai hari balik ke kampung. Hari berjalan-jalan mengukur keluasan tanah. Maka... sama ada dalam perjalanan pulang atau masih di lokasi asing yang tidak dapat dipastikan kewujudan televisyen-alat kawalan juga semestinya bukan milik kita. Temujanji bersama Boboiboy hanya tinggal bayangan. Huhuhu!


Rekod yang tercipta setakat ini hanyalah tiga kali. Ya! Ada tiga episod Boboiboy yang pernah ditonton. Sekarang ini sudah tayangan episod yang ke berapa ya? 


Pengalaman satu: baru separuh cerita dan baru masuk iklan kedua. Baru mengenali Boboiboy semata-mata. Baru dapat rasa teruja tengok Tok Aba bancuh Hot Chocolate yang wow! Apakan daya... terganggu oleh adik lelaki yang hobinya menukar siaran sesuka jari.


Pengalaman dua: Kali ini sudah kenal Yaya dan Gopal. Cuma tak tahu-belum dapat tangkap lagi apa jenis-jenis kuasa yang ada. Episod yang tak mampu ditonton dengan aman damai kerana serangan raksasa perampas alat kawalan TV masih berleluasa. Bosan kan? Balik-balik dia yang mengacau daun. (Biar jadi raksasa kejap supaya catatan ini tambah menarik wakaka)


Pengalaman tiga: Yeah! Meraih kejayaan berganda-ganda sebab dapat bertentang mata dengan Boboiboy dan Adu Du dari mula cerita hingga tamat. Sangkanya begitulah... namun dalam tempoh tayangan ada saat-saatnya sepasang mata sempat berlayar. Terkelip-kelip lalu terpejam. Terkebil-kebil lalu terjaga. Ceh!


Eh, kenapa Boboiboy ada dalam kapal angkasa? Tiba-tiba semua orang berkumpul depan kedai Tok Aba, tadi bukan sedang melompat-terbang ala berlawan dengan pihak musuh? Adu Du cakap tentang apa? Kenapa Adu Du gelak-gelak agaknya?


Ceh! Serupa tak tengok langsung. Satu apa pun tak faham. Seolah duduk berkurung dalam bilik biru dan buat skrip Boboiboy versi sendiri. 


Terkini: Ahad 14 Ogos

Tadi berbuka beramai-ramai dengan sanak saudara di rumah wan. Ahad minggu lalu pun tidak berkesempatan. Lagipun di bulan Ramadhan-suasana persiapan berbuka yang tak memungkinkan TV ditonton pada waktu itu. Sama ada sibuk mengangkat pinggan-membancuh air-mengemas dapur dan lain-lain atau... terlupa lagilah adanya.


Itulah... tidak ada JODOH Izanor dan Boboiboy. 

(T_________T)   



*Gambar-gambar kredit untuk Google dan Boboiboy Facebook

Tuesday, August 9, 2011

Catatan Ramadhan 1: Alas Meja Merah Cool

Tadaa!


Al-kisahnya hari pertama puasa-lagi setengah jam sebelum masuk waktu berbuka, baru tersedar yang meja makan tidak berlapik dengan moleknya. Sejarah hari-hari biasa kami sekeluarga jarang menggunakan meja ini untuk makan. Ada satu lagi meja bulat di dapur yang sering dijadikan tempat berkumpul. Walaupun meja di dapur hanya mempunyai 3 kerusi, langsung tak jadi masalah buat penghuni rumah yang waktu makannya sungguh tak sehaluan. Ada yang suka makan cepat. Ada yang lambat balik ke rumah maka akan jadi orang terakhir yang makan. Ada juga yang diet langsung tak ingin makan malam. Oh! Tiada istilah makan tengahari kerana memang tiada siapa di rumah waktu siang hari antara jam 12.00 hingga 2.00pm. Kecualilah pada hujung minggu, itu pun jika tiada kenduri-kenduri.


Berbalik pada cerita asal, meja makan utama yang memuatkan 8 kerusi tiba-tiba jadi penting dan tidak lagi sekadar jadi penempatan adik bongsu membina bangunan dengan buku-buku sekolahnya. Hanya ada alas kain yang kuning itu semata-mata tanpa ditemani alas plastik. Bahaya! Atas faktor cara makan yang tak berapa tertib, alas plastik amat diperlukan sebagai pembenteng taburan nasi mahupun tumpahan kuah yang dijangka berleluasa. Maklumlah, aktiviti mengisi perut tanpa memikirkan masa depan si alas meja. Hmm!


Alas plastik yang sepatutnya bertindak sebagai 'bodyguard' si alas kuning sudah lama terhumban (dihumbankan) kerana fizikalnya yang koyak-koyak tak mampu diterima lirikan para tetamu. Alas plastik yang baru nampaknya masih belum berpeluang menunjukkan kehebatannya. Masih terpamer dan tergulung di kedai-kedailah jua.


Hendak dijadikan penyedap cerita, alas mengkuang yang dulu berjasa juga kini hilang entah tersorok di sudut mana. Mungkin terhimpit di bawah susunan kotak-kotak dalam stor sana. Kotak-kotak bersaiz XXL yang memang hati tak kuasa mengangkatnya.


Dalam keadaan lagi setengah jam hendak berbuka, emak mencadangkan satu pembaharuan. Satu sejarah tercipta! Sejenis alas meja yang boleh tahan unik dan cool rupa bentuknya terpilih. Selepas digunting-gunting lalu terbentanglah empat segi merah yang tersurat tulisan-tulisan putih di bahagian hujung.



Tadaa! Untuk imej yang lebih jelas. Rasa seronok atau sadis, ya?


Ada sesiapa yang berminat? Kita perasan cool sangat guna alas meja terkini, entah-entah ramai lagi yang sudah cipta sejarah yang sama di rumah masing-masing. Hari ini sudah hari ke 10 kita berpuasa, kan? Maknanya sudah sepuluh hari jugalah si merah itu berbakti di sana.

Sampai bertemu lagi. Senyum-senyum bunga!

(^_________^)

Friday, August 5, 2011

HERO Yakin Berucap!


Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Awal Julai yang lalu Izanor berpeluang (mencari peluang) mengikuti kursus HERO Yakin Berucap yang dikendalikan oleh Akademi Hero. Ia diuruskan Cik Azzah yang memiliki pengalaman bertahun-tahun dalam bidang latihan. Terdapat banyak lagi kursus-kursus menarik yang ditawarkan. Bagi sesiapa yang ingin meningkatkan ilmu dan berminat mendaftarkan diri bolehlah menjenguk ke portal hebat ini:D


Sejujurnya, Izanor sejak kecil lagi memang mengalami sindrom darah G ketika di pentas. Tidak perlu sampai ke pentaslah, di hadapan kelas sahaja, jumlah rakan-rakan tidak cecah 10 orang pun biasanya gemuruh juga. Dengan rakan-rakan yang hari-hari bertentang mata pun boleh rasa gemuruh? Ini kan pula orang asing yang tak pernah bertegur sapa. Huhuhu! Itulah, atas kesedaran diri yang sangat berkobar-kobar, Kak Izanor tekad menjejakkan kaki ke kursus. 


*Menggenggam penumbuk sambil mendongak merenung awan* 


Sesi kursus berlangsung dengan penuh harmoni. Ketiga-tiga peserta amat teruja kerana kami hanya bertiga. Kononnya, jika perlu berucap nanti pasti tidak berapa gemuruh, maklumlah hanya bertiga. Bukannya tiga belas atau tiga puluh. Hanya tiga orang! Eh, berapa kali mahu ulang fakta yang sama? Maaflah, seakan tidak percaya, jumlah peserta yang termaktub hanya tiga. Tiga?


Kak Izanor, peserta Syuk dan peserta Ismail. Pengisian kursus secara keseluruhannya sungguh teliti, menarik dan bermanfaat. Gaya penyampaian pengelola kursus: Cik Azzah, memang santai dan seronok. Membuatkan kami bertiga terasa seperti berada di ruang tamu rumah sendiri. Juga di tepian pantai. Ada detiknya terasa seperti di tadika riang ria kerana suasana riuh dengan gelak tawa.


Peserta Syuk paling neutral. Maka, dia jadi sasaran dan mangsa usikan. Peserta Ismail memang ramah dan setiap kata-katanya terlontar dalam bentuk humor. Hah, jangan tak tahu yang peserta Izanor jadi kuat bercakap dan tidak kering idea mengenakan orang. Ada-ada saja yang hendak disampuk dan dikritik. Tangan pula asyik terangkat, macam-macam soalan yang ditanya!


Ketika peserta Syuk dan peserta Ismail menceritakan pengalaman masing-masing, Izanor sibuk mahu tahu lebih lanjut. Bila Cik Azzah tanya siapa yang mahu ambil giliran buat persembahan pertama, kami bertiga saling menunjuk: Dia-dia-dia! Selepas dari itu, ada yang menawarkan diri dengan rela. Ada juga waktunya, peserta Ismail dengan selambanya mencadangkan Izanor. Amboi! Mahu tidak mahu Izanor bangun saja sambil berazam, hm... tunggulah balasan yang setimpal selepas ini.  


Hai memang tidak tercerita momentom kursus yang dirasai. Seronok sampaikan tidak sedar pun sudah tengahari. Berhenti makan dan solat. Selepas itu, lagi sekali tidak sedar jarum jam hampir menjejak angka lima. Wah! Bersambung ke malam pun rasanya masih sanggup :D



Lima minit pertama. Tugasan melukis wajah sendiri. Sekali pandang tidak ada rupa. Dua kali pandang tetap tidak serupa.



Empat keping kad bergambar diberi. Buat cerita bebas tanpa mengira kelogikannya.




Dalam hati ada letupan mercun pop-pop!


Hasil karangan berita sepuluh minit.

"Irfan Yusof, berumur 20 tahun bukanlah seorang selebriti. Namun, beliau amat popular di kalangan penduduk Kampung Pasir Berdengung. Beliau amat suka menaiki rakit sehingga meraih gelaran Irfan Rakit. Terkini, satu kejadian aneh terjadi ketika Irfan dalam perjalanan menghantar kelapa ke kampung seberang.


Dua ekor obor-obor dilaporkan menemani Irfan dengan persembahan nyanyian. Beberapa minit kemudian, sekumpulan Panda muncul sambil bertepuk-tepuk tangan. Akibat dari berita ini, ramai orang mengandaikan Irfan sudah hilang akal. Satu edisi siasat akan menyusul selepas ini."


Reaksi para pendengar: Walaupun cerita seakan tidak logik tapi logik juga sebenarnya. Hmm!


Okey, setiap seorang akan mendapat tiket percuma apabila cerita Irfan Rakit ditayangkan di pawagam:D



Serius memikirkan esei tugasan seterusnya. Kali ini mesti buat skrip ucapan pula. Kami bertiga mencabut undi dan Izanor dapat kertas yang bertulis: Hari Merdeka. Huhu tak suka. Terus buat muka sedih dan minta tukar dengan peserta Syuk. Dia dapat tajuk Pemenang Anugerah. Peserta Ismail akur dan pasrah dengan hasil cabutannya, iaitu: Majlis Amal.


Peserta Syuk dan peserta Ismail memang berdedikasi. Langsung tidak buat perangai. Peserta Izanor yang sibuk mahu tukar tajuk namun hanya dibalas dengan sengihan kerang. Kenapa tak minta tukar tajuk dengan peserta Ismail? Nampak sangat kuat berangan mahu menang anugerah, kan? Hehehe:P



Bukan saja jadi peserta kursus yang paling bising-banyak tanya dan banyak songeh. Juga memegang rekod paling banyak makan keropok bantal.



Dup dap dup dap. Inilah detik paling mencemaskan! Persembahan yang tadi masih dibolehkan memegang kertas. Kali ini tidak sama sekali. Walaupun penontonnya hanyalah 3 orang, peserta Syuk dan peserta Ismail serta Cik Azzah selaku pembimbing, tapi... tetap berdebar seram sejuk jari tangan!


> Ton suara tinggi rendah tidak sekata.
> Panahan anak mata yang tidak fokus. Sepatutnya pandang orang ramai, bukannya botol mineral.
> Cubaan berkawat kaki ke kiri kanan. Gambar berdiri setempat itu hanyalah ilusi.


Ya, begitulah komen dan kritikan yang dihadiahkan. Syukurlah, senarainya tidak sepanjang lima muka surat. 



Yeah. Jadi peserta terakhir yang pulang. Sungguh berkomitmen orangnya! Sengaja mahu serap aura ruang kursus supaya semakin tertanam keyakinan HERO di hati. Padahalnya, menumpang kereta Cik Azzah dan sudah tentulah harus tunggu dia selesai berkemas lalu pulang bersama. Hehehe~


Walaupun sudah menyertai kursus, tak mungkinlah jadi HERO serta-merta. Banyak lagi latihan yang harus dilakukan. Latihan dari segi memantapkan skil ucapan. Mengawal nada suara. Menyebut perkataan dengan bulat-bulat dan penuh. Teknik berhadapan dengan penonton tanpa melilaukan anak mata. Hmm... semua ini tak mudah namun Kak Izanor akan berusaha.


Keyakinan hanya akan bertumbuh selepas kita membiasakan diri dan melakukannya berulang-ulang kali. Biarpun terjatuh mahupun tersungkur, yang penting keberanian kita untuk terus mencuba. Selamat datang sindrom darah Y!


*bekas peserta kursus yang pandai-pandai mencipta sindrom darah Y. Membentuk sesuatu yang positif, apa salahnya? :) Darah Y=Yakin.

Wednesday, August 3, 2011

Izhar Arif Syah

*Memperkenalkan Izhar Arif Syah*


Muka tak puas hati + bosan


Superman Help!

Agaknya dia rimas. Siapalah serba ungu yang dukung dia? Itu yang dia bergerak tak reti diam. Bertukar lokasi dari bilik ke dapur pun masih buat perangai. Gambar gegar ala The Flash. Hish!


Bolehlah. Baru sopan sikit. Tahu hormat orang yang mendukung. Muka kita peluh-peluh berminyak sebab dia tahu tak, hah?


Ini paling tertib. Tapi... tengoklah muka dia yang klon gambar pertama. Tak kiralah kita pakai baju ungu ke baju pelangi ke, dia tetap tak puas hati. Apa pun dia menang sebab dapat markah kecomelan 100%. Yeah~


Si comel ini sepupu Kak Izanor yang terbaru. Kelahirannya di bumi bertuah berusia kurang dari 5 bulan. Kami sudah tiga kali bertemu. Detik yang pertama adalah pada hari ketujuh dia melihat dunia. Kali kedua di kampung keluarga sebelah sana, kenduri cukur jambul dia (gambar baju pelangi di kerusi khemah itulah). Baru-baru ini, Sabtu yang lalu di kampung kami. Atuk mengadakan kenduri doa selamat dan menyambut Ramadhan. Biasalah, perjumpaan dengan sepupu-sepupu berlangsung seiring dengan kenduri-kenduri. Maka kod pakaiannya tidak dapat tidak baju kurunglah jua:D


Izhar tak banyak ragam sangat. Memang seronoklah melayan pot pet dengan dia. Bukan main lebar lagi dia tersengih-sengih. Main sembur air liur atau berlakon konon termuntah pun dia pandai. Hehehe! Tapi, itulah... tak tahu bila dalam gambar dia jadi berlagak. Amboi kerut ya muka dia.


Secara rasminya Izhar meraih gelaran sepupu termuda dan terkini. Bekas pemegang gelaran ini sudah jatuh ke tangga kedua nampaknya. Tahun lepas Kak Izanor ada bercerita tentang dia juga. Kisya sepupu kedua termuda yang bunyi bercakapnya ala orang German.


Senyum-senyum bunga! Sampai bertemu lagi!

^_____________^ 

Tuesday, August 2, 2011

Sinopsis Duyung Diva & Si Tanggang




Aduan Kepada Konsortium Pari-Pari

Nama pengadu: Tengku Maharajalellah

Bagi pihak: Puteri Arellah binti Tengku Maharajalellah


Aduan: Masalah serius! Bantulah anakanda beta! Katanya dia bosan jadi duyung. Dia merungut kerana kerjanya hanya selam-menyelam, minum air masin dan makan ikan bilis semata-mata. Walhal itu memang rutin duyung. Tiada siapa boleh persoalkannya!


Puteri Arellah juga bagaikan tersampuk aura manusia biasa. Dia ingin menari di daratan dan mahu lompat bintang bagi meluahkan ekspresi kegembiraan. Baginya, punya ekor hanya menyusahkan! Anakanda beta juga mahu makan sotong celup tepung dan daging salai di daratan. Teringin memakai pakaian si puteri daratan yang indah berkerlipan. Paling dasyat, Puteri Arellah mahu jatuh cinta dengan putera kacak berkaki dua. Itu melanggar undang-undang duyung yang berjuta tahun tidak digugat!


Beta harap Konsortium Pari-Pari boleh beri motivasi. Jadikan Puteri Arellah duyung bersyukur dan tahu asal usul diri. Jika perlu, panggillah pakar motivasi seantero alam dongeng iaitu Dr. Fadhilah Kamsilah. Segala kos beta tanggung. Apa yang penting, Puteri Arellah berubah. Itu misi utama, semata-mata.


Yang benar,
Tengku Maharajalellah
28 Mac Tahun Dongenglah



Ini novel kedua bagi siri Dongeng Sri Bangsar. Buku ini ditulis oleh AinMaisarah bersama Ida Munira. Diterbitkan pada April 2011 seiring dengan novel Cinderellah VS Rapunzellah. Bagi sesiapa yang belum lagi mendapatkannya dan mahu tahu kisah pengambaraan mereka di alam lautan, bolehlah ringankan kaki ke kedai buku berdekatan. Selamat melayari lautan dongeng!:D