Friday, August 5, 2011

HERO Yakin Berucap!


Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Awal Julai yang lalu Izanor berpeluang (mencari peluang) mengikuti kursus HERO Yakin Berucap yang dikendalikan oleh Akademi Hero. Ia diuruskan Cik Azzah yang memiliki pengalaman bertahun-tahun dalam bidang latihan. Terdapat banyak lagi kursus-kursus menarik yang ditawarkan. Bagi sesiapa yang ingin meningkatkan ilmu dan berminat mendaftarkan diri bolehlah menjenguk ke portal hebat ini:D


Sejujurnya, Izanor sejak kecil lagi memang mengalami sindrom darah G ketika di pentas. Tidak perlu sampai ke pentaslah, di hadapan kelas sahaja, jumlah rakan-rakan tidak cecah 10 orang pun biasanya gemuruh juga. Dengan rakan-rakan yang hari-hari bertentang mata pun boleh rasa gemuruh? Ini kan pula orang asing yang tak pernah bertegur sapa. Huhuhu! Itulah, atas kesedaran diri yang sangat berkobar-kobar, Kak Izanor tekad menjejakkan kaki ke kursus. 


*Menggenggam penumbuk sambil mendongak merenung awan* 


Sesi kursus berlangsung dengan penuh harmoni. Ketiga-tiga peserta amat teruja kerana kami hanya bertiga. Kononnya, jika perlu berucap nanti pasti tidak berapa gemuruh, maklumlah hanya bertiga. Bukannya tiga belas atau tiga puluh. Hanya tiga orang! Eh, berapa kali mahu ulang fakta yang sama? Maaflah, seakan tidak percaya, jumlah peserta yang termaktub hanya tiga. Tiga?


Kak Izanor, peserta Syuk dan peserta Ismail. Pengisian kursus secara keseluruhannya sungguh teliti, menarik dan bermanfaat. Gaya penyampaian pengelola kursus: Cik Azzah, memang santai dan seronok. Membuatkan kami bertiga terasa seperti berada di ruang tamu rumah sendiri. Juga di tepian pantai. Ada detiknya terasa seperti di tadika riang ria kerana suasana riuh dengan gelak tawa.


Peserta Syuk paling neutral. Maka, dia jadi sasaran dan mangsa usikan. Peserta Ismail memang ramah dan setiap kata-katanya terlontar dalam bentuk humor. Hah, jangan tak tahu yang peserta Izanor jadi kuat bercakap dan tidak kering idea mengenakan orang. Ada-ada saja yang hendak disampuk dan dikritik. Tangan pula asyik terangkat, macam-macam soalan yang ditanya!


Ketika peserta Syuk dan peserta Ismail menceritakan pengalaman masing-masing, Izanor sibuk mahu tahu lebih lanjut. Bila Cik Azzah tanya siapa yang mahu ambil giliran buat persembahan pertama, kami bertiga saling menunjuk: Dia-dia-dia! Selepas dari itu, ada yang menawarkan diri dengan rela. Ada juga waktunya, peserta Ismail dengan selambanya mencadangkan Izanor. Amboi! Mahu tidak mahu Izanor bangun saja sambil berazam, hm... tunggulah balasan yang setimpal selepas ini.  


Hai memang tidak tercerita momentom kursus yang dirasai. Seronok sampaikan tidak sedar pun sudah tengahari. Berhenti makan dan solat. Selepas itu, lagi sekali tidak sedar jarum jam hampir menjejak angka lima. Wah! Bersambung ke malam pun rasanya masih sanggup :D



Lima minit pertama. Tugasan melukis wajah sendiri. Sekali pandang tidak ada rupa. Dua kali pandang tetap tidak serupa.



Empat keping kad bergambar diberi. Buat cerita bebas tanpa mengira kelogikannya.




Dalam hati ada letupan mercun pop-pop!


Hasil karangan berita sepuluh minit.

"Irfan Yusof, berumur 20 tahun bukanlah seorang selebriti. Namun, beliau amat popular di kalangan penduduk Kampung Pasir Berdengung. Beliau amat suka menaiki rakit sehingga meraih gelaran Irfan Rakit. Terkini, satu kejadian aneh terjadi ketika Irfan dalam perjalanan menghantar kelapa ke kampung seberang.


Dua ekor obor-obor dilaporkan menemani Irfan dengan persembahan nyanyian. Beberapa minit kemudian, sekumpulan Panda muncul sambil bertepuk-tepuk tangan. Akibat dari berita ini, ramai orang mengandaikan Irfan sudah hilang akal. Satu edisi siasat akan menyusul selepas ini."


Reaksi para pendengar: Walaupun cerita seakan tidak logik tapi logik juga sebenarnya. Hmm!


Okey, setiap seorang akan mendapat tiket percuma apabila cerita Irfan Rakit ditayangkan di pawagam:D



Serius memikirkan esei tugasan seterusnya. Kali ini mesti buat skrip ucapan pula. Kami bertiga mencabut undi dan Izanor dapat kertas yang bertulis: Hari Merdeka. Huhu tak suka. Terus buat muka sedih dan minta tukar dengan peserta Syuk. Dia dapat tajuk Pemenang Anugerah. Peserta Ismail akur dan pasrah dengan hasil cabutannya, iaitu: Majlis Amal.


Peserta Syuk dan peserta Ismail memang berdedikasi. Langsung tidak buat perangai. Peserta Izanor yang sibuk mahu tukar tajuk namun hanya dibalas dengan sengihan kerang. Kenapa tak minta tukar tajuk dengan peserta Ismail? Nampak sangat kuat berangan mahu menang anugerah, kan? Hehehe:P



Bukan saja jadi peserta kursus yang paling bising-banyak tanya dan banyak songeh. Juga memegang rekod paling banyak makan keropok bantal.



Dup dap dup dap. Inilah detik paling mencemaskan! Persembahan yang tadi masih dibolehkan memegang kertas. Kali ini tidak sama sekali. Walaupun penontonnya hanyalah 3 orang, peserta Syuk dan peserta Ismail serta Cik Azzah selaku pembimbing, tapi... tetap berdebar seram sejuk jari tangan!


> Ton suara tinggi rendah tidak sekata.
> Panahan anak mata yang tidak fokus. Sepatutnya pandang orang ramai, bukannya botol mineral.
> Cubaan berkawat kaki ke kiri kanan. Gambar berdiri setempat itu hanyalah ilusi.


Ya, begitulah komen dan kritikan yang dihadiahkan. Syukurlah, senarainya tidak sepanjang lima muka surat. 



Yeah. Jadi peserta terakhir yang pulang. Sungguh berkomitmen orangnya! Sengaja mahu serap aura ruang kursus supaya semakin tertanam keyakinan HERO di hati. Padahalnya, menumpang kereta Cik Azzah dan sudah tentulah harus tunggu dia selesai berkemas lalu pulang bersama. Hehehe~


Walaupun sudah menyertai kursus, tak mungkinlah jadi HERO serta-merta. Banyak lagi latihan yang harus dilakukan. Latihan dari segi memantapkan skil ucapan. Mengawal nada suara. Menyebut perkataan dengan bulat-bulat dan penuh. Teknik berhadapan dengan penonton tanpa melilaukan anak mata. Hmm... semua ini tak mudah namun Kak Izanor akan berusaha.


Keyakinan hanya akan bertumbuh selepas kita membiasakan diri dan melakukannya berulang-ulang kali. Biarpun terjatuh mahupun tersungkur, yang penting keberanian kita untuk terus mencuba. Selamat datang sindrom darah Y!


*bekas peserta kursus yang pandai-pandai mencipta sindrom darah Y. Membentuk sesuatu yang positif, apa salahnya? :) Darah Y=Yakin.

2 comments:

Syukriah yang ceria said...

Salam kak izanaor.Menarik cerita yang ditulis.Tidak pasal-pasal asyik syuk yang terkena.Gumbira bersama anda semua.Ada rezeki kita ketemu.Syuk nak menuntut ilmu daripada akak.Menulis:)

Izanor said...

Salam Syukriah:) Hai! Wah peserta Syuk buat kemunculan di sini. Kak Izanor harap Syuk sihat dan ceria. Ya! Semoga ada rezeki kita bertemu di lain waktu.

Ilmu menulis biasa-biasa saja. No problema!:D