Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Pada Ahad yang lalu, Izanor berkesempatan menghadiri bengkel penulisan di Taman Permata. Bengkel yang bertajuk KJ Method itu dikendalikan oleh Puan Ainon. Itulah kali pertama dalam sejarah. Bengkel penulisan terulung yang berjaya diikuti Izanor sepanjang bergelar penulis. Alhamdulillah! Selepas ini, Izanor berazam mahu menempah tempat ke pelbagai bengkel lagi bagi meningkatkan ilmu dan teknik penulisan.
Bengkel KJ Method menggambarkan cara mudah dan efektif bagaimana kita boleh menulis banyak buku secara serentak. Satu perkongsian yang amat menarik. Terima kasih banyak dikalungkan buat Puan Ainon. Gaya penerangannya ringkas, padat dan santai. InsyaAllah... Kak Izanor pasti mencuba dan mengamalkannya. Selain ilmu yang ditimba, Kak Izanor turut dapat beramah mesra dan menambah kenalan baru. Ada yang telah sedia berhubung di Facebook dan akhirnya bersua muka di sana. Ada juga yang langsung tidak dikenali tetapi cepat serasi. Terdapat tiga orang bakal penulis yang juga berasal dari Seremban. Seronok bertemu teman sekampung :D
Nota penting : Sentiasalah mencatat setiap butir peristiwa yang dilalui, info yang dibaca, maklumat yang didapati semasa berbual dan sebagainya di dalam sebuah arkib peribadi. Jangan berhenti! Di kemudian hari, tanpa sedar segala bahan terkumpul dan mampu dijadikan idea untuk 3 buah buku sekaligus. Boleh jadi juga lebih! Kak Izanor kebiasaannya membawa buku nota kecil ke mana-mana. Jika terlupa, Kak Izanor akan menggunakan telefon bimbit dan kembali merekod di dalam fail apabila pulang ke rumah. Adik-adik yang berminat mahu jadi penulis bolehlah mencuba teknik ini. Dengan umur yang masih muda, perjalanan adik-adik masih panjang. Banyak peristiwa dan pengalaman yang akan ditempuh. Penulisan buku yang banyak pasti mampu terhasil. Bertuahnya! :)
Sekian saja catatan yang terungkap dari Bilik Biru kali ini. Semoga semua pembaca sihat dan ceria melalui kehidupan seharian. Sampai kita bertemu lagi =)
(Oh, ya. Tentang kuiz siapakah watak utama di dalam novel Aku Mahu Superbibik, jawapannya ialah : Ina dan Bibik. Terima kasih kepada semua yang menyertai!)
No comments:
Post a Comment