Saturday, December 8, 2012

Perjumpaan Tahunan AinMaisarah 2012 - Menara Kuala Lumpur

Kringgg! Terjaga, mematikan bunyi jam dan bergegas merempuh pintu bilik air. Hm? Sebenarnya, tidur agak lewat melebihi jam dua pagi-seakan koma seperti Fizz Fazlullah, jeritan jam langsung tidak memberi kesan. Mujur ada teman serumah yang baik budi mengejutkan diri ini dengan sebaris ayat, "Bangun... awak mahu pergi awal, kan?"

*Shawl belum digosok - tugasan pendaftaran - azam mahu terpacul di Menara KL selewatnya 8.30 pagi* 

Ketiga-tiga bayangan ini bergabung dan muncul serentak! Mencapai telefon bimbit, melirik angka yang tertera dan virus panik pun melanda. Betul-betul serupa dengan babak dan 'feeling' Ina yang lewat bangun di bab pertama Aku Mahu Superbibik. Oh! Tarik nafas mencari ketenangan, tuala dan bergegas merempuh pintu bilik air.

Selesai sepersalinan BIRU. Stokin juga biru, biru yang cair seakan putih. Hamboi.

Lalalala. Lagu riang dalam hati menemani langkah demi langkah ke stesen Lrt. Kurang 5 minit jaraknya dari kondo tumpanganku. Semakin dekat menghampiri, eh... rasanya pintu masuk jenis besi itu masih tutup? Langkahan kaki terus maju dan terhenti membaca notis makluman: Rupa-rupanya setiap hari Ahad pintu  hanya akan dibuka jam 8.00 pagi.

Apa? Lagi 40 minit mahu tunggu? Lagu riang bertukar rentak. Tiada lagi lalalala. Ia bertukar menjadi...

Lah lah lah lah... bertabahlah! (>_____________<)

Penantian dimanfaatkan dengan aktiviti bersarapan sambil memerhatikan persekitaran dan bermonolog sendirian. Kemudian, perjalanan dalam gerabak Lrt yang memakan masa 20 minit bagaikan tidak terasa kerana ada majalah jadi peneman. Majalah yang memuatkan puluhan fesyen lilitan tudung. Konon mahu mencuba salah satu teknik terkini. Apakan daya, terlajak tidur tidak memungkinkan azam seputih salji itu, isk!

Pasrah. Lilit sahaja gaya biasa yang superpantas-tanpa cermin pun gerenti jadi. Hehehe!

Selamat tiba di stesen Dang Wangi. Teksi! Itulah yang kita cari. Sebelumnya, beberapa kali lambaian segunung harapan tidak dipedulikan. Namun, sudah tertulis rezeki bertemu geng-urusetia yang turut bertugas di Menara KL. Kami berkongsi satu teksi, episod lewat-panik yang serupa dan serba ringkas biodata diri.

Hai kawan baru nama Melati!^^  

Kesimpulannya, Izanor lambat setengah jam. Menjejak saja pintu Galeri, tanpa sempat bertegur sapa, terus meletakkan beg dan kelam-kabut menghadam proses borang pendaftaran bersama Editor Ann.



Di sebalik tabir...

1) Banner AinMaisarah menghiasi halaman tangga. 2) Warna-warni belon. 
3) Studio mini by Asyiqs Bridal.



Taklimat dan Perkenalan.


Majlis dimulakan dengan pembahagian rumah sukan. Para penulis lelaki mengetuai setiap pasukan: 

Aman Wan - Kuning. 
Azanil Fitri - Hijau. 
Naim Jalil - Merah. 
Alam - Biru.

Ya-ya-ya... tanpa perlu dipaksa atau menembokkan muka, pencinta biru ini terus dipakaikan Mahkota Penolong Rumah Biru. Seisi dewan bagai mengerti suara hati Kak Izanor. 

^^(~____________~)^^ Ini bukan telinga arnab, ini mahkota. Percayalah...

Sesi berkenalan sesama ahli pasukan. Semua peserta sudah ada pelekat nama yang membantu kelicinan komunikasi dalam bulatan. Bila-bila terlupa, hah... jeling saja ejaan nama yang tertera. Sukses! Ahli rumah Biru ada seramai 24 orang (atau 25?) - menariknya ada dua orang Nana, seorang nama Aqila dan seorang lagi Aqilah.

Go Biru! Go go go! Tagline kami rupa-rupanya adalah tagline pilihan rumah Hijau juga (yang hanya diketahui di hujung cerita ini). Selain itu, ketua Alam turut mencadangkan ayat tambahan yang berbunyi: Malu tapi mahu. Haha! Hanya ahli rumah Biru yang tahu. Semua setuju, namun kami jarang menyebut atau mengumumkannya. Sepanjang setiap acara sukan dijalankan, memang tiada jerit-jerit tagline melainkan perkataan BIRU sahaja. 

Penutup peperangan rumah sukan, Tuan Pengurus meminta setiap rumah melaungkan tagline mereka. Ketika rumah Hijau bersemangat menjerit 'Go go go!', kami semua terkejut dan secara automatik perlu menukar tagline. Tuan Pengurus yang berdiri berdekatan, spontan ketawa dan berkata, "Hai macam ada yang sama..."

Ketua Alam kata, kita sebutlah tagline yang 'Biru! Mahu Tapi Malu'. Semua mengangguk tanda seperfahaman. Namun, apabila tiba detiknya... hanya satu suara yang bergema! Suara Ketua Alam yang siap dengan aksi menggenggam penumbuk! Hehehe! Sama ada ketua Alam tercepat sesaat berbanding ahli pasukan atau kami masih tidak bersedia 'blur' kerana penukaran tagline yang serta-merta berkuatkuasa. Detik lucu itu dapat ditonton menerusi video ini. Klik-klik-klik!



Menaiki Menara dan Menonton Teater.

*Musuh yang berlakon mesra sebelum perang rumah sukan bermula*

Selepas meneropong lokasi rumah masing-masing pada ketinggian 288 meter, mengelilingi bulatan menara, bergambar sambil berbincang strategi bersukan, kami semua turun dan menuju ke dewan teater.

Makan mihun dan tonton persembahan yang bertajuk Hooray Hooray!:D

Oh! Blogspot menghadkan jumlah kemasukan gambar. Pelbagai aksi dan memori ketika pementasan teater dan juga penjajahan menara boleh dilihat di sini. Silakan klik! Facebook AinMaisarah.


Sukaneka 1: Kapal Terbang Kertas @ Roket Kertas.

*Puan Ijang bertudung hijau-pelontar roket yang hebat*

Perang dimulakan dengan acara yang pertama. Bertemakan warna rumah sukan masing-masing, setiap kumpulan dibekalkan kertas A4 yang serasi bersama peserta. Pelbagai bentuk roket hasil kreativiti terpendam kini terserlah. Ada roket tajam, berkepak lebar, muncung tirus, berekor panjang, dan berlapis ala roket yang berjaket pun turut kelihatan. 

Riuh dan kecoh! Teknik lontaran juga sememangnya menampilkan aksi-aksi yang tidak tercerita. Maklumlah, semua askar menggalas misi kemenangan. Harus melontar-menghunus roket tepat menuju kota sasaran. Lontar-baling-lontar, tiba-tiba... adik Mizi-Askar tercomel rumah Biru yang berdiri bersebelahan kotak hampir-hampir tertelan roket. Oh! Babak yang mengundang tawa dan cemas. 

Perang Roket ini benar-benar serius (X_____________X)  



Sukaneka 2: Melastik Kumpulan JOI.

1) Tim rumah Hijau. 2) Hero rumah Kuning

Papan kertas yang bertampalkan watak-watak jahat Hero Sri Bangsar seperti Mama Mia - Papa Jon - Mr. Pinki - Encik Ais - Puan Krim disusun dan bersedia untuk ditumpaskan. Pengalaman membikin peluru dan bermain perang-perang zaman kanak-kanak amat membantu. Nama pun ada tiga orang adik lelaki. Maka, Kak Izanor bersungguh-sungguh memantau setiap peluru buatan para peserta.

Macam mana Aina, boleh buat peluru? Zuki, peluru sudah siap? Tengok Hanis punya peluru... hm, Aisyah okey? Mana Mizi punya peluru? Tuuu dia periksa seorang demi seorang. Belek dan pegang sama ada lipatan peluru benar-benar padat dan mampu menumbangkan pihak musuh. Lulus! Selepas itu, siap melakukan demo cara melastik yang betul. Manakala ahli rumah Biru yang sudah mahir turut menunjuk ajar rakan-rakan lain. 

Pertunjukan bermula. Setiap peserta hanya berpeluang melastik sebanyak 3 kali sahaja. Pussss! Heroin dan pelastik tepat rumah Biru jatuh kepada Alia! Dua watak jadi mangsa lastikan getah tajam admin Fanpage AinMaisarah itu. *tepuk-tepuk*


Sukaneka 3: Membina Menara Tocang Emas.



Menurut Tuan Pengurus dan AinMaisarah, mereka mahu Izanor turut jadi juri bersama bagi acara ini. Sempena kredit kepada penulis yang mencipta menara ini dalam novel Cinderellah VS Rapunzellah. Namun, mereka berdua curiga dan meragui kejujuran penolong rumah Biru yang mungkin melebihkan pasukan sendiri. Betul! Keraguan yang bertempat! Berkubur sudah hasrat murni mahu menambah bintang BIRU di papan markah. Lalalala~

Empat bungkus straw. Gunting. Salotip. Kertas. Apa saja bahan bagi hiasan-terpulang idea masing-masing.

Ehem! Biarlah rahsia. Betapa kelam-kabut dan bergemuruhnya jiwa semua ahli rumah BIRU apabila baki 30 saat diumumkan... melukis dan menggunting ejaan nama. Menampal 'bunga ros keronyok' pada kaki botol menara. Berebut-rebut mahu gunting dan salotip. Bergegas menyelit-cucuk hiasan roket. Biarlah rahsia...

(^________________^;) Hahaha! 


Sukaneka 4: Perarakan Rumah Sukan.



Dalam jarak 10 meter mendekati pentas-mencatat rekod sebagai perarakan paling pantas dan tiga kelip mata dalam dunia. Sebenarnya, ketika perjalanan menuju ke lif dan menaiki menara, barisan peserta yang beratur berdua-dua sememangnya mencipta pemandangan satu perarakan yang berjaya. Bagi acara sukan yang ini, setiap pasukan bertanggungjawab mempamer imej dan gaya terbaik di atas pentas. Ala Next Top Rumah Sukan Model gituuu^^

Kami diberikan kain, tuala, topeng dan topi. Terserah mahu mencipta penggayaan yang bagaimana bagi memikat hati juri. Lihat ahli rumah Hijau yang berfesyen menutup mulut-ada tabung derma Gaza-simbol cintakan keamanan. Terbaekkk! :D 


Sukaneka 5: Twinlimpik Sri Bangsar.


1) Tiup belon sehingga pecah. 2) Masukkan benang ke lubang jarum. 3) Menyepit kacang menggunakan chopstik. 4) Bawa bola ping pong dalam sudu. 5) Bawa buku tanpa menggunakan tangan.

Syarat pertandingan adalah para peserta digandingkan-tangan diikat di antara dua orang. Setiap pasukan menghantar 5 pasangan kembar yang terkuat. Selepas itu, setiap pasangan dikehendaki menyempurnakan tugasan yang diberikan. Lima cabaran dan tekanan yang berbeza. 

Seronok! Saksi di tempat kejadian pada 2 Disember yang bertuah sudah tentu menyaksikan kesukaran belon pasangan pertama rumah Biru yang tidak pecah-pecah. Semua hadirin turut menonton kegigihan para peserta melaksanakan misi ini tanpa kompromi. Paling istimewa, apabila ahli rumah Biru cekal menamatkan sukaneka, walaupun sudah ketinggalan jauh berbanding tiga rumah sukan yang lain.




Lihatlah. Bukti ketua dan penolong rumah BIRU yang terpacak memberi seribu sokongan dan kata-kata semangat tanpa henti, namun... namun...tiada apa yang dapat mengubah realiti keputusan peperangan ini. 

v
v
v
v
v
v


Tahniah berbintang-bintang buat rumah KUNING! Tahniah juga rumah HIJAU dan rumah MERAH. Tahniah setinggi awan kepada semua pembaca yang menghadiri Perjumpaan Tahunan AinMaisarah kerana melakukan yang terbaik.^^ 


Alhamdulillah. Walaupun rumah BIRU menempah tempat terakhir, namun Kak Izanor berbangga dan gumbira dengan semangat kerjasama berpasukan yang dicurahkan oleh semua ahli. Sayang semua The Biruz selama 365 hari!  Kita berusaha mendaki tangga lebih tinggi tahun 2013 okey? Janji jari kelingking.


v(^________________^)v


Mempersembahkan 6 Penerima Anugerah.



Miss Pinky
Mr Pinky 
Miss Glamour 
Mr Handsome
Atlet Terbaik 1
Atlet Terbaik 2




Fuh! Phew! Akhirnya selesai majlis yang berlokasikan Dewan Galeri Menara Kuala Lumpur. Semua sudah lega-hati girang lalu mengabadikan foto secara beramai-ramai. Empat pembaca yang lambat pulang turut menyertai potret yang berkonsepkan posing sesuka gaya ini. Sampai kita bertemu lagi pada perjumpaan yang akan datang.

Senyum-Senyum Bunga!^^

Saturday, October 20, 2012

Cerita Oktober


Bismillahirrahmanirrahim...

Terasa lain macam apabila sudah 5 bulan tidak mengemaskini ini blog. Taip angka 5 = lima pun rasa tidak percaya. Mengapa sunyi-sepi-menghilang dari dunia blog? Tanya Izanor kepada diri sendiri.

Tadaaa! Hari ini sudah muncul, bukan? Sempena dengan tajuk entri (Oktober berbaki lagi suku bulan saja pun), penulis mahu berkongsi beberapa catatan ringkas mengikut kategori. 


  1. Dongeng Sri Bangsar. 

    Tim kami (Izanor, AinMaisarah dan Tuan Pengurus) banyak berbincang dan menyenaraikan tajuk-tajuk cerita bagi kesinambungan pengembaraan siri dongeng. Banyak senarai yang tercipta. Beberapa sinopsis difikirkan. Ia tidak mudah. Selepas empat siri yang sudah diterbitkan,  keputusan akhir bagi tajuk dongeng yang kelima perlu dibuat dengan teliti. Kami mahu perjalanan dan persembahan cerita yang setanding atau lebih mantap berbanding siri yang terdahulu. Itu yang pening-pening kumbang dibuatnya-hehehe!

    Alhamdulillah! Terkini, plot cerita Puteri Gunung Tendang dan David Bekam (tajuk yang berkemungkinan) sedang dirangka dan disusun. Ini semua berkat doa dan semangat semua penyokong Dongeng Sri Bangsar juga. Terima kasih kerana sentiasa tabah menanti misi Fizz, Tizz dan Milo yang penuh cabaran.

         
  2. Kisah Heidiana, Iskandar dan Roket.

    Dup dap-dup dap...

    Manuskrip SOLO yang sedang diusahakan. Cerita tentang Iskandar yang suka warna pelangi dan Heidiana yang kreatif. Itu saja? Nampak sangat penulis mahu berahsia. Selagi belum siap kerja, debaran dup dap tidak mungkin berhenti. Hendak gebang panjang pun tidak berani. Oh!

    Seronok sebab sudah lama mahu HERO nama Iskandar :D
      
  3. Novel Online Bersiri.

    Berbual santai dan ketawa-ketawa sejak 2010 lagi. Membuat senarai watak dan latar belakang cerita pada minggu yang sama-masih tahun 2010. Kami yang sentiasa sibuk dengan projek penulisan itu-ini tanpa sedar menangguh-pekasamkan perbincangan sehinggalah... September 2012?

    365 + 365 + sebulan lebih = Peti pekasam sudah dibuka semula. Yahoo! Manuskrip pekasam sudah bersedia untuk berkembang dan menyebarkan keharuman mawar ke permukaan skrip laptop para pembaca. Besar harapan kami supaya ramai yang SUKA, terhibur dan mendapat manfaat daripada tulisan ini.

    Kami? Ini bukan penulisan solo. Karya Izanor bersama novelis yang namanya berpangkal huruf I juga. Siapa-siapa-siapa itu?^^ Akan datang, November ini di portal TulisNovel.


  4. Penulis Sana Sini. 

    Sebuah portal yang memaparkan berita, cerita dan GOSIP terkini tentang penulis tempatan (mungkin juga ada slot penulis antarabangsa pada masa hadapan). Ia baru sahaja diwujudkan awal Oktober yang lalu. Tahniah kepada pemiliknya yang berusaha mempromosikan karya penulis-penulis dengan gaya berbeza.

    Bagi sesiapa yang mahu tahu perkembangan industri buku dan cerita hangat para penulis, boleh LIKE halaman Facebook Penulis Sana Sini.

    Ehem. Saya juga sudah diterjah dengan deretan soalan sensasi. Temubual dan artikelnya di sini Fantasi Izanor.

    *Memakai topeng X yang fantasi* 


Sekian dahulu catatan petang ini. Senyum-senyum bunga semua ^_________^

Monday, June 11, 2012

Gelombang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL 2012)

*Mari bergambar aksi normal*


Mari bergambar aksi gila-gila sikit: AinMaisarah dan Azanil menepati tema. Aman Wan terlebih teruja nampaknya. Eh, reaksi Izanor tidak ada beza pun dengan gambar pertama? (=_____=;)



Satu kelainan dan tarikan yang dipersembahkan Kedai Pink AinMaisarah tahun ini: Gadis Bintang dan Super 3G watak dari siri Hero Sri Bangsar. Mat Blink yang kecoh dengan tagline 'OHOHO' turut memeriahkan suasana. Siapa yang terserempak dengan mereka di pintu masuk atau ruang legar tempat orang lalu-lalang sambil memegang sepanduk dan poster? Mereka bertugas sebagai penyuluh arah-lokasi Kedai Pink yang agak tersorok penempatannya. Adakalanya, mereka hanya berada di hadapan booth Kedai Pink saja. Super 3G menyamar jadi patung. Gadis Bintang melambai-lambai. Mat Blink? Tentulah tersengih dan ber-OHOHO sambil memusingkan tangannya :D


*Memperkenalkan... Hawa*


*Memperkenalkan... Akim*

Dua wajah yang berkongsi detik-detik sepanjang PBAKL 2012 berlangsung. Merekalah teman serumah, teman se-LRT, teman semeja makan malam dan saksi utama suka-suka diri ini. Ewah! Akin dan Hawa memang teman yang BAIK. Love-love-love!



Azanil Fitri: Penulis siri Hero Sri Bangsar. Kami sering mempersoalkan bila mahu siap manuskrip seterusnya setiap kali bersua. Sudah ada idea atau belum? Bagaimana jalan cerita dalam komputer otak? Bergaris-garis dahi masing-masing. Berkerut muka mengalahkan profesor. Hmm... seolahnya begitu fokus dan berdedikasi? Lalalala:) Doakan kami mampu menggalas tanggungjawab menulis yang diberikan ya!


*Memperkenalkan... Zaza*

Itu bukan aksi tutup mata. Itu ilusi kononnya memakai cermin mata gelap sama seperti Zaza hehe! 


*Memperkenalkan... Jaja*

Mereka berteman akrab. Topi yang sama. Baju sama hitam. Ejaan nama yang mengandungi 4 huruf pun sama juga. 



Gambar bersama Aman Wan memang banyak. Kami sengaja menggunakan teknik mendekati musuh supaya dapat menyiasat kelemahan pihak lawan. Pura-pura baik! Pura-pura cool! Siapa pihak yang benar? Siapa pihak yang jahat? Hai... jawapannya mudah saja. Hanya ada satu pihak yang memegang senjata. Sungguh terang dan nyata bukan? Bukti ada pada gambar yang pertama, ehem!

Senjata yang berbentuk video kamera itulah... hehehe!

Aman Wan yang hebat merakam video ini sudah menghasilkan NOMIK pertama bersama AinMaisarah dan Azanil Fitri. Tajuknya ialah, Lawak Sekolah: Belajar Berkenalan.

Koleksi video lakonan dramatik dan lucu Aman Wan ada di sini: Tonton Aman Wan!
Sesiapa yang ingin mendengar bunyi ketawa Mat Blink bolehlah klik: Ohoho!


*Puan Ainon (Pengerusi PTS), Azzah AR dan Roziyah (geng penulis)*


*Prof. Abdullah Hassan, Azzah AR, Rawaida, dan Kak Muna*


*Slot Mama Bella bersama Editor*


*Penulis buku puisi Balada: Encik Pyan Habib dan Azzah AR*


*Penulis novel Kawanku Panda: Husna Adnan*


*Kawan-kawan penulis: Kami semua dapat hadiah penanda buku dari Sabah*


*Penulis buku Penulis yang Disayang Tuhan dan banyak lagi tajuk yang lain: Tuan Bahruddin Bekri*



*Beberapa wajah pengunjung dan peminat buku yang sempat dipotretkan*



1) 6 buah novel terbaru. 2) Button badge rekaan terkini. 3) Novel comel tentang Milo. 4) Tujuh Wannababes Kerdil. Setiap hari mesti akan cucuk dan lekatkannya di baju :D



1) Buatan tangan Hazira Hanapi. 2) Baru belajar ber-simbol LOVE. 3) Pemberian Izzah Huzaira Novelis.
4) Seorang gadis penjual patung-patung comel yang duduk bersebelahan dalam komuter dengan murah hatinya berkata: Saya hadiahkan ini untuk kakak. Huhu terkejut dan terharu~



Terima kasih buat semua yang menyokong hasil karya kami! (^____________^)v





Untuk mengetahui cerita-cerita penuh kejutan, lucu dan seronok tentang pesta buku dengan lebih lanjut dipersilakan menonton video Diari Kedai Pink yang disediakan oleh Mat Blink: Diari hari pertama! Baiklah... senyum-senyum bunga! Sampai kita bertemu lagi!:D

Friday, June 8, 2012

Dia Punya Cerita (Esei Penuh Memori Izanor di Tingkatan Lima)


Memang sejak dulu lagi. Bila? Sejak azali agaknya. Sejak kaum kerabat dinosor hidup lagi dalam dunia ini. Saya benar-benar tidak suka, benci dan bosan dengan subjek yang satu ini. Memeningkan kepala dan menyeksa urat-urat otak. Bukannya saya seorang, ramai lagi yang tertekan dan terdera dengan subjek yang tahap kesukarannya sangat mencabar emosi (bagi sayalah). Namun, mereka semua itu sekurang-kurangnya ingin juga belajar, buat latihan, dan rajin berusaha. Saya? Huh, kosong bin tiada!

Semasa di sekolah rendah, saya masih kategori budak baik. Semua kerja sekolah gerenti siap. Keputusan ujian mesti dapat markah 80 ke atas. Tidak ada apa yang menghairankan! Kacang rebus! Hmm… setakat itu sahajalah kenangan terindah yang saya ada.

Minggu kedua sesi pembelajaran tingkatan satu, masalah bermula! Ah, sudah! Satu habuk pun tidak tersangkut dalam minda. Setiap kali berperang dengan kertas peperiksaan, hasilnya pasti gagal! Guru yang dipersalahkan sebab mengajar perkara susah. Bermula dari saat itu, saya mengucapkan selamat tinggal buat subjek ini.

Kehidupan tingkatan dua menjelma. Saya langsung tidak ambil peduli tentang subjek ini. Kebiasaannya, semasa guru beria-ia membuat penerangan, saya hanya fokus kepada dua perkara. Tidur-tidur ayam atau berbual sakan. Ya, sungguh berani saya bersikap buruk. Tambahan pula dianugerahkan guru yang lemah lembut, alahai… bahagianya hidup!

Catatan ketika di tingkatan tiga. Semua latihan ditanggung beres. Fotostat bulat-bulat! Saya memang tidak tahu buat sendiri. Detik guru mengajar, mata saya sikit pun tidak berkelip memanah ke arah papan hitam. Kononnya, menumpu sepenuh perhatian, padahal tiada satu contoh pun yang saya faham! Lakonan sebegitu terpaksa dilakukan kerana pelajar-pelajar yang lain semuanya bersemangat waja hendak belajar.

Saya sahaja yang tersesat lorong! Sewaktu PMR menjelang, saya selesaikan setakat yang mampu. Selebihnya bagi kertas soalan objektif, saya hitamkan sesuka jari dan mata pensil. Pada kertas soalan subjektif pula, saya hanya jawab beberapa soalan yang tidak ubah seperti di sekolah rendah. Baki yang lainnya terbiar kosong. Saya tidak rasa terkilan walau secuit! Selepas keputusan peperiksaan diterima, saya terasa mahu cucuk mata dengan garpu menatap slip di tangan. Saya meraih objek bulan sabit kurus! Ya, jelas terbukti markah yang melayakkan saya mendapat C. Adakah ia sejenis lawak antarabangsa? Geografi yang saya tekuni sehingga bermata panda hanya mendapat D?

Tingkatan empat…
Hore! Saya ditukarkan kelas dan bertemu kembali teman sekepala. Namun, disebabkan guru kali ini bermata helang dan hobinya pula memeriksa buku latihan para pelajar, terpaksalah saya menyiapkan tugasan kerja rumah juga. Aci main salin buta-buta sahaja! Semasa hari peperiksaan saya tidak pergi. Bersantai di rumah, dengar radio lagi seronok!

Semua ini memang gila! Jangankan orang lain, saya sendiri susah hendak percaya. Saya langsung tidak ada hati pada subjek ini. Tuhan sahaja yang tahu betapa seksanya saya setiap kali berpura-pura minat sewaktu guru mengajar. Terasa seperti digelek dengan tayar jentolak! Subjek ini bukannya senang. Bukan calang-calang orang mampu takluk puncak markah. Ia akan jadi senang jika kita faham dan memperbanyakkan latihan. Sudah tentu mesti rajin, saya pula… malas! Saya sedar dan tahu bahawa subjek ini penting demi masa depan. Namun, entahlah… Matematik? Matematik! Dengar namanya sahaja saya sudah cukup benci. Sakit seluruh jiwa! Jika diberi pilihan, Matematik adalah subjek pertama yang akan saya singkirkan dari senarai matapelajaran sekolah menengah. Semua orang tahu itu adalah perkara yang mustahil. Oh sedihnya…!

Teman-teman seperjuangan yang sehati dan sejiwa sudah kering air liur dalam usaha memulihkan diri saya. Mereka kata, “Entah apalah yang akan jadi pada awak?” Saya buat tidak kisah sambil terus goyang kaki dan jari. Mujurlah ibu bapa saya tidak tahu. Jika perihal anaknya yang sudah benci separuh nyawa pada Matematik diketahui mereka, silap hari pasti dimasak lemak cili api!

Itu semua cerita lama. Tup! Tup! Minit-minit berlari pantas. Tanpa sedar, saya adalah antara calon yang akan menduduki kerusi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini. Baru sekarang rasa gerun! Saya mula menyesal lalu terhegeh-hegeh mahu berubah sikap. Bayangkan hendak ulangkaji semula semua tajuk, formula dan jalan kira-kira yang diabaikan sejak dari tingkatan dua? Emosi saya hanya tuhan sahaja yang tahu. Andai masa mampu diundur, tidaklah saya segerun ini.

Saya bersemuka dengan guru Matematik. Saya ceritakan masalah dan dilema yang dihadapi. Puan Fazilah memang baik budi. Dia beri saya nasihat dan semangat. Puan Fazilah juga asalnya tidak menyukai subjek Matematik. Pelik, alih-alih jadi guru Matematik pula! Saya terhairan-hairan mendengarnya. Menurut Puan Fazilah lagi, disebabkan ingin berjaya, siang dan malam dia bertungkus lumus belajar mendekati Matematik. Pesan Puan Fazilah pada saya…
“Awak sudah beritahu situasi ini, awak mesti rajin. Masih sempat lagi, sekarang bulan Februari. Saya yakin awak boleh buat!” Uwaa… saat itu hati saya tersentuh dan terasa mahu menangis!

6.45 am. Mentari pagi masih segan silu menampakkan sinarannya. Pemandangan yang indah! Saya amat kagum melihat alam ciptaan tuhan. Sesungguhnya, saya bersyukur kerana masih bernafas bagi menikmati suasana yang begitu mendamaikan ini. Hidup ini singkat! Saya tidak sepatutnya mensia-siakan apa yang dianugerahkan oleh tuhan. Saya pejamkan mata beberapa saat. Bayangan wajah ibu dan ayah saya muncul! Oh, saya sayangkan mereka berdua! Dua insan yang banyak berjasa dan berkorban. Saya tidak mahu mengecewakan mereka. Sekiranya saya terus begini, saya tidak akan mencapai apa-apa. Saya harus mengubah pandangan terhadap Matematik. Saya mesti belajar bersungguh-sungguh, berusaha sedaya-upaya dan akhirnya menjalani peperiksaan. Semoga impian saya jadi kenyataan. Amin~

Wednesday, May 16, 2012

Ada Apa Dengan Senah White dan Wannababes Kerdil?


Fine. Saya terima dan bersetuju dengan pilihan Di. Saya akan memakai gaun Puteri Ariel, tetapi…saya benar-benar maksudkan apa yang saya beritahu sebelum ini. Saya tetap ingin warna ungu!”


Wah! Saya sudah jumpa! Cantiknya gaun ini!” Diana melekapkan tangan ke dada, sejurus sahaja gaun gabungan biru dan kuning itu ditemuinya.Terburu-buru menghadap cermin yang seluas dinding. Diana tersenyum meleret dan berbisik. “Lihatlah, kawan-kawan… betapa uniknya kolar putih yang terjahit. Kelebarannya! Lengkungannya! Saya memang padan sekali menggayakan gaun ini!”


“Mana? Tunjukkan pada saya gambarnya.” Hati Shasha terasa sejuk, lembut dan mencair. Tergambar rasa suka menerusi renungan matanya yang penuh bercahaya. “Saya mahu gaun ini. Jangan sesiapa berebut-rebut dengan saya!”


Hmm, saya rasa tidak ada sesiapa yang dapat melawan gaya Puteri Giselle…” Kedua belah tangan Sazzy tergenggam erat sambil menupang pipi. Dia kemudian terpusing-pusing sendiri.


Nana pula bertindak mengembangkan gaun kuning airnya. Sebelah kaki ditolak ke belakang meniru lagak penghibur yang selesai mengadakan persembahan. “Lihatlah saya yang semanis Puteri Pocahontas!”


“Jangan buat-buat rabun, ya! Puteri Belle sedikit pun tidak ada kekurangannya. ”Gaun kuning keemasan yang tersarung kemas kelihatan sepadan dengan warna kulit Linda. Rekaan ropol yang bertingkat-tingkat tambah menyerlahkan kecantikannya.


Hmm, saya rasa tidak ada sesiapa yang dapat melawan gaya Puteri Giselle…” Kedua belah tangan Sazzy tergenggam erat sambil menupang pipi. Dia kemudian terpusing-pusing sendiri.Nampaknya belum apa-apa, dia sudah mula berkhayal bersiar-siar di taman istana!


“Ingat! Tidak perlu jadikan puteri dongeng sebagai idola. Mereka hanya cantik dalam gambar. Itu pun pada gambar yang berwarna! Gambar yang menunjukkan majlis tertentu. Langsung tidak sama dengan kita yang bergaya dan sentiasa menjaga imej. The Wannababes yang paling anggun.The Wannababes yang paling jelitawan dan lebih hebat lagi tidak terkira!”

(6 orang The Wannababes teruja memakai gaun-gaun. Berbeza amat dengan Fasha yang anti dan merendahkan martabat puteri-puteri dongeng)


“Tidak ada pokok bunga! Saya mungkin akan rindukan taman di rumah saya. Tetapi… tidak mengapa! Saya boleh baca buku-buku tentang bunga. Saya juga boleh tonton dokumentari atau drama yang memaparkan kisah pokok-pokok bunga.” Senah White pandai memujuk diri tanpa membebankan sesiapa. Dia memang tidak memiliki gen diva-diva! Dia memang seorang yang mudah!

(Wah! Budi pekerti Senah White benar-benar tulus, luhur dan seputih namanya)

Sunday, April 22, 2012

Ada Apa Dengan Alakudin dan Lampu Tidak Ajaib?


“Mahu hilang sekalipun, tunggulah tiga permintaan disebut dan tunaikannya dahulu. Selepas itu, menghilang ke planet bulan pun tidak ada siapa yang kisah. Mahu berkebun atau bercucuk tanam di planet bintang pun tidak mengapa. Ini tidak… mentang-mentang ada kuasa, jin tidak guna itu terus tinggalkan si penggosok lampu yang amat mengharap. Memang dasar jin yang tidak bertanggungjawab!” Suara Alakudin semakin melantun-lantun. Semakin kuat dan besar gelombangnya.

(Klien kes dongeng keempat yang dramatik, oh!)

“Tidak perlu siasat-siasat. Biarlah jin ada dua atau tiga sekalipun, kita berkenalan sahaja dengan setiap jin!” Beritahu Fizz mudah. Ketua kumpulan pencari jin memang selamba!

(Fizz Fazlullah ejen Konsortium Pari-Pari yang bertanggungjawab)

“Milo rasa lebih memalukan bila awak terketar-ketar di hadapan Puteri Wangi Jasmin. Bayangkanlah, betapa teruknya situasi kekok yang akan dilalui nanti. Tertunduk-tunduk merenung lantai! Tergagap-gagap memperkenalkan diri. Terpinga-pinga terkelu lidah! Itu yang awak mahukan?” Milo menyenaraikan semua kebarangkalian negatif yang akan berlaku. Anak murid yang degil seperti Alakudin harus ditakutkan kerana suka sangat melawan dan membantah!

(Siapa yang tidak kenal Milo, si kucing terbang yang kuat bercakap pot pet)

Kata-kata Alakudin menggandakan rasa geram Tizz. Wajah selamba itu direnungnya tajam-tajam dan dalam-dalam. “Tujuan saya berada di sini bukannya mahu berkenalan atau mencari sahabat. Puteri Wangi Jasmin atau Puteri Busuk Jasmin sekalipun, tidak ada kepentingan langsung buat saya!” Tizz bercekak pinggang, merungut dan memprotes.

(Tizz Tiranah yang bercita-cita tinggi membantu abang tersayang)
* * * * *

“Itu suara siapa?” Milo berputar-putar sambil memantau keadaan sekeliling. Tercari-cari arah kemunculan suara asing yang bernada garau itu.
Suara asing itu ketawa! Walapun bunyi ketawanya pendek dan perlahan, namun garaunya bertambah-tambah. Ish! Agak menakutkan gegendang telinga jugalah!
“Eh, jangan main-mainlah. Jangan suka sangat! Itu suara siapa?”
“Ini suara sayalah.”
Rimas Milo melayan sikap pemilik suara garau. Mahu bermain tarik-tarik tali pula! “Saya itu siapa? Cakaplah nama!”

* * * * *
Suara siapa yang garau dan misteri itu agaknya? Hmm! Mahu berkenalan dengan Ben Ten Ten yang tinggal di Rumah Kotak ZZ? Mahu melawat dan menemui banyak gerai-gerai pelik di Pasar Dongeng Ria? Marilah mengembara bersama kumpulan pencari jin dan menyelesaikan kes dongeng yang keempat ini! Semuanya akan terjawab dalam kisah Alakudin dan Lampu Tidak Ajaib yang mula dijual di Pesta Buku Antarabangsa 2012 (KLIBF) PWTC.

Wednesday, February 29, 2012

Wordless Wednesday : Aku Mahu Superbibik!


*Ada sesiapa kehilangan bibik berkasut kilat dan bergaya SUPER seperti ini?*