Sunday, February 28, 2010

'Nama saya Mac'

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Pengumuman : Hari ini 1 Mac!

Ewah, sibuk pula mahu buat pengumuman padahalnya semua orang tahu hari ini berapa haribulan. Pembaca yang melayari internet tentulah tidak tinggal di dalam gua! Hai, sudahlah... semua orang tahu (=_=)

Pergilah menyapu, mendobi dan sidai kain. Pergilah tonton televisyen dari pagi sampai ke petang. Pergilah bersenam buat lompat bintang atau lari setempat keliling rumah. Pergilah susun buku-buku yang serabut dalam bilik sana. Pergilah beli burger Macdonald set 'happy meal' sekalipun. Buatlah apa saja, hakikat tak mungkin berubah. Hari ini 1 Mac.

"Izanor, sila terima kenyataan tersebut!"

Pengakuan : Manuskrip Cinderellah vs Rapunzelah masih belum siap.

Buat pengetahuan para pembaca, lima hari yang lalu Kak Izanor telah merancang dan menetapkan keazaman. Namun, bersikap positif sahaja memang tak mencukupi. Terdapat banyak lagi halangan lain yang mesti ditempuhi. Ambil satu contoh :

Kita sedang menulis dan fokus dengan mata yang sebulat bola ping pong. Hati membara bersemangat unggun api. Tiba-tiba, pintu rumah diketuk! Seorang lelaki menanggalkan topeng hitam yang berwayar gulung lagi tebal berkata. "Maaf, kami mahu melakukan penyemburan di dalam rumah."
Kita tergamam seketika dan bersiap memberikan ruang. Kita harus duduk di luar rumah selama hampir dua jam demi membiarkan peredaran udara kembali normal. Maksud tersiratnya, kita juga terpaksa meninggalkan laptop tersayang serta memerap idea yang boleh saja merajuk lalu hilang. Kita tak boleh menyalahkan Encik Penyembur yang menjalankan tugas. Sesungguhnya nyamuk Aedes itu berbahaya dan gejala demam Denggi harus dicegah! Jangan risau, tak ada peperangan yang berlaku di antara Kak Izanor dan Encik Penyembur :D

Itu hanya sekadar satu contoh. Itulah resam hidup kita sehari-hari. Adakalanya, muncul perkara-perkara yang tidak terjangka. Tak mengapa, lupakan kisah lalu (seolah kisah tersebut beberapa tahun yang lalu gamaknya:P) dan pandang ke depan. Tanpa memendam atau melayan kekecewaan, Kak Izanor bangkit dan terus menulis. Percayalah bahawa Kak Izanor sendiri terlalu ingin menikmati detik manuskrip cerita dongeng ini menemui halaman dan noktah yang terakhir. Oleh itu, semoga di pertemuan yang seterusnya kita berkongsi  catatan bahagia;)

Semoga terus ceria dan positif! \(^_^)/  

Monday, February 22, 2010

Dup dap! Dup dap! Lima Hari Yang Mendebarkan!

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kak Izanor baru melirik memandang kalendar yang tegak berdiri, betul-betul dua jengkal dari komputer riba yang sedang ditekan-tekan papan kekuncinya ini. 23 Febuari! Aduh, lagi lima hari bulan Febuari ini akan tamat usianya. Oh, kalendar... kenapa mesti tunjuk muka nombor 23? Tunjuklah muka nombor 13. Bencinya! Kak Izanor rasa mahu bakar kalendar terbitan pasaraya Giant itu.

(Huhu. Jangan dicontohi tingkah laku penulis yang sedang emosi lagi berdebaran tak keruan sampaikan mahu berbuat jenayah pembakaran pula. Apa pun, itu hanyalah imaginasi semata-mata:P)

Kak Izanor amat sayang lima hari yang masih berbaki ini kerana:

1) Ya! Manuskrip dongeng Sri Bangsar ini masih belum siap lagi.

2) Cinderellah dan Putera Raja begitu jauh di antara satu sama lain.

3) Rapunzelah amat bermaharajalela cuba merampas takhta!

4) Pari-pari dan kucing terbang pening kepala kepenatan mencari usaha!

Kak Izanor benar-benar mahu menyelesaikan masalah mereka di alam dongeng dan menamatkan debaran hati yang kegundahan ini. Kak Izanor berazam dan bertekad positif bahawa saat jam berdenting TING TONG! (sila bayangkan menara jam besar yang terdapat di dalam filem) pada 12.00 am 1 haribulan Mac, kami semua akan... happily ever after.

Semoga dipermudahkan segala proses penulisan. Amin!

Semoga para pembaca turut mendoakan dan memberi sokongan dari skrin komputer riba masing-masing. Walaupun kita tidak bertemu mata dan wajah, namun hati kita saling terikat! Semoga Kak Izanor terus bersemangat kental `berpedang-pedang` melawan tekanan, ngantuk, nyanyian nyamuk, godaan virus malas dan gangguan lain-lain demi menulis sehingga ke halaman yang terakhir.

Gambatte! (^_^)b

Sampai kita bertemu lagi! ;)

Book Thong!

Lihatlah dunia! Ini penanda buku yang dihadiahkan oleh kedai Book Xcess untuk semua peserta BACA @ LRT dua hari yang lalu. Penanda buku riben buatan tangan ini dipanggil Book Thong. Kak Izanor terlupa mahu ambil gambar. Hari ini baru teringat. Kak Izanor suka sangat apabila diberi warna biru! :D Okey, tak baik tipu. Yang sebenarnya, pekerja kedai telah bertanya warna kehendak hati dan Kak Izanor pun pilih warna biru.

Terdapat macam-macam bentuk dan simbol. Kak Izanor dapat bintang dan `love` ^_^

Tadi, selepas keluarkan dari plastik Kak Izanor terus tandakan di sini. Ya, Kak Izanor sudah sebulan membaca Impiana tapi tak habis-habis lagi. Huhu. Kak Izanor hanya dapat baca sekejap-sekejap bila berehat dari alam dongeng. Apa boleh buat, Kak Izanor perlu berlumba dengan masa~

Setakat ini berhenti di muka surat 97 : babak Shasha yang tiba-tiba ditangkap! Hai, tak tahulah bila baru dapat menyambung kembali.

Kak Izanor bercadang untuk menghadiahkan Book Thong kepada lima pembaca terawal yang membeli novel Aku Mahu Superbibik dan bertentang mata dengan Kak Izanor semasa Pesta Buku nanti. Mari kita lihat siapa yang kena ;) Wah, kena kumpul duit dan pergi lagi ke kedai buku tersebut nampak gayanya! :D Baiklah, Tizz Tiranah sudah menjerit memanggil Kak Izanor. Tinggal dulu! Senyum-senyum bunga semua dan sampai bertemu~

(Tizz Tiranah : Salah seorang watak utama dalam siri Dongeng Sri Bangsar)

Sunday, February 21, 2010

Gerakan Membaca Di Dalam Lrt : BACA@LRT

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Semoga semua pembaca sedang gembira dan tersenyum manis seperti bunga;)

Ya, sudah dua minggu dua hari tidak mengemaskinikan cerita terbaru. Huhu, terkilan dan sedih juga hati ini. Apa boleh buat? Izanor terlalu sibuk! Banyak perkara yang harus dilakukan dan diberi perhatian. Selain dari menjadi penunggu alam dongeng yang setia (menumpukan fokus terhadap penulisan cerita dongeng), Izanor juga perlu menyeimbangkan masa untuk keluarga, Wan dan Anyang, sahabat lama dan baru, mengikuti perkembangan Malaysia hari ini dan sebagainya. Aduh, memang mencabar! Tetapi, itu semua asam garam, gula dan sos cili kehidupan... yang penting ialah terus bergerak ke hadapan:) Go! Go!

Apa yang mahu Izanor kongsikan bersama para pembaca hari ini ialah tentang aktiviti semalam, Sabtu 20 Febuari. Aktiviti tersebut ialah membaca di dalam pengangkutan awam, Lrt. Bagi sesiapa yang berminat untuk menyokong dan menjadi sebahagian dari ahli keluarga BACA@LRT boleh terus mendaftar di Facebook. Gerakan ini ditubuhkan demi menggalakkan minat membaca di kalangan masyarakat. Ianya bagus dan amat dipuja oleh Izanor yang suka membaca ini! :D

Jangan tak tahu, Kak Izanor bangun tidur pukul 5.30 am dan begitu bersemangat berkumpul di stesen komuter Seremban seawal pukul 6.20 am. Kami dari Seremban seramai 6 orang dewasa dan dua orang kanak-kanak comel. Kami memilih untuk bersama Kelab Tidur Dengan Buku yang menaiki Lrt dari stesen KLCC. Tepat pada masa yang telah ditetapkan, lebih kurang 10.25 am... Kak Izanor menyerbu masuk ke dalam gerabak yang tiba. Di dalamnya sudah penuh dan padat dengan keluarga BACA@LRT yang memulakan gerakan dari stesen pertama. Ya, Kak Izanor ambil posisi di sebelah tiang dan berdiri sambil terus membaca buku di tangan. Oleh kerana tema bulan ini ialah sastera, novel berjudul Maryamah Karpov jadi pilihan.

Baiklah! Tanpa mahu menaip panjang lagi, Kak Izanor paparkan beberapa keping gambar buat tatapan semua :D

Ini logo rasmi yang digunakan di dalam Facebook.

Tiga orang kawan Kak Izanor yang bersama-sama dari Seremban.

Kedai buku Book Xcess yang terletak di dalam bangunan Amcorp Mall. Setelah tiba di stesen terakhir, Taman Jaya. Kami semua turun dan menuju ke sini. Kami jadi ahli kedai buku dan mendapat hadiah penanda buku yang unik sekali!  

Stesen Taman Jaya. Kejayaan semua! :)
(Maaf di atas kualiti gambar yang kabur. Kak Izanor hanya ambil dari halaman orang lain. Di Facebook BACA@LRT banyak lagi gambar dan semuanya menarik.)

Haris dan Luqman! Dua wajah comel yang menemani hari Kak Izanor dan seluruh geng Seremban :D

Sekian dulu, Kak Izanor mohon minta jari dan diri. Kak Izanor harus segera melawat Wan dan Anyang. Semalam tak berkesempatan, tak tahulah apa khabar mereka berdua agaknya. Selepas itu, malam ini Kak Izanor perlu masuk semula ke alam dongeng setelah sehari bercuti. Kak Izanor kena memeriksa keadaan Cinderellah dan Rapunzelah. Sudah berdamai atau masih bergaduh? Isk, risaunya!

Sampai kita bertemu lagi=)

Thursday, February 4, 2010

Alat Bantuan Kecemasan (Semasa Menulis)

Assalamulaikum dan salam sejahtera,

Selamat hari Jumaat, semua! Semoga sihat dan bertenaga:)

Hari ini Izanor asyik bersin-bersin. Selsema. Tetapi, tak apa-apa. Masih mampu mengadap skrin berpetak yang mesra ini. Demi berkongsi dengan para pembaca semua, Izanor mahu memberitahu beberapa alat bantuan kecemasan semasa menulis. (Janganlah terbayang simbol hospital pula. Langsung tak ada kaitan, ya :P)


 
Izanor amat memerlukan alatan-alatan kecemasan ini atau dengan nama lainnya, vitamin untuk kelancaran proses penulisan.

Alat yang pertama : Eye Glo! Sangat berguna buat melegakan mata yang penat dan pedih.


 
Panadol Soluble. Ha, Kak Izanor sudah ambil dua biji tadi. Stok sentiasa ada kerana Kak Izanor mudah diserang selsema. Lebih-lebih lagi apabila terkurung di dalam bilik berpenghawa dingin. Kulit tidak tahan sejuk! Huhu~


 
 
Kak Izanor biasa minum Nescafe semasa menulis. Cuma, kadangkala jika terlalu lama berjaga atau tidak cukup rehat, minuman Livita ini dicari supaya kembali cergas dan bersemangat! ;)


 

Yoko yoko! Ubat ini pun perlu juga. Setelah duduk tegak berjam-jam, aduh memang lenguh belakang dan pinggang dibuatnya. Hanya apabila benar-benar perlu barulah ubat ini digunakan.

 
Keropok! Kadang-kadang Kak Izanor termengantuk atau terbosan. Jadi, kenalah cari bahan untuk dikunyah demi menyelamatkan keadaan ;D Tidak semestinya keropok... coklat atau biskut pun tidak ketinggalan. Bergantung kepada `mood` si anak tekak=)

(AMARAN PIHAK PENAJA : Tidak baik untuk kesihatan)


Sekianlah catatan kali ini. Sampai kita bertemu lagi!

Thursday, January 28, 2010

Menghadiri Bengkel Penulisan

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Pada Ahad yang lalu, Izanor berkesempatan menghadiri bengkel penulisan di Taman Permata. Bengkel yang bertajuk KJ Method itu dikendalikan oleh Puan Ainon. Itulah kali pertama dalam sejarah. Bengkel penulisan terulung yang berjaya diikuti Izanor sepanjang bergelar penulis. Alhamdulillah! Selepas ini, Izanor berazam mahu menempah tempat ke pelbagai bengkel lagi bagi meningkatkan ilmu dan teknik penulisan.

Bengkel KJ Method menggambarkan cara mudah dan efektif bagaimana kita boleh menulis banyak buku secara serentak. Satu perkongsian yang amat menarik. Terima kasih banyak dikalungkan buat Puan Ainon. Gaya penerangannya ringkas, padat dan santai. InsyaAllah... Kak Izanor pasti mencuba dan mengamalkannya. Selain ilmu yang ditimba, Kak Izanor turut dapat beramah mesra dan menambah kenalan baru. Ada yang telah sedia berhubung di Facebook dan akhirnya bersua muka di sana. Ada juga yang langsung tidak dikenali tetapi cepat serasi. Terdapat tiga orang bakal penulis yang juga berasal dari Seremban. Seronok bertemu teman sekampung :D

Nota penting : Sentiasalah mencatat setiap butir peristiwa yang dilalui, info yang dibaca, maklumat yang didapati semasa berbual dan sebagainya di dalam sebuah arkib peribadi. Jangan berhenti! Di kemudian hari, tanpa sedar segala bahan terkumpul dan mampu dijadikan idea untuk 3 buah buku sekaligus. Boleh jadi juga lebih! Kak Izanor kebiasaannya membawa buku nota kecil ke mana-mana. Jika terlupa, Kak Izanor akan menggunakan telefon bimbit dan kembali merekod di dalam fail apabila pulang ke rumah. Adik-adik yang berminat mahu jadi penulis bolehlah mencuba teknik ini. Dengan umur yang masih muda, perjalanan adik-adik masih panjang. Banyak peristiwa dan pengalaman yang akan ditempuh. Penulisan buku yang banyak pasti mampu terhasil. Bertuahnya! :) 

Sekian saja catatan yang terungkap dari Bilik Biru kali ini. Semoga semua pembaca sihat dan ceria melalui kehidupan seharian. Sampai kita bertemu lagi =)

(Oh, ya. Tentang kuiz siapakah watak utama di dalam novel Aku Mahu Superbibik, jawapannya ialah : Ina dan Bibik. Terima kasih kepada semua yang menyertai!)

Thursday, January 21, 2010

Jodoh Perkenalan Dengan AinMaisarah

Assalamualaikum dan salam sejahtera,


Seperti yang dijanjikan, berikut adalah catatan jodoh perkenalan di antara kami berdua:)


Izanor yang suka buku dan gila buku tentulah akan sentiasa berkunjung ke kedai buku. Semasa keluar jumpa kawan, tengok wayang, beli baju, cari kasut dan atas tujuan apa sekalipun... kedai buku tidak pernah terkeluar carta Top 3:D Sama ada mahu membeli atau tak, Izanor tetap melangkah masuk ke dalam kedai buku Popular. Huh, macam ada magnet pula!


Tersebutlah kisah di suatu musim yang tak dapat dipastikan tarikhnya. Dalam pada membelek buku-buku yang tersusun, mata terpandang tajuk 'Tak Bisa Memilihmu'. Pegang dan baca sinopsis di belakang. Selepas itu letak semula di rak yang tersedia.


Hari lain di bulan yang lain. Ternampak pula buku Impiana dan Aku Mahu Popular. Masa itu baru sedar dan perasan yang ketiga-tiga buku ditulis oleh penulis yang sama. Hati mula berdetik tertanya-tanya! Siapa Ain Maisarah ya? (Apa nak buat, Kak Izanor memang tertinggal berbulan-bulan jauh dibandingkan adik-adik semua)


Oktober 2008. Sesi rehat di celah keributan timbunan fail yang melanda pejabat. Izanor jalan-jalan cuci mata melawat halaman di internet dan terjumpa rumah Pink. Segalanya telah terjawab! Barulah kenal insan yang bergelar AinMaisarah. Wow! Banyak buku yang sudah tertulis dan diterbitkan. Terkagum dalam diam dan tergerak mahu membaca hasil tulisan AinMaisarah yang sangat berkaliber itu.


Izanor memilih buku Aku Mahu Popular kerana itu merupakan karya yang pertama. Pulang kerja petang yang sama terus serbu kedai buku Popular. Tapi, kehabisan stok pula! Isk!


Esoknya, Izanor kembali ke rumah Pink dan beli secara terus! Gerenti dapat terus ke pintu rumah! Tak perlu risau lagi! Sebaik urusan pembayaran dibuat, memang bahagia berhari-hari sementara menunggu motor Postman :D


Januari 2009. Izanor hantar emel kepada AinMaisarah dengan tujuan berbincang tentang dunia penulisan. Berhajat mahu mendengar pengalaman dan mengetahui perancangan yang terperinci supaya dapat menulis dengan konsisten.


Selepas bertemu dan bercerita, keselesaan menjelma. Izanor sangat tidak menyangka bahawa di pihak AinMaisarah dan Tuan Pengurus sememangnya mahu mencari penulis bersama. Begitulah segalanya bermula!


"Kenyang memakan, kenyang menjual. Harapkan sebuku roti , tetapi ditawarkan pula sebuah kilang dan resepi membuat roti!”


(Adik-adik, janganlah buat laporan pada wartawan terkenal : Karam Singh Walia pula! Kak Izanor saja cuba bakat cipta peribahasa yang tak seberapa. Saja seronok-seronok=)


Alhamdulillah. Kak Izanor yang bernaluri seorang penulis tidak mampu menggambarkan kegembiraan di atas kerjasama dengan AinMaisarah. Penulis berbakat besar, berkaliber, menjadi idola dan kesayangan ribuan remaja telah memilih diri ini.


Bertuah! Ramai yang telah menyatakannya. Kak Izanor pasti ramai lagi yang akan menyebut ungkapan serupa. Kak Izanor sendiri terfikir-fikir dan sedar status kecil sebutir pasir di lautan penulisan. Kak Izanor berasa amat bertuah kerana dianugerahkan peluang hebat ini sehingga tiada kata yang dapat menceritakannya. (Pengakuan : Kak Izanor popular sebagai Ratu Air Mata di kalangan kawan-kawan rapat. Huhu... saat ini air mata sudah bergenang! Terharu dalam senyuman:)


Terima kasih Ain, kerana membawa Izanor ke dalam Tim AinMaisarah. Terima kasih juga dikalungkan buat Tuan Pengurus yang banyak mencurah idea, pengalaman serta tunjuk ajar. Terima kasih kerana Tuan Pengurus sudi menguruskan perjalanan kerjaya penulisan di antara kita bertiga. Jasa baik Ain dan Tuan Pengurus hanya tuhan yang mampu membalasnya.


Kak Izanor juga tidak melupakan para pembaca dan adik-adik yang banyak memberi galakan. Terima kasih semua! Sekarang, Kak Izanor mahu kembali ke alam dongeng. Perlu mencantikkan Cinderellah dan mengajar ilmu memikat si putera raja! Sampai kita bertemu di catatan yang lain.