Sunday, May 23, 2010

Ini Bukan ABC

Ada apa dalam kotak?

Menulis...

Itu bukan lagi rahsia! Semua orang tentunya tahu Izanor suka menulis. Lalalalala :D Tetapi, apa yang tidak diketahui ialah... sejak bila dan bagaimana ia bermula?

Sejak kecil lagi, Izanor memang suka membaca. Terlalu suka! Sebagai bukti, setiap kali isi borang biodata (sama ada hal rasmi sekolah atau buku biodata rakan-rakan) di garis tempat kosong ruangan hobi, membaca adalah aktiviti pertama yang mengetuai aktiviti menyanyi, bersukan, bermain hujan... ops! Seeloknya senarai hobi terhenti setakat ini sahaja agar kita tidak menyimpang jauh serta menyelamatkan para pembaca dari bahaya yang tidak terduga. Hehehe:P

Bukti yang kedua demi mengukuhkan lagi subjek penceritaan ialah, di sekolah dulu jawatan pustakawan telah disambar oleh Izanor dengan cara sering berkunjung ke perpustakaan ibarat rumah sendiri. Taktik yang amat berkesan lagi membahagiakan! 

Izanor baca apa sahaja bahan yang ada. Buku, surat khabar, majalah, poster, papan tanda dan lain-lain. Sejujurnya, Izanor mengakui hati lebih terpaut pada komik dan buku cerita. Tenaga membaca akan menjadi dua kali ganda pantas saat memegang Mutiara Naga:P

Izanor mula baca novel ketika di bangku sekolah rendah, darjah empat. Izanor jatuh suka! Bermula detik itu, lama-kelamaan setelah membaca berpuluh-puluh buah novel, Izanor sedar betapa menulis adalah satu perkara yang amat dekat dan tidak boleh dipisahkan dari hidupnya.

Menulis itu jiwa. Menulis itu nikmat. Satu anugerah yang hebat. Kepuasan menulis adalah sesuatu yang sukar digambarkan. Menaiki roller coaster, memenangi kejohanan olahraga, menonton bunga api mahupun percutian bersama keluarga... tidak ada bandingan tepat bagi menceritakan keseronokan menulis yang dialami.

Demi berkongsi dengan para pembaca tersayang, Izanor ada menyelitkan catatan diari semasa di tingkatan dua. Apa? Diari? Bukahkah kandungan diari sepatutnya rahsia dan tidak sesuai diperlihatkan kepada umum?

Ya, sepatutnya begitulah. (#_#)

Tetapi, diari Izanor ini ada sedikit kelainan. Di dalamnya tetap ada rahsia, catatan harian dan luahan perasaan. Namun, ia dalam bentuk yang selamat dan tidak memudaratkan mana-mana pihak. Mungkin agak berserabut, apa-apa pun... selamat melihat! ;) 



Ha, inilah yang dikatakan terlebih pandai! Okey, ceritanya ialah Izanor telah mencipta simbol-simbol bagi huruf A hingga huruf Z. Izanor mahu ada tulisan peribadi yang hanya difahami seorang diri. Ewah!

Pada mulanya, kesemua simbol tercatat lengkap pada sehelai kertas yang akan sentiasa dirujuk setiap kali mahu 'update'. Sampai satu masa, Izanor telah berjaya menguasai tulisan peribadi ini sepenuhnya. Atas dasar keyakinan yang tidak bertempat, Izanor tanpa secuit keraguan sesenang hati membuang kertas asli tersebut. Langsung tidak ada salinan pendua. Oh, bagusnya!

Setahun kemudian, Izanor sudah malas 'update' diari. Jika 'update' sekalipun, Izanor lebih senang menggunakan abjad ABC yang normal. Jadi... tentu semua pembaca sudah mampu mengagak pengajaran dari kisah ini, bukan?

Termenung terpacak tiga hari tiga malam sambil pegang kanta pun tak mungkin Izanor mampu baca simbol yang pelik-pelik ini!

(T__T) *penyesalan yang tidak berguna* 

Oh, pelik? Padahalnya, dulu dialah yang paling bangga sebab kononnya memiliki tulisan peribadi. Huhuhu~


Aduh, lucu dan tersengih juga dibuatnya mengenangkan memori ini :D Ada bentuk mahkota, daun, topi, burung, awan, bintang, bulan, matahari, mata, cendawan, tanda seru, tanda soal, kapal dan banyak lagi. Bijak, bijak... perasan bijak! Imaginasi terlampau seorang penulis! :P

Apa boleh buat, remaja zaman Izanor masih belum mengenali dunia internet yang mewujudkan ruangan seperti laman web dan blog. Sekarang senang, kita boleh kunci dan set privasi blog hanya untuk bacaan sendiri. Keinginan mencipta tulisan peribadi yang bukan-bukan pastinya tidak terlintas di fikiran! ;)

Ini bukan ajaib, ini bukan cubaan, ini betul-betul... kisah yang sebenar-benarnya~ 

Thursday, May 13, 2010

Penulis, Telefon dan Idea

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Ini cerita dua minggu yang lalu. Mungkin sudah agak lewat, tapi masih juga Izanor mahu mengisahkannya buat para pembaca. (Ala... mengaku sahajalah mahu mengadu. Mengisahkan konon! Hehehe)

 
Sabtu bersamaan dengan 1 Mei. Hari Buruh yang bertanggungjawab terhadap peristiwa itu. Peristiwa apa? Jeng, jeng jeng!

Sony Ericsson kesayangan telah hilang dari pandangan. Isk, isk...


Ya! Izanor kehilangan telefon yang belum mencecah dua tahun jagung usianya semasa pergi kenduri di rumah seorang teman rapat. Apa boleh buat? Hanya setakat itu jodoh perhubungan 'pemilik dan telefon' di antara kami.

Agaknya, Sony Ericsson sudah bosan dengan Izanor yang selalu mengabaikannya. Sony Ericsson kecil hati kerana Izanor lebih suka bertegur sapa dan bermain dengan keyboard laptop tanpa mengendahkan badan keypadnya. Sikap Izanor yang hanya mencari Sony Ericsson ketika mahu mengunci jam loceng semata-mata sememangnya tidak wajar.

Sebaik Izanor terjaga dari tidur atas khidmat yang dicurahkan oleh Sony Ericsson, Izanor akan kembali kepada laptop. Terus menghidupkan suis laptop dan berjam-jam menghabiskan waktu bersama. Apabila sudah kepenatan dan mahu melenakan mata, barulah bantuan Sony Ericsson diperlukan. Oleh itu, disebabkan segala penyebab yang menyeksakan lagi merana, Sony Ericsson pun membuat keputusan meninggalkan Izanor. Al-kisahnya~


Adakah teori sebegitu boleh dipercayai? Terpulanglah! Lalalalala;)


Sebenarnya, kehilangan telefon bukanlah sesedih mana. Rasa kecewa dan terkilan memang ada. Tapi, hanya di tahap biasa-biasa. Apa yang lebih menyedihkan ialah... kehilangan semua kandungan yang terdapat di dalamnya.


  • Kotak idea (terdapat beberapa idea yang tersimpan dalam fail draf. Idea tentang apa sahaja yang terlintas. Boleh digunakan untuk masa akan datang mengikut kesesuaian tema penulisan. Kebiasaannya, idea itu akan dimasukkan ke dalam laptop. Tapi itulah, belum sempat berbuat demikian idea telah terkubur bersama telefon yang entah di mana)

  • Nombor telefon rakan dan kenalan. Izanor hanya ingat dan hafal kurang dari sepuluh nombor. Alahai, sayang sangat.

  • Gambar-gambar yang menghuni My Picture. Sama ada yang dirakam sendiri atau dihantar oleh rakan-rakan. Lagi sekali, sayang sangat juga!

  • Alamat rumah, pejabat mahupun laman web yang penting-penting

Hmm, tak mengapalah. Walaupun kecewa, sedikit kesal dan terkilan dengan idea-idea yang berterbangan... Izanor akur atas apa yang terjadi. Semoga kehilangan ini menjadi garis permulaan kemunculan idea-idea baru yang lebih hebat dan mencurah-curah. Berusahalah! (Mengenggam penumbuk)


Patah tumbuh, hilang berganti. Telefon lama pergi, hadir telefon baru. Sebelum mengundur diri, saksikanlah bahan bukti yang terpapar di bawah ini. Semoga pembaca-pembaca sentiasa ’cool’ tidak kira apa jua dugaan yang dilalui. Senyum-senyum bunga, semua! Sampai kita bertemu lagi (^_^)



Julai 2008-Mei 2010 : Si Lama yang terasa diabaikan, merajuk dan hilang.



Mei 2010: Si Baru ini milik adik yang mempunyai dua telefon. Ya, Izanor gembira kerana ada jam loceng yang mampu menganggu dan mengatur kehidupannya seperti biasa. :D


Nota: Tujuan catatan ini dihebohkan bukan untuk minta simpati. Tetapi, sekiranya sebuah telefon baru muncul sebagai hadiah... semestinya tidak akan ditolak dan diterima dengan senyuman yang melebar hingga ke telinga. Hohoho:P Gurauan semata-mata, okey! (~_v) 

Thursday, April 29, 2010

Sibuk Ribut?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Apakah sibuk ribut?

Apa yang dimaksudkan dengan sibuk ribut?

Okey, itu bukan peribahasa baru ya! (^_^;) Jangan pula digunakan ketika menjawab soalan peperiksaan mahupun semasa mengarang surat rasmi. Sungguh kasihan sekiranya Izanor dipersalahkan dan dituduh sebagai perosak Bahasa Melayu. Oh, tidak!

Sibuk Ribut.

Ia adalah perkataan simbolik bagi menggambarkan layar kehidupan Izanor sejak kebelakangan ini.
Pembaca-pembaca semua... anggaplah ini sebagai kelas tidak rasmi yang tiba-tiba wujud demi catatan terbaru sekaligus penjelasan status terkini Izanor adanya.

Sibuk : Situasi pelbagai perkara yang menuntut perhatian, masa dan tenaga.

Ribut : Sesuatu yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Keadaan kucar-kacir yang melanda, menyerang dan muncul dengan kadar yang hebat serta dasyat. (Wah, bukan main lagi! Hehehe)

Jadi, apabila sibuk digabungkan dengan ribut... KEBABOM! (Para pembaca pasti tidak mahu tahu apa yang berlaku seterusnya. Pura-pura faham dan bersimpatilah. Huhuhu)

* * * * *

Apa yang menyebabkan terjadinya gejala sibuk ribut ini?

1) Tentu sahaja masih menulis manuskrip yang menguji ketahanan mental dan fizikal itu. (Selesai setiap perenggan penulis akan melafaz alhamdulillah dalam hati dan menjerit 'Ho Yeah' bagi menguatkan semangat agar terus berjuang.)

2) Sungai Kertas Restoran (Penulis telah dilarikan dan dijadikan tawanan oleh pihak pengurusan restoran. Penulis juga diberi tugasan khas sebagai 'Tukang Masak Terjun.' Percayalah!)

Akibat yang terhasil dari gejala sibuk ribut:

- Baru tadi dapat tahu bahawa di ruangan status Facebook sudah ada ikon SMILEY.

- Sudah dua minggu mengabaikan Bilik Biru ini. Isk, isk, isk...

- Demam selsema yang sentiasa datang dan pergi dan datang kembali.

- Setiap kali tengok kalendar pasti akan berkerut dahi berlapis-lapis tidak mahu terima kenyataan bahawa masa berlalu dengan pantas.

Cukuplah setakat itu! Jika mahu disenaraikan semuanya tentu panjang berjela dan pasti ketara keburukan gejala sibuk ribut di mata masyarakat. Penulis juga mungkin digelar seorang yang manja dan suka mengadu domba sedangkan itu tidak benar sama sekali. (Penulis sentiasa suka berdikari dan hanya menyatakan fakta)

Di catatan yang lain Izanor akan berkongsi lebih lanjut cerita tentang ’keseronokan’ sebagai 'Tukang Masak Terjun.' Selain itu, Izanor juga mahu mengadakan segmen kuiz yang dinamakan ’Kuiz Pelangi’. Ada soalan dan hadiah yang disediakan buat pembaca istimewa. Bila agaknya? Hmm, tunggu sedikit masa lagi. Tunggu gejala sibuk ribut ini kembali reda. Tunggu, ya :D

Oh, ya... ada sedikit permintaan dan kerja rumah yang mahu Kak Izanor tinggalkan di sini. Apa kerjanya? Hmm, Kak Izanor mahu mewujudkan satu kategori baru yang mengisahkan pengalaman-pengalaman lalu sama ada yang suka mahupun duka. Jadi, Kak Izanor mahu minta pandangan apakah nama atau tajuk yang sesuai digunakan? Beberapa contoh yang terlintas di fikiran ialah:


  • Kotak Memori

  • Kenangan Lalu

  • Terkenang Kisah Dulu
Biasa-biasa sahaja, kan? Hai, Kak Izanor memang ketandusan idea yang menarik. Semoga para pembaca yang budiman lagi bijaksana dapat membantu:)  Tinggalkan cadangan masing-masing di ruangan komen ya. Baiklah, senyum-senyum bunga ^_^ . Sampai kita bertemu lagi. 
  

Wednesday, April 14, 2010

*Sabah Bah*

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Apa khabar? Izanor harap semua pembaca sentiasa sihat dan ceria. Catatan kali ini hadir kerana mahu berkongsi sedikit paparan dan kenangan yang terakam semasa Izanor berkunjung ke Sabah. Negeri di bawah bayu yang tenang dan tenteram. Walaupun kawasan penginapan Izanor yang terletak di Kota Kinabalu sering dilintasi kapal terbang, namun bunyi tersebut ibarat penghibur buat diri ini. Satu pengalaman baru yang menyeronokkan! :D

Wajah-wajah yang menyertai rombongan tiga hari dua malam ke Negeri di Bawah Bayu. Kami berbangga! Walaupun tak dapat pergi ke kaki Gunung Kinabalu, dapat ambil gambar berlatarkan pemandangan yang begitu tersergam pun sudah kira okey :D

Masing-masing berkhayal. Adik perempuan bertekad selepas tamat sekolah nanti mahu menakluk puncak Kinabalu. Adik lelaki membayangkan aksi bermain gitar ditemani sejuk segar angin Kinabalu. Izanor? Tentulah mahu membaca buku di atas sana. Azam ingin membina perpustakaan mini pun tak mustahil juga! Lebih seronok apabila perpustakaan itu dipenuhi berpuluh buah buku karya sendiri...

"Pandang kamera!" Arah si tukang tangkap gambar dan khayalan pun termati! Hai... usahlah berangan terlalu tinggi! Menulis manuskrip masih terkial-kial... ada hati membina perpustaan? Di atas gunung pula! Memang melampau! *Penulis berjaya menasihati diri sendiri* 

Kecuali Izanor, ahli keluarga yang lain  memang suka bergambar dan bergaya. Saat ini semua sudah kembali ke dunia nyata adanya. ;)

Inilah bas yang telah menampung tubuh-tubuh ahli rombongan kami. Lihat namanya, T.U.T! Sungguh unik!

Ini pula kedai runcit yang kami serbu apabila perut sudah berbunyi pukulan dram. Kenapa mahu ambil gambar dan tunjuk di sini? Kedai runcit ada di mana-mana, apa yang menariknya? Pembaca-pembaca semua bijak, bukan... tentulah disebabkan nama kedai runcit yang mempunyai daya tarikan tersendiri. API-API! Izanor seolah membayangkan KUNANG-KUNANG sebaik mengetahui nama kedai ini. Haha, apa kaitannya?

Okey, ini adalah bukti. Oleh itu harus ditunjukkan. Izanor tak mahu menyorokkan apa-apa tanda yang tertulis perkataan Sabah. Oh, mereka telah menyediakan lauk kerabu sotong yang enak!

Ya, sekali lagi. Penekanan tanda-tanda yang membuktikan Izanor memang berada di Sabah. Ya, Izanor tahu bahawa 'dua model` di atas telah dipergunakan dengan jayanya. Apa boleh buat, memang gambar Izanor amat kurang dan langsung tiada pada babak ini. Harap penjelasan itu mampu diterima. Lalalalala:)

Penerbangan pulang ke KLIA. Makluman ya, tempat duduk di hujung tingkap adalah milik Izanor pada asalnya. Tetapi, telah dirampas oleh si baju putih yang gila kuasa. Huhuhu. Izanor tak mahu bersedih kerana telah puas berada di kedudukan yang sama semasa penerbangan yang awal. Jadi... si baju putih selamat dan tidak didakwa.

Gunung Kinabalu ini khabarnya selepas jam sebelas pagi kita tak akan dapat melihatnya lagi kerana terhalang oleh kabus-kabus yang pasti berleluasa. Pemandangan diambil semasa kami sudah menaiki bas untuk beredar ke destinasi yang seterusnya.

Tamat! Begitulah serba-sedikit coretan yang mampu Kak Izanor nukilkan buat pembaca. Walaupun agak sibuk, Kak Izanor berusaha juga merealisasikan entri ini bagi menutup dan melindungi entri sebelumnya yang agak sentimental *Virus malu-malu gajah*

Okey, semoga para pembaca turut gembira. Kak Izanor tak boleh menaip dengan lebih panjang kerana timbunan kain baju yang riuh menjerit minta dibelai. (Bakul hanya di sebelah ini sahaja. Itu pun kain baju tergamak hendak  menjerit. Bingit telinga Kak Izanor tahu. Huhuhu)

Kisahnya, kami selamat tiba dan menjejak rumah pada jam 9.30 malam hari Ahad. Isnin dan Selasa aktiviti mendobi sepenuh masa. Jadi... tentulah acara melipat dan mengasingkan kain baju buat seisi keluarga dijalankan pada hari ini. Siang tadi hanya sempat mengangkat dari ampaian. Malam ini iaitu sebentar lagi bolehlah 'gunung kain' itu ditarah.

Walaupun menulis buku Aku Mahu Superbibik, rumah Kak Izanor tidak mempunyai bibik ya :D Anak-anak lelaki sibuk berkelana (menara gading, mencari rezeki, bermain futsal dan PSP) Anak perempuan keluarga ini hanya ada dua orang. Adik perempuan Izanor pula seharian penat di sekolah. Ada aktiviti sukan yang melelahkan. Akan menghadapi peperiksaan PMR pula tahun ini. Mereka semua tak boleh diganggu! (Ayat penegasan, bukan mengambarkan emosi yang marah. Tak ada sebab Kak Izanor mahu marah. Hehe)

Kesimpulannya... Kak Izanor yang merupakan seorang penulis sepenuh masa harus menjadi SUPER setiap masa. Adakah ini dikira sebagai mengadu atau meluah perasaan? Isk, tidaklah! Kak Izanor okey sahaja. Menyayangi keluarga sendiri itu sifat yang mulia. Kak Izanor mahu kasih sayang ini bersemi selamanya. 

Di sini... di rumah semangat mawar ini... Kak Izanor sesungguhnya amat bahagia. Walau di mana pembaca-pembaca berada, Kak Izanor berharap semuanya turut berbahagia. Sampai kita bertemu lagi. Senyum-senyum bunga! (^_^)     

Monday, April 5, 2010

Diari Pesta Buku (Akhir)

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Apa khabar semua? Terima kasih kerana setia menanti diari yang asyik bersambung-sambung ini. Jangan risau, ini adalah kiriman yang terakhir. Beerti, tiada lagi episod seterusnya yang perlu ditunggu-tunggu. (Entah-entah tak ada siapa pun yang tunggu. Hai, sedarlah diri wahai Izanor! Hehe)

Pertamanya, Kak Izanor mahu mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka... (tak ubah seperti ayat dalam karangan berbentuk ucapan Bahasa Melayu:)

Okey, tukar ayat! Bersaksikan kalendar, telefon bimbit, segelas air, deretan buku-buku yang baru dibeli, mangga kunci, taburan duit syiling, hmm... (menjeling segala muatan yang mendiami meja ini) Kak Izanor ingin merakamkan penghargaan buat semua yang hadir ke Kedai Pink, yang bertegur sapa, yang bergambar mesra, yang membeli buku Aku Mahu Superbibik, dan juga kepada yang tak berpeluang hadir ke Kedai Pink, yang terus menyokong dari jauh, yang berhajat mendapatkan buku Aku Mahu Superbibik di pasaran tak lama lagi.

*Lukisan hati Izanor*

Kak Izanor juga ingin memohon maaf, jika terdapat kekurangan dan kesilapan seperti :

*Malu-malu gajah apabila berhadapan dengan benda yang disebut kamera.
*Tandatangan yang tak gah dan kelihatan seperti cakaran sesuatu.
*Agak diam kononnya menyembunyikan emas permata di dalam mulut.

Kak Izanor akui diri seorang yang pemalu. Pengalaman bertemu pembaca dan menyertai sesi tandatangan adalah sesuatu yang luar biasa. Oleh itu, reaksi dan babak yang tak dapat kita jangka memang banyak berlaku. Tidak dapat tidak, Kak Izanor pasti tersipu-sipu setiap kali diperkenalkan sebagai penulis bersama buku Aku Mahu Superbibik. Oh, tak mahu ingat lagi :P

Apa pun, Kak Izanor bersyukur sangat kerana banyak contoh dan panduan dapat dipelajari dari AinMaisarah yang berwibawa. Kak Izanor akan berusaha secara berperingkat demi mengatasi segala kesulitan yang timbul dan kata-kata semangat dari pembaca-pembaca umpama vitamin yang amat diperlukan.

Maka, sekian saja pengalaman sepanjang di Pesta Buku 2010 yang mampu dikongsi Kak Izanor bersama para pembaca. Tahun depan tak tahu lagi bagaimana pula ragam dan rentaknya. Baiklah, sampai kita bertemu lagi.

Senyum-senyum bunga! (^_^)

Friday, April 2, 2010

Diari Pesta Buku (Episod Dua)

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Semoga semua pembaca berada dalam keadaan yang tenang dan ceria. Tanpa mahu menaip panjang, kita terus menuju ke akar penceritaan. Masih lagi berkisar tentang asam garam suasana Pesta Buku yang lalu. Apa yang Izanor mahu kongsikan ialah... beberapa insiden yang telah telah terjadi dan terpatri.

Setiap malam, Izanor akan dihantar pulang oleh adik Tuan Pengurus. Beliau meletak kereta di kawasan kompleks membeli-belah The Mall. Hendak dijadikan cerita, satu malam yang tak mahu dikenang-dikenang... Izanor entah bagaimana tercicir sebelah sandal yang dipakai. Aduh! Kehilangan sandal tersebut hanya disedari semasa kami mahu singgah di sebuah gerai untuk makan malam. Izanor tercari-cari, terpinga-pinga dan amat hairan dengan sandal yang tiba-tiba ghaib.

Kedua orang adik Tuan Pengurus akhirnya membuat andaian mungkin sandal tersebut tertinggal di The Mall sana. Mereka sungguh gelihati dan asyik mengusik Izanor tentang `tragedi` tersebut. Suka atau tidak Izanor harus menerima kenyataan dan turut sama berasa lucu.

Keesokan harinya, Izanor meminjam sandal kawan dan datang ke PWTC dengan perasaan yang selamba. Kami berkumpul di tingkat bawah sementara menunggu pintu utama dibuka. Beberapa minit kemudian, adik Tuan Pengurus tiba dan menyerahkan sandal yang dipercayai tercicir semalam.

Mengikut kata mereka yang meletak kereta di tingkat dan sudut yang sama, sandal itu berjaya ditemui setelah menyelongkar tong sampah yang berdekatan. Wah, memang seperti babak dalam filem! Tak sampai seminit juga cerita tersebut diketahui oleh semua penghuni Kedai Pink. Usik mengusik terus berlarutan bukan setakat berjam-jam seterusnya, tetapi juga berhari-hari dan pasti lekat di ingatan semua.

Kak Izanor sedang menulis cerita Cinderellah kan? Hai, tak sangka pula mengalami kes tercicir kasut @ sandal seperti watak Cinderella dalam kisah dongeng. Aura yang muncul jadi realiti nampaknya. Mari ketawa beramai-ramai! :D

Cukup. Abaikan cerita di atas. Beralih ke insiden yang lain. Kami bagaikan artis! Kenapa? Setiap kali mengangkut mahupun memeluk kuda laut dan teddy bear yang merupakan pujaan ramai itu, banyak pandangan yang tak berkelip dan tak kurang yang mencuba nasib, merayu agar dihadiahkan kepada mereka.

Perjalanan dan laluan kami dari tingkat bawah ke atas pasti tersangkut demi melayan permintaan orang ramai yang mahu menyentuh kelembutan spesis comel tersebut. Para pembaca yang turut menaruh hati dan harapan tidak perlulah berasa kecewa kerana, Kak Izanor pun tak terpilih untuk memilikinya. Huhu. Mari berselubung dan meraung di bawah selimut sekarang. (Ajak-ajak ayam okey! :P)


Alahai comel dan gebunya! Cukup sekadar disemat dalam hati. Okey, cool! ;)

Lupakan kesedihan yang hanya sementara. Mahu tahu ayat popular apa yang sering meniti di bibir Kak Izanor dan semua penunggu tetap Kedai Pink?

"Pernah baca buku Ain Maisarah?" Soalan ini biasanya ditujukan buat pengunjung yang mungkin hanya pernah membaca sebuah atau tidak pernah langsung membaca karya Kak Ain. Seterusnya penerangan lanjut adalah berkenaan semua siri Aku Mahu dan watak-watak sekolah Sri Bangsar. 

Sesi ini sama sekali tidak diperlukan bagi pembaca-pembaca yang aktif di Facebook dan portal sekolah Sri Bangsar yang sudah tentu mengetahui kewujudan Kedai Pink dan apa yang yang ditawarkan. Pembaca yang aktif akan terus memilih buku-buku yang diminati dan mampu mengenal key-chain, button badge, dan barangan yang lain.

Bersambung lagi... (Dup dap, dup dap ke? Tak mungkinlah. Mana ada cerita yang mendebarkan;)

Thursday, April 1, 2010

Diari Pesta Buku (episod satu)

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Tarik nafas dan hembus. Tarik lagi... hembus! Apa? Bagaimana? Aduh! Akibat terlalu lama tidak mengarang entri, Izanor jadi buntu. Tidak tahu hendak bermula dari mana dan bercerita tentang apa. Isk! Sedar tak sedar, sudah lebih dua minggu Bilik Biru ini ditinggalkan.

Okey, secara ringkas dan mudahnya Izanor mahu berkongsi rentetan peristiwa yang terjadi sepanjang sepuluh hari berkampung di PWTC sempena Pesta Buku.


  • Izanor menumpang di rumah sahabat baik yang dikenali sejak darjah lima. Rumahnya terletak di deretan kedai tiga tingkat berhadapan dengan tasik, kawasan Sri Rampai. Oleh itu, setiap pagi sementara menunggu teksi ke stesen Putra Lrt... terdapat ramai orang yang berjoging di sekitar tasik dan telah berjaya mengundang rasa cemburu Izanor yang telah berkurun tidak bersenam. Huhu.

  • Di stesen Lrt pula, ada hari-harinya akan terjadi babak Izanor berlari-lari anak kerana berlumba dengan waktu dan demi menyelitkan tubuh ke dalam gerabak yang sentiasa penuh. Fuh! Babak berkenaan juga telah menyebabkan Izanor perasan dirinya seperti watak utama dalam drama Korea yang sering menaiki pengangkutan awam tersebut. Hehehe:P

  • Sepanjang bertugas mengendalikan keributan di Kedai Pink, kami semua diyakini tidak cukup tidur dan gagal meraih lena yang melebihi lima jam. Tanpa segan silu, kami dengan bahagianya mempamerkan lirikan mata panda kepada semua pengunjung yang singgah dan memeriahkan suasana di PWTC :D

  • Situasi yang pasrah: Walaupun hanya beberapa langkah dari Kedai Pink, walaupun tapak kedai tersebut hanya selang dua buah atau di sebelah hadapan sana... Izanor hanya mampu menelan pengumuman yang menghebahkan kedatangan individu-individu seperti Datuk A. Samad Said, Dr. Fazley (Besta), Farid Kamil dan beberapa nama lagi. Ya, pembaca semua tentu sedia maklum, memang tak menang tangan mahu melayan para pengunjung dan prinsip yang Izanor kekalkan ialah sama seperti Petronas : MESRA!

  • Tiga hari terawal dan terakhir Pesta Buku, kami memang tidak berkesempatan untuk menjamah nasi semasa bertugas walaupun secara bergilir. Hanya roti, biskut dan keropok yang diberi penghormatan menghentikan nyanyian sang perut.

  •  Seperti yang diduga tanpa bantuan si Tukang Tilik, hanya ini buku-buku yang berjaya dibeli.
14 buah dicampur dengan sebuah buku lagi yang tidak terselit dalam gambar. Setakat ini, Kak Izanor telah tamat membaca Mat Despatch. *Bangga*

Nota : Perlu bangga kerana amat susah memiliki masa membaca seperti bermimpi untuk makan aiskrim Paddle Pop berturut-turut selama seminggu. Tidak mustahil tetapi agak sukar:P

Bersambung ke episod dua...