Wednesday, May 16, 2012

Ada Apa Dengan Senah White dan Wannababes Kerdil?


Fine. Saya terima dan bersetuju dengan pilihan Di. Saya akan memakai gaun Puteri Ariel, tetapi…saya benar-benar maksudkan apa yang saya beritahu sebelum ini. Saya tetap ingin warna ungu!”


Wah! Saya sudah jumpa! Cantiknya gaun ini!” Diana melekapkan tangan ke dada, sejurus sahaja gaun gabungan biru dan kuning itu ditemuinya.Terburu-buru menghadap cermin yang seluas dinding. Diana tersenyum meleret dan berbisik. “Lihatlah, kawan-kawan… betapa uniknya kolar putih yang terjahit. Kelebarannya! Lengkungannya! Saya memang padan sekali menggayakan gaun ini!”


“Mana? Tunjukkan pada saya gambarnya.” Hati Shasha terasa sejuk, lembut dan mencair. Tergambar rasa suka menerusi renungan matanya yang penuh bercahaya. “Saya mahu gaun ini. Jangan sesiapa berebut-rebut dengan saya!”


Hmm, saya rasa tidak ada sesiapa yang dapat melawan gaya Puteri Giselle…” Kedua belah tangan Sazzy tergenggam erat sambil menupang pipi. Dia kemudian terpusing-pusing sendiri.


Nana pula bertindak mengembangkan gaun kuning airnya. Sebelah kaki ditolak ke belakang meniru lagak penghibur yang selesai mengadakan persembahan. “Lihatlah saya yang semanis Puteri Pocahontas!”


“Jangan buat-buat rabun, ya! Puteri Belle sedikit pun tidak ada kekurangannya. ”Gaun kuning keemasan yang tersarung kemas kelihatan sepadan dengan warna kulit Linda. Rekaan ropol yang bertingkat-tingkat tambah menyerlahkan kecantikannya.


Hmm, saya rasa tidak ada sesiapa yang dapat melawan gaya Puteri Giselle…” Kedua belah tangan Sazzy tergenggam erat sambil menupang pipi. Dia kemudian terpusing-pusing sendiri.Nampaknya belum apa-apa, dia sudah mula berkhayal bersiar-siar di taman istana!


“Ingat! Tidak perlu jadikan puteri dongeng sebagai idola. Mereka hanya cantik dalam gambar. Itu pun pada gambar yang berwarna! Gambar yang menunjukkan majlis tertentu. Langsung tidak sama dengan kita yang bergaya dan sentiasa menjaga imej. The Wannababes yang paling anggun.The Wannababes yang paling jelitawan dan lebih hebat lagi tidak terkira!”

(6 orang The Wannababes teruja memakai gaun-gaun. Berbeza amat dengan Fasha yang anti dan merendahkan martabat puteri-puteri dongeng)


“Tidak ada pokok bunga! Saya mungkin akan rindukan taman di rumah saya. Tetapi… tidak mengapa! Saya boleh baca buku-buku tentang bunga. Saya juga boleh tonton dokumentari atau drama yang memaparkan kisah pokok-pokok bunga.” Senah White pandai memujuk diri tanpa membebankan sesiapa. Dia memang tidak memiliki gen diva-diva! Dia memang seorang yang mudah!

(Wah! Budi pekerti Senah White benar-benar tulus, luhur dan seputih namanya)

Sunday, April 22, 2012

Ada Apa Dengan Alakudin dan Lampu Tidak Ajaib?


“Mahu hilang sekalipun, tunggulah tiga permintaan disebut dan tunaikannya dahulu. Selepas itu, menghilang ke planet bulan pun tidak ada siapa yang kisah. Mahu berkebun atau bercucuk tanam di planet bintang pun tidak mengapa. Ini tidak… mentang-mentang ada kuasa, jin tidak guna itu terus tinggalkan si penggosok lampu yang amat mengharap. Memang dasar jin yang tidak bertanggungjawab!” Suara Alakudin semakin melantun-lantun. Semakin kuat dan besar gelombangnya.

(Klien kes dongeng keempat yang dramatik, oh!)

“Tidak perlu siasat-siasat. Biarlah jin ada dua atau tiga sekalipun, kita berkenalan sahaja dengan setiap jin!” Beritahu Fizz mudah. Ketua kumpulan pencari jin memang selamba!

(Fizz Fazlullah ejen Konsortium Pari-Pari yang bertanggungjawab)

“Milo rasa lebih memalukan bila awak terketar-ketar di hadapan Puteri Wangi Jasmin. Bayangkanlah, betapa teruknya situasi kekok yang akan dilalui nanti. Tertunduk-tunduk merenung lantai! Tergagap-gagap memperkenalkan diri. Terpinga-pinga terkelu lidah! Itu yang awak mahukan?” Milo menyenaraikan semua kebarangkalian negatif yang akan berlaku. Anak murid yang degil seperti Alakudin harus ditakutkan kerana suka sangat melawan dan membantah!

(Siapa yang tidak kenal Milo, si kucing terbang yang kuat bercakap pot pet)

Kata-kata Alakudin menggandakan rasa geram Tizz. Wajah selamba itu direnungnya tajam-tajam dan dalam-dalam. “Tujuan saya berada di sini bukannya mahu berkenalan atau mencari sahabat. Puteri Wangi Jasmin atau Puteri Busuk Jasmin sekalipun, tidak ada kepentingan langsung buat saya!” Tizz bercekak pinggang, merungut dan memprotes.

(Tizz Tiranah yang bercita-cita tinggi membantu abang tersayang)
* * * * *

“Itu suara siapa?” Milo berputar-putar sambil memantau keadaan sekeliling. Tercari-cari arah kemunculan suara asing yang bernada garau itu.
Suara asing itu ketawa! Walapun bunyi ketawanya pendek dan perlahan, namun garaunya bertambah-tambah. Ish! Agak menakutkan gegendang telinga jugalah!
“Eh, jangan main-mainlah. Jangan suka sangat! Itu suara siapa?”
“Ini suara sayalah.”
Rimas Milo melayan sikap pemilik suara garau. Mahu bermain tarik-tarik tali pula! “Saya itu siapa? Cakaplah nama!”

* * * * *
Suara siapa yang garau dan misteri itu agaknya? Hmm! Mahu berkenalan dengan Ben Ten Ten yang tinggal di Rumah Kotak ZZ? Mahu melawat dan menemui banyak gerai-gerai pelik di Pasar Dongeng Ria? Marilah mengembara bersama kumpulan pencari jin dan menyelesaikan kes dongeng yang keempat ini! Semuanya akan terjawab dalam kisah Alakudin dan Lampu Tidak Ajaib yang mula dijual di Pesta Buku Antarabangsa 2012 (KLIBF) PWTC.

Wednesday, February 29, 2012

Wordless Wednesday : Aku Mahu Superbibik!


*Ada sesiapa kehilangan bibik berkasut kilat dan bergaya SUPER seperti ini?* 

Wednesday, January 18, 2012

Sembilan Watak Penulis

Seorang penulis dilahirkan dengan bakat atau dicipta? 

Bakat diasah dan ditajamkan seiring putaran masa. Minat dipupuk dan dikembangkan mekar dengan pelbagai teknik yang mengitari seisi dunia. Semua orang boleh menulis! Ada yang suka tulis cerpen. Ada yang minat tulis novel. Ada yang pandai tulis ayat berbunga. Ada juga yang berseri muka selepas menaipkan (menulis) pesanan ringkas menerusi telefon Blackberry Bold kesayangannya.

Menulis? Menjadi penulis? Mahu menulis cerita serius atau kelakar? Tulisan sependek lima potong ayat atau setebal 500 muka surat?

Terpulanglah! Bergantung kepada sebanyak mana usaha, masa, dan tenaga yang ingin dicurahkan. Bergantung atas pilihan yang mencorakkan lukisan planet bumi tulis kita. Hm! Minat memang minat. Jantung selalu dup dap terlampau bersemangat yang jika pergi buat pemeriksaan X-ray akan terpacul imej mesin taip gamaknya. Berkobar-kobar tak mampu digambarkanlah. Sama taraf dengan wira sukan yang mengharumkan nama negara-disambut dengan jambangan bunga di KLIA.

Namun... ada satu VIRUS yang selalu jadi penghalang. Virus tanpa nama. Virus pemusnah misteri. Virus yang menyebabkan semangat menulis setakat suam-suam dan adakalanya melenyap terus. Padahal kita sudah bersedia, buat jadual menulis dan sistem minda mensasarkan 10 helaian siap bertaip. Tiba-tiba, setakat 60 kali detikan minit-minit, otak sudah penat. Kiub-kiub idea bertaburan merata-rata. Graf tekad menulis pun merosot. Puf! Terus putus asa!

Tekad menulis baru hendak bersinar, virus muncul meledakkan kuasa tanpa kasihan. Umpama cahaya lilin atas kek yang terpadam sebaik tamatnya lagu selamat hari lahir! 

(X_____________X)

Okey! Abaikan dan jangan cakap tentang virus lagi. Selamat tinggal virus!

Kita beralih ke topik istimewa. Watak seorang penulis! Yeah! Ubat atau penawar? Hm... pilihan kita akan jadi penentu sama ada mahu menghapuskan atau terus berdampingan dengan si virus. Isk, siapa yang ingin berdampingan? Beri percuma pun tentu tolak mentah-mentah. Lagipun, tadi sudah umumkan tak mahu bercakap lagi tentang virus. Baik... baik!

Misi memperkayakan jiwa dengan ciri-ciri yang tersenarai. Demi melayakkan diri berstatus penulis paling cool dan hebat. Memang penting kita memiliki sembilan peribadi watak sebagaimana yang dicadangkan.

Izanor sendiri masih dalam proses pembelajaran. Dan... ini versi hasil eksperimen dan pengakuan tulus dari saya.


1) Habit Membaca




Saya suka membaca! Sayalah rama-rama buku (tak mahu jadi ulat). Kronologi jadi pengawas perpustakaan semasa di sekolah rendah dan menengah sebagai bukti kecintaan terhadap buku. Pernah cipta rekod tidak tidur semalaman sebab berjaya borong 6 buah buku. Teruja membaca secara marathon tanpa henti dan esoknya bersekolah pagi seperti biasa (janganlah dicontohi huhu).

Membaca tanpa kira situasi. Membaca apa saja bahan dan info. Di saat hati suka dan seronok sangat mahu habiskan bacaan, sambil membuai-menidurkan adik bongsu pun boleh membaca. Sebelah tangan hayun-hayun, sebelah tangan lagi pegang buku. Oh, itu memori tingkatan satu! Sambil isi kain kotor dalam mesin basuh, terjelingkan helaian suratkhabar di sudut kaki, hm! Automatik tangan panjang mencapai lalu baca tajuk yang memancing minat seketika tadi. Seminit dua pun jadi. Peh! Sila buat ombak sebagai tanda kekaguman.

Buku (sebenarnya komik) pernah dirampas pihak sekolah sebab membaca ketika guru mengajar. Sekejap ekor mata melirik dan tunduk membaca, sekejap pandang ke depan. Bakat lakonan tanpa sempadan katakan. Selamat dan sejahtera! Tapi, ada kawan yang mengadu selepas habis kelas. Tiba-tiba, datang pengawas buat segmen terjah. Haish! Hm... tak perlu buat ombak. Para pembaca diizinkan mem-booo dengan vokal secara bisikan (sekali lagi, sikap yang janganlah dicontohi)

Semasa di kolej pula-minggu peperiksaan yang ribut. Berulang dari Seremban ke KL. Sepanjang perjalanan memang serius-skema mata asyik terpaku pada nota poket. Hanya berehat dan iklan saat membeli tiket, memasukkan tiket ke mesin, melangkah ke pintu masuk komuter - tren LRT dan sesekali angkat muka risau terlepas stesen yang dituju. Percayalah... sambil jalan pun membaca! Bergantung harap pada deria khas naluri supaya tak terlanggar tiang mahupun tersungkur ke lantai. Juga deria pandangan sisi yang hanya terasa angin selisih orang ramai lalu lalang tanpa menjeling pun. Memang tak pedulikan dunia sekeliling. Dalam otak terbayangkan deretan soalan yang mencekik urat nafas, erk.

Dasyat! Tapi... rindu mahu ulang aksi yang serupa :D Hm! Pelajar yang panik di saat akhir macam itulah. (Ya... tak perlulah mencontohi amalan menyeksa diri ini)

Aksi normal membaca yang lain sudah tentulah banyak. Sengaja berkongsi cerita dan pengalaman yang kononnya sensasi hehehe.

Keputusan eksperimen: LULUSsss! 


2) Imaginasi


*Kamilah superheroin penyelamat dunia*


*Bakal jadi jurulatih pasukan klon Harimau Muda*


*Berangan bina perpustakaan di puncak gunung Kinabalu ewah*


*Sampan kertas ber-inovasi menjadi kotak pensil*


*Oh, akukah si duyung itu?*


Terbuktilah sudah daya imaginasi terlampau yang tak mampu disembuhkan hasil paparan imej-imej di atas:D

Keputusan: LULUSsss!


3) Kritikal


Fokus imej dari depan yang terpaling cantik?


Fokus dari sisi dan jauh sikit pun cantik juga!

Ini baru dua contoh. Ada banyak lagi sudut dan fokus yang boleh dirakamkan. Sama juga dengan hasil tulisan kita. Idea yang tercetus di otak apabila ditaipkan pasti ada perubahan dan perkembangan. Setiap kali semakan semasa sesi bacaan semula tentu ada suntingan. Jangan pernah berpuas hati! Jangan terlalu yakin walau bisik hati kecil menyatakan yang baik-baik.

"Wah! Seronoknya baca dialog yang saya tulis. Sebiji demi sebiji perkataan pun bagus! Saya sungguh berbakat mengarang ayat yang kelakar. Sesiapa yang baca gerenti terpikat dan ketawa tiga jam berterusan. Apa yang ingin disampaikan mesti terpanah ke hati pembaca punyalah! Pembaca mesti termimpi dan mengigau berhari-hari selepas baca hasil tulisan saya hohoho."

"Kenapa bagus sangat jalan cerita yang saya tulis? Konflik ada banyak! Drama bukan main lagi! Sepuluh kali baca pun saya jamin tak akan ada orang yang bosan. Novel yang terbaekkk macam ini, mesti ramai yang bercakap, post status FB dan Twitter... untungnya dapat iklan percuma! Jadikan hadiah untuk kawan pun okey. Hai... saya pun hairan juga, berapa kali semak tetap tak jumpa satu tanda kesalahan? Semua tanda koma, noktah dan seru elok tertera seadanya. Harapkan kekurangan perencah cerita? Itu sah-sah tak wujud!"

"Ehem, ehem... apa yang saya boleh cakap lagi? Saya memang penulis berbakat hebat dan sempurna!"

(X___________X) hasil dialog penulis yang dijangkiti virus khas. (Jangan contohi kuasa 8)

Kritikal! Jadi seorang yang kritikal. Sentiasa berfikir secara kritikal dan luar dari kotak. Luar dari skrin laptop. Luar dan jauh dari persegi rumah kita. Bukannya suruh pilih sifat supercerewet, tapi... KRITIKAL. Kebebasan dan keberanian mengkritik karya sendiri.

Keputusan: Lulus! 


4) Disiplin




Disiplin merupakan perasaan taat dan patuh terhadap nilai-nilai yang dipercayai termasuk melakukan pekerjaan tertentu yang menjadi tanggung jawabnya (merujuk paparan Wikipedia).

Suka menulis? Sayang dan cinta menulis? Maka mesti tajamkan fokus penumpuan habis-habisan supaya mampu menulis puluhan buku seperti gambar contoh. Mesti taat menulis setiap hari. Mesti mematuhi  jadual menulis. 

Menulisvela! Tulis-tulis dan tulis secara konsisten. Itu saja formula demi kelayakan sebagai calon penerima anugerah pingat emas Penulis Terpaling Disiplin.

Keputusan: 50-50... pingat saguhati pun belum tentu. Huhu~



5) Minat



Pilihan dan minat kita. Tak ada siapa yang memaksa. Kita menulis sebab kita suka. Kita menulis kerana itu kerja dan tanggungjawab kita. Rasa riang dan hebat semasa menulis? Maka, teruslah melangkah ke arah destinasi tepat seiring jiwa yang dipenuhi impian menggunung. Jangan salah masuk simpang. Jangan berhenti rehat terlalu lama. Kita memang sudah berada dalam planet bumi tulis. Hanya tunggu saat untuk menggoncang dan menggegarkannya!

Keputusan: Lulus!


6) Sabar



*Bila tiba detiknya pasti akan sama biru seperti mereka*

*Yahooo*



Terdapat kenyataan yang mentafsirkan penulis antara insan-insan yang penyabar di dunia. Terlalu banyak perkara yang menuntut kesabaran. Sejak mula proses menulis yang menciptakan pelbagai ujian emosi sehinggalah manuskrip tiba di meja editor.

Phew, sudah lega kononnya menyapu sebutir peluh di dahi. Ingatkan sudah tenang dan aman jiwa? Belum... ada banyak coobaan lagi! Menanti respon dari editor sememangnya tidak seringan yang dipandang mata. Kita mampu tersenyum dan tersengih secara luarannya. Namun, dup dap (lembut sangatlah bunyi dup dap)... pung pang dalam hati hanya kita yang tahu. Getaran risau dan panik hanya kita yang rasa.

Dua minggu dapat makluman manuskrip diluluskan. Dua minggu lagi mungkin saja tiba-tiba ada perubahan yang mesti dilakukan. Manuskrip tidak cukup WOW, sila tambah dan letak elemen WOW!

Suka atau tidak kita mesti sabar. Harus berusaha jadi seorang yang penyabar. Luar biasa sabar. Bukannya setakat dapat satu emel dari editor: Minta ubah tajuk manuskrip novel kerana terlalu panjang dan tak evergreen, terus beremosi tidak terpujukkan lagi.

"Apa? Dia ingat dia editor atau pembaca? Tajuk yang saya pilih ini sudah terbaik. Seminggu tak tidur malam fikirkan tajuk novel, senang-senang dia suruh tukar dengan alasan murah. Saya memang tak puas hati! Ah! Saya hantar syarikat lain atau terbit sendiri lagi bagus!"

*Oh! Amir dan Amira Pasangan Paling Bahagia dan Serasi Tahun 2012*

"Tajuk yang meletup ini dikatakan terlalu panjang? Ini tak evergreen?" (emosional dan tak boleh terima kenyataan. Erk! Tak mahu mengaku kawan rasanya) 

Dipendekkan cerita, ada banyak lagi anak tangga sebelum manuskrip kita diterbitkan dan terjual di pasaran. Persetujuan seorang editor, dua orang editor, pengurus penerbitan, pihak penjenamaan dan sebagainya. Bukan saja persetujuan, tetapi... kita memerlukan keyakinan mereka untuk memilih karya yang benar-benar sesuai menemui mata umum. Bukan saja keyakinan... (senarai dalam bidang kerja yang di luar kefahaman kita sebagai penulis)

Kata kunci dan tagline: Sabar itu indah. SABAR!

Keputusan: Lulus!


7) Mimpi ke Bintang


I can do it!

Kebiasaannya, kita pergi ke pasar dan membeli buah tembikai yang biasa-biasa saiznya-yang tersusun lebih kurang sama. Satu hari kita bangun pagi dengan impian baru. Ingin beli tembikai gergasi! Duit dalam poket belum tentu cukup. Jadi, perlu ambil duit di bank dulu. Selain itu, perlu berebut dengan barisan orang ramai yang semuanya pun inginkan tembikai gergasi. Bagaimana ingin menang? Apa caranya supaya tembikai gergasi jadi milik kita? Letak cop nama kita atau tanda pangkah guna kapur atas kulit tembikai? Mungkin perlu potong barisan? Amboi, cadangan yang tiada sahsiah dan sopan diri. Hm... mungkin harus jadi orang yang paling awal tempah tapak-sebelum pekedai tembikai muncul dengan lorinya?

Memasang impian memang mudah. Proses demi proses menjejak impian itu yang sukar. Seperti bersusah-payah menebas isi belukar. Seakan menghijaukan semula hutan yang terbakar. Impian memerlukan pengorbanan! Sebagaimana impian ingin membeli tembikai gergasi, perlu bangun awal, kumpul duit yang banyak, berebut-rebut dengan ramai orang, fikirkan idea demi mendapatkan tembikai pujaan kalbu... semuanya itu detik-detik pengorbanan yang dipilih.

Mahu jadi penulis paling cool? Silakan bermimpi dan miliki senarai korban yang unggul mulai sekaranggg.

Keputusan: Lulus!


8) Kulit Keluli




Redup-cerah, panas-hujan, kecil-besar, maggie-spaggeti, skrin HP-skrin TV, ini-itu...

Okey... apa maksud semua di atas?

Sebaik saja buku tulisan kita terbit dan bertentang mata dengan pembaca, hanya ada dua kesan. Baik atau buruk? Bagus atau teruk? Oh... mungkin juga ada lebih dari dua ke tiga kesan seperti: Baik, kurang baik, terlalu baik, tidak baik, baik-baik, buruk, buruk sungguh... fuh! Semuanya pun berkemungkinan!

"Tak logik langsung, apa yang penulis merepek agaknya. Jalan cerita yang entah apa-apa! Watak lelaki utama lembut hati menangis air mata berbaldi-baldi? Huh, loya saya baca! Satu bintang pun saya tak mampu bagi. Saya akan campak buku ini ke dalam laut semasa saya berlayar dengan Cruise nanti!"

"Buku yang menyeronokkan. Tak rugi saya beli. Penulis pandai mencuit dan menggelikan hati pembaca. Oh! Tulislah banyak-banyak lagi! Saya ingin jadikan koleksi bacaan sebelum tidur di rak tepi katil. Saya tunggu karya yang seterusnya."

Semua orang ada mulut. Semua ada hak beri komen dan kritik. Nampaknya, semua pun berbakat sebagai juri yang bijaksana. Mereka ada citarasa dan cita-emosi masing-masing. Kita ucap terima kasih untuk pujian yang dikalungkan. Kita senyum (sepatutnya mahu ucap terima kasih juga, tapi... gemuruh jiwa panas hati katakan, jadi tak terucaplah) dan terima kritikan pedas yang dilemparkan. Genggam tangan, hayun ke atas dan berazam menghasilkan karya yang lebih baik lagi.

Peduli tetap peduli. Tapi, jangan sampai tertekan sangat-terlalu fikir ejekan ramai lalu menjatuhkan semangat kita. Oleh itu... sila pergi buat pembedahan bagi memiliki telinga sekeras dan sekebal KELULI hehe!
  
Keputusan: Lulus!

9) Tukang Cerita @ Panglipulara


*I like pink, but... i love BLUE*

Tukang cerita turut bercirikan seorang penipu. Pandai mereka-reka dan mencipta cerita. Cara paling ideal bagi menambahkan kepakaran sebagai tukang cerita ialah dengan bersikap mesra alam. Mesra memerhatikan aksi dan gaya orang sekeliling-mencuri dengar bahan percakapan mereka. Mesra tonton filem, drama, berita, dokumentari, dan segala jenis tontonan yang mampu meningkatkan penguasaan info. Mesra berkenalan dan berkawan tanpa kira bangsa dan adik, abang, makcik atau nenek. Mesra berfikir di luar logik: Nampak orang pakai baju yang ton warnanya seperti bercapuk-capuk lalu kita tegur,  "Oh, baju kena Clorox ya?"

Kita sangka itu memang warna asal baju dia. Fesyen capuk-capuk yang terkini. Kita sangka kita sudah cukup kreatif dengan teguran di luar logik. Rupa-rupanya, warna baju dia sememangnya rosak akibat Clorox! Zasss lari hahaha~

(Fikir-fikir balik contoh dialog baju terkena Clorox ini tak berapa sesuai. Biasalah orang anggap baju capuk semacam mesti kena Clorox. Apa yang tak logiknya, kan? Haish! Yang penting para pembaca tentu faham konsep berfikir di luar logik sebab semua cergas dan cekap)

I love BLUE and everybody knows it (kononlah semua orang tahu, ceh) So, i am a good LIAR:D 

Keputusan: LULUSsss!

Sekian catatan 9 watak yang perlu ada dalam diri seorang penulis serta hasil eksperimen peribadiku. Artikel asalnya di sini 10 Characteristic You Need To Become A Writer!

Thursday, January 5, 2012

Dongeng Novelis

Kenapa suka menulis? Kenapa pilih jadi Novelis?

Hmm… sebab sejak lahir sebaik terjaga mata terus menangis 24 jam tanpa henti. Bukan main panik emak pujuk-pujuk dan dodoikan- GAGAL!

Ayah lenguh-lenguh tangan dukung turun naik tangga hospital. Bawa pergi kafe, kedai runcit, taman dan tempat letak kereta- GAGAL!

Emak dan ayah hampir-hampir putus asa dengan wajah kekecewaan-pasrah menatap anak kesayangan yang mulutnya ternganga asyik melagukan bunyi: Uwaaaa!

Tiba-tiba… muncul laungan yang menyentak suasana! “Bantal… bantal! Siapa ingin beli bantal empuk dan elegan?”

Pasangan sejiwa lalu membelikan dua bantal berbeza bentuk. Sejurus dilapikkan bawah kepala dan diletakkan dalam pelukan comel anak kesayangan-tangisan hebat terhenti saat itu juga!

MAGIssssss!

Emosi kagum dan terkesima yang tidak mampu digambar membulatkan hati emak dan ayah dengan andaian: Wah, besar nanti anak kita akan jadi NOVELIS!

Bantal peluk PENSIL dan bantal tidur BUKU itu masih ada tersimpan dalam kotak khas. Masih empuk, elegan dan wangi. Hanya tunggu kemunculan wartawan dan jurugambar saat wawancara khas Di Sebalik Nama Izanor Sharif selepas memenangi 33 pingat penulisan pada satu hari yang indah. Ewahhh~

Oh! Ini memang kisah DONGENG (+__________________+)

Saturday, December 31, 2011

*WishList*

  • Novel Solo
  • Skrip Drama
  • Cermin Mata 
  • Makan @ Full House
  • Supercool Boss
  • Halimatul Fadila

Impian murni tanpa mengikut turutan. Seri! Sama taraf dan sama penting. Selepas setiap satu tercapai warna tulisan pasti di-BIRU-kan. Oh, yeahhhh:D

Wednesday, December 7, 2011

Pujaan Hati Izanor


This is Leon Lai my first LOVE. Really? LOVE? Are you out of your mind? Well...


*Dreaming*


Okey CUT!


Kami mula kenal sejak tahun 1992. Eh... pembetulan! Hanya saya yang mengenali dia. Menerusi drama bersiri bertajuk The Breaking Point. Dia memegang watak hero hebat meraih simpati saya dan emak. Ya, saya dan emak penonton unggul drama-drama di televisyen. Kami sering saja mengecewakan hati ahli keluarga yang lain kerana kemenangan merebut remote control sepanjang zaman yeahhh.


Kami mula menyukai di antara satu sama lain. Fine! Itu satu penipuan. Sekali lagi, hanya saya yang menyukai dia. Huhuhu sungguh sadis fakta ini. Dia yang entah muncul dari mana (dari dalam drama) tiba-tiba saja mendaki tangga-tangga istana hati seorang kanak-kanak remaja dan akhirnya bermaharaja di sana. Kanak-kanak remaja itu ialah saya. Sungguh berani berpijak dan seterusnya menetap dalam istana hati saya. Dia ingat dirinya itu siapa???


*Blinking Eyes*


Dia adalah kesayangan beta. Dia bagaikan hero keadilan. Dia seperti piala emas. Dia juga juara carta. Setiap yang terbaik adalah pengiktirafan dari dunia saya untuk dia. Dunia yang penuh warna pelangi. Dunia saya di zaman lalu. Zaman kanak-kanak awal remaja, sedang remaja, dan lewat remaja saya. Cerita tentang dia adalah kenaifan perjalanan usia belasan tahun saya.



Lucu, teruja, gila-gila, di luar kawalan, emosional dan banyak lagi. Pelbagai rasa menterjemahkan kisah pengalaman Izanor menjangkau 20 tahun ini. 


*Since 1992 with LOVE*




Memperkenalkan Leon Lai. 


(^____________________^)v


Nama penuhnya Leon Lai Ming. Dia... poojaan hatiku! Apa? Tak kenal? Langsung tak pernah tahu?


*Talk to the screen*



Biasa. Sudah biasa sangat dengan tindak balas yang sama. Memang jarang jumpa orang yang kenal. Baik dulu mahupun sekarang. Bila orang tak kenal, huii jiwa tersangatlah geram dan bengang. Bila orang kenal, pun tak okey juga. Timbul pula rasa marah. Konon orang lain tak boleh kenal poojaan hatiku. Parah dan kronik hehehe!



Four Heavenly Kings: Gelaran yang tercipta. Bintang Cantopop ini mendominasi dunia hiburan awal 90-an. Mereka menguasai televisyen-majalah-panggung wayang serta duta iklan yang sering jadi rebutan. Dari kiri, Andy Lau-Jacky Cheung-Aaron Kwok dan... Leon Lai! Itulah, tiga nama yang lain itu cepat saja orang kenal. 


*sekarang zaman Kpop*



Mempersembahkan barisan bukti yang kukuh lagi nyata. Bukan rekaan dan bukan mainan.


*LIVE from Bilik Biru*




Ceria mempamerkan bakat kreatif di belakang buku nota Geografi tingkatan empat.



Ini buku conteng. Lihat nama yang tertera: Oh, perasaan yang sungguh perasan.



BBF yang sehati dan sejiwa. Spontan hantar surat dengan nama ciptaan sendiri. Spontan yang berkali-kali haha~




Dua kad yang berbeza. Satu dibeli dan satu lagi buatan sendiri. Tahun yang sama-kad hari lahir. Tanpa dirancang dua orang teman rapat tampal gambar poojaan hatiku. Memang sama sebab digunting dari majalah keluaran terkini pada waktu itu. 

*So cute and so sweet*




Setahun kemudian versi ini pun ada.



Kaset pertama yang dibeli dengan tabungan sendiri. Kaset dia berbaju hijau. Dua tahun kemudiannya beli lagi satu dan seterusnya. Memang setakat tiga ini saja. Faham dua tiga ayat pun layan~



Dedikasi dalam bentuk esei. Bertungkus-lumus melilau mata buka tutup kamus semasa menulis. Terasa sungguh berbaloi disokong guru yang tandakan (betul) dari A to Z. Lihatlah titik di atas huruf i (nama Leon Lai) yang anggun bergaya. Memang sah zaman remaja yang naif lalalala~




Kisah 2009: Salah seorang BBF hantar kad kahwin pun masih taip begini.




Tiba-tiba rasa rindu zaman itu. Zaman ada pencil box (kotak pita video yang diubahsuai) balut dengan gambar poojaan hati. Asal terjumpa gambar mesti gunting. Jumpa majalah mesti beli. Semasa hendak cuba dakwat pen di kedai sebelum yakin membeli, mesti conteng nama Leon Lai. Entahlah, hairan seribu hairan kenapa tak minat orang Melayu. Ada memang ada. Biasalah, ramai kenalan-artis-atlit pelbagai bangsa yang kita suka. Cuma, tak ada siapa yang dapat lawan cahaya kegemilangan yang dipancarkan Leon Lai.


*cahaya kegemilangan*


Padahalnya, dia bukanlah tersangat kacak dan biasa saja, kan? Soalan yang bertapak di bumi nyata:D



Sekian, catatan perkongsian kisah zaman remaja yang warna warni. Setiap remaja pun mesti ada poojaan hati-idola yang tersendiri. Yang penting kita sedar batas dan mengawal tahap emosi. Fanatik yang berpada-pada. Psttt! Kak Izanor tahu remaja sekarang suka dan puja aktor Boys Over Flower yang bergelar Lee Min Ho, kan-kan-kan?


*yakin selepas meng-GOOGLE senarai top artis Korea*


Ya, Lee Min Ho boleh tahan segak orangnya. Terpulang pada pilihan dan minat masing-masing. Mungkin ada yang lebih meminati Hyun Bin - Kim Hyun Joong - Jung Yong Hwa - Kim Bum - Jung Yong Hwa - Lee Junki - Jung Yong Hwa atau So Ji Sub.


Kenapa taip nama Jung Yong Hwa sampai tiga kali? Kenapa nama dia bercahaya biru berbanding yang lain?


Ehem! Itu kena tunggu catatan khas yang lain dengan tajuk nama Jung Yong Hwa. Sampai bertemu lagi:D