Sunday, April 22, 2012

Ada Apa Dengan Alakudin dan Lampu Tidak Ajaib?


“Mahu hilang sekalipun, tunggulah tiga permintaan disebut dan tunaikannya dahulu. Selepas itu, menghilang ke planet bulan pun tidak ada siapa yang kisah. Mahu berkebun atau bercucuk tanam di planet bintang pun tidak mengapa. Ini tidak… mentang-mentang ada kuasa, jin tidak guna itu terus tinggalkan si penggosok lampu yang amat mengharap. Memang dasar jin yang tidak bertanggungjawab!” Suara Alakudin semakin melantun-lantun. Semakin kuat dan besar gelombangnya.

(Klien kes dongeng keempat yang dramatik, oh!)

“Tidak perlu siasat-siasat. Biarlah jin ada dua atau tiga sekalipun, kita berkenalan sahaja dengan setiap jin!” Beritahu Fizz mudah. Ketua kumpulan pencari jin memang selamba!

(Fizz Fazlullah ejen Konsortium Pari-Pari yang bertanggungjawab)

“Milo rasa lebih memalukan bila awak terketar-ketar di hadapan Puteri Wangi Jasmin. Bayangkanlah, betapa teruknya situasi kekok yang akan dilalui nanti. Tertunduk-tunduk merenung lantai! Tergagap-gagap memperkenalkan diri. Terpinga-pinga terkelu lidah! Itu yang awak mahukan?” Milo menyenaraikan semua kebarangkalian negatif yang akan berlaku. Anak murid yang degil seperti Alakudin harus ditakutkan kerana suka sangat melawan dan membantah!

(Siapa yang tidak kenal Milo, si kucing terbang yang kuat bercakap pot pet)

Kata-kata Alakudin menggandakan rasa geram Tizz. Wajah selamba itu direnungnya tajam-tajam dan dalam-dalam. “Tujuan saya berada di sini bukannya mahu berkenalan atau mencari sahabat. Puteri Wangi Jasmin atau Puteri Busuk Jasmin sekalipun, tidak ada kepentingan langsung buat saya!” Tizz bercekak pinggang, merungut dan memprotes.

(Tizz Tiranah yang bercita-cita tinggi membantu abang tersayang)
* * * * *

“Itu suara siapa?” Milo berputar-putar sambil memantau keadaan sekeliling. Tercari-cari arah kemunculan suara asing yang bernada garau itu.
Suara asing itu ketawa! Walapun bunyi ketawanya pendek dan perlahan, namun garaunya bertambah-tambah. Ish! Agak menakutkan gegendang telinga jugalah!
“Eh, jangan main-mainlah. Jangan suka sangat! Itu suara siapa?”
“Ini suara sayalah.”
Rimas Milo melayan sikap pemilik suara garau. Mahu bermain tarik-tarik tali pula! “Saya itu siapa? Cakaplah nama!”

* * * * *
Suara siapa yang garau dan misteri itu agaknya? Hmm! Mahu berkenalan dengan Ben Ten Ten yang tinggal di Rumah Kotak ZZ? Mahu melawat dan menemui banyak gerai-gerai pelik di Pasar Dongeng Ria? Marilah mengembara bersama kumpulan pencari jin dan menyelesaikan kes dongeng yang keempat ini! Semuanya akan terjawab dalam kisah Alakudin dan Lampu Tidak Ajaib yang mula dijual di Pesta Buku Antarabangsa 2012 (KLIBF) PWTC.