Friday, June 24, 2011

Menulis di Halaman Rumah

*Prolog*

Penulis sepenuh masa?

Ya! Menulis-menaip-bersama keyboard inilah. Memang matlamat hidup seharian sebaik terjaga mata pergi mengadap si dia yang dalam bahasa Melayu: papan kekunci. Sangat berkuasa sehingga mampu mengunci jari dan fokus. 


Bab Satu: Duduk diam-diam

Biasanya menulis di mana ya?

Kebanyakan masa menulis di rumah. Jarang sangat keluar. Risau bila keluar konon mahu ambil angin di taman tasik-tiba-tiba berkayak dan bagi ikan makan. Pergi taman permainan lagilah-nanti tak fasal berebut dengan kanak-kanak comel sebab tak boleh jumpa buaian. Mesti mahu buai laju-laju. I love buaian so much:D Erk! Lebih baik jangan keluar jika tak pandai kawal kehendak. Ada juga keluar, tapi tak jauhlah. Setakat luar di halaman rumah.

Bab Dua: Amboi meriahnya selerak
Bab Tiga: Berusahalahhh

Ini halaman rumah Izanor?

Ya. Daun-daun kering musuh sejati yang tak pernah mengalah. Benci. Hasil pokok mangga dan jambu yang merimbun. Selang dua ke tiga hari okey lagi. Masuk seminggu mulalah kelihatan seperti rumah tinggal yang amat kasihan. Dua minggu? Tiga minggu? Ah, tak perlulah buat eksperimen selama tempoh itu. Bayangkan saja!

*IKLAN *

Ini pokok sakat. Kak Izanor tak kenal sangat jenis-jenis pokok. Kenal sakat sebab antara tanaman di rumah dan sebab kembang-besar bagai mengalukan tetamu yang berkunjung. Ada ketika daunnya rosak dan tak cukup zat. Gambar menunjukkan tempoh sihat dan segar. Hah, jangan tak tahu yang SAKAT ini ada membuat penampilan dalam Aku Mahu Superbibik. Sewaktu Ina mahu meracun pokok-pokok kesayangan ibunya di balkoni, ingat lagi? Kak Izanor mahu fikir lima jenis tanaman pun pening ya! Ruang balkoni agak kecil, jadi mestilah pilihan pokoknya sesuai. Okey... please say hai to SAKAT my inspiration;)


Bab Empat: Yeah sudah bersatu dan terkumpul di sana

Wah, siapa yang rajin membersih dan menyahkan pihak musuh?

Superbibiklah! Menyapu sudah jadi tugasan wajib. Cinderellah pun terlibat sama. Oh? Bertuahlah sangat ada Superbibik dan Cinderellah di sisi. Tak-tak-tak! Izanor buat sendiri okey. Sapu dari sudut A sampai Z. Kumpulkan daun-daun yang berpecah belah menggunakan kudrat. Fuh, bertitis-titis peluh jadi bukti.


Bab Lima: Pemandangan yang semakin menyakinkan pandangan

Selalu rajin seorang diri tanpa bantuan?

Haish, salah soalan... tukar perkataan selalu dan rajin. Sebenarnya, bukan selalu ingin melayan karenah musuh-musuh yang suka gugur dan bersepah ini. Hanya bila mata rasa terseksa-tercucuk, baru ringan tangan capai penyapu. Kadang-kadang, ahli keluarga yang lain turut masuk campur. Turut ringan tulang tangan. Jadi, ikut giliran siapa rajin siapa ada masa lapanglah. Tak pernah lagi buat jadual pertempuran dengan musuh-musuh si daun kering. Kesimpulannya, memang tak rajin (pengakuan eksklusif woh).

Bab Akhir: Okey... boleh hidupkan laptop dengan hati senang

 
Motif sebenar terbongkar. Yalah, asyik terkurung dalam rumah pun tak bagus juga. Sesekali mahu rasa tiupan angin luar dan tukar lokasi menulis. Bila berada di luar, persekitaran yang selesa amat didamba demi penjanaan idea-idea. Kononlah. Itu yang suka atau tak-mesti juga bersihkan halaman rumah. Bertukar watak Superbibik dan Cinderellah untuk tempoh menyapu semata-mata.


Ah, aktiviti yang bagus buat Izanor yang jarang bersenam (setakat lompat bintang 3 minit sehari). Ah, tak kisahlah tak rasa terbeban pun. Hah, sila... silakan daun-daun. Silakan buat persembahan berguguran secara konsisten. Ewah!


Menulis-menulis-menulis. Selain dari menulis, banyak aktiviti dan urusan lain yang mencelah-bersilang pangkah di antara TIK TOK putaran jam. Salah satunya tugasan yang inilah: memastikan halaman rumah yang terjaga bersih tanpa cela. Kita tak mampu mengelak dan harus berkompromi dengan pelbagai tugas yang sentiasa muncul.


Sama ada tersiput-siput mahupun terkejar-kejar, terpulang kepada kita bagaimana mahu menguruskan setiap perkara. Menjadualkan disiplin diri. Terkini, Izanor sedang menyusun rangka-rangka bagi manuskrip siri Aku Mahu yang seterusnya.


Sibuk? Ya. Tamat tempoh bagi melengkapkan manuskrip ini seakan di depan mata. Menulis kisah Aku Mahu Naik Cruise pastilah tidak semudah menyebut tajuknya. Lebih-lebih lagi melibatkan The Wannababes sebagai teraju utama. Tujuh kepala tujuh ragam. Oh! Tekanan menulis Aku Mahu Superbibik masih terasa.


(>_________< )


Namun, itulah cabaran pahit manis menulis. Tekanan pasti ada. Cara yang paling berkesan ialah, hadapi rasa tekanan dengan positif. Semakin tertekan semakin berusaha. Okey, sekarang penulis mahu tempah tiket Titanic dan Black Pearl. Harapnya dapat tenggelam dengan kebiruan laut dan pengalaman indah di atas kapal mewah, yeah.


Apa? Black Pearl?

Friday, June 17, 2011

Al-kisahnya Nama Izanor Sharif

Mawar! Memang sejak dulu suka bunga mawar. Tak ingatlah sejak bila, tahu-tahu bila ditanya apa bunga kegemaran-mesti mawar jawapannya. Cantik dan harum! Rasanya itulah daya tarikan yang utama. Sampaikan dulu sebelum wujud Facebook, pernah ada akaun Friendster yang guna nama Mawar.


Mawar Mawar nama yang pernah dijadikan profil. Oh, sekarang sudah delete ya!:D Hanya Facebook satu-satunya portal berkawan-kawan yang Izanor daftar. Paling cergas, dua kali sehari pasti online. Paling kurang-sesibuk mana sekalipun setakat ini, selang tiga hari tetap merajinkan jari. Seolah tiga hari tak masuk pejabat, hai memang semputlah mahu teliti perkembangan rakan-rakan dan info terkini. Campur dengan TAG dan notifikasi yang berderet-deret? Hm!

 
Bunga mawar banyak warna. Kebiasaannya, yang jadi rebutan-paling menawan dan menghiasi meja si penerima bunga tentulah mawar merah, kan? Terpulang citarasa panahan mata masing-masing.


I love mawar putih! Teramat paling suka pasti bergetar hati zetttt bila bersua. Zettt! Bunyi kejutan elektrik. Hm, timbulnya mawar biru sebab itu warna kesukaan penulis. Mawar Biru mana jumpa-mana wujud-yang ada pun palsu celup warna. Memang rasa sangat simbolik dan ideal!


*Mawar Biru*


Alkisahnya, masa dok fikir-fikir nama pena apa yang sesuai lagi serasi, memang Mawar yang melompat keluar dari otak. Macam kotak Pop Out. Dasyattt:P Tapi, takkan Mawar semata-mata? Satu perkataan? Maka, luaskan lagi skop pemilihan-gabungkan dengan nama apa ya?

 
Mawar Putih? Mawar Biru? Mawar Berduri? Adoi! Mawar: nama yang cantik dan unggul. Langsung tak jumpa padanan yang benar-benar cool. Fikir lagi dan lagi. Tetap buntu dan sesat jauh dari garisan penamat.

 
Terasa klasiknya…awak tulis novel remaja yang vava, isk! Okey, sedar diri dan mula menyenaraikan pilihan nama pena yang lain. Selamat tinggal Mawar!

 
Ada lebih kurang 7 nama yang tersenarai. Tanya pendapat kawan-kawan. Mengkaji kelebihan dan kekurangan di setiap sudut. Termenung dan bertapa berhari-hari. Akhirnya… Izanor berjaya meraih takhta. Nama Izanor itulah. Menyinar emas berbanding yang lain.

 
Belum! Seksaan masih berterusan. Belum berurusan dengan Google dan belum tentukan ejaan yang paling cool lagi. Huhuhu! Penat! Proses memilih nama pena mengambil masa berminggu-minggu di luar jangka. Nampak perkara ini seakan remeh. Sebenarnya tak mudah dan impaknya sangat besar. Mencabar mental dan fizikal.


Google! Tak banyak tapi ada pemilik nama Izanor di internet. Yang bukan Melayu pun ada. Tak sangka durian rambutan cempedak nangka:P Apa solusinya? Tukar nama lain? Tidak! Izanor memang suko dan selesa dengan Izanor-tak mungkin berpaling lagi. Bagi hadiah tiket melancong ke Bali pun tak hairan okey.

 
Cetusan jiwa mencadangkan: Kaedah menukar ejaan!

Ixanor

Exanor


Boleh tambah satu watak untuk geng X-Men tak?



Eizanor

Iezanor

 
Nampak tak usaha mahu tampil unik? Dengan tambahan huruf E?


 
Geleng kepala. Memang tak suka dan tak mampu terima. Biarlah kekal dengan tujuh huruf ejaan Izanor saja. Tapi, Izanor apa? Okey, guna nama ayah sendiri. Tak perlu susah-susah fikir lagi.


Mawar Biru?


Nama Izanor memang tiada maksud di sebaliknya. Namun, Izanor sangat dekat dan akrab sebab itu panggilan kawan-kawan sejak sekolah rendah hingga menengah. Selepas tamat sekolah, jumpa kenalan pelbagai kategori dan kelompok, panggilan nama lebih meluas dan tidak terhad kepada Izanor lagi.


Ya, ada yang kata nama Izanor terlalu panjang. Tiga suku kata. Sukar mahu menyebutnya. Ramai orang yang bergelar IZA. Begitu juga NOR. Jadi, rasa lebih istimewa bila dipanggil dengan nama penuh: Izanor.

 
Apa pun, tak berkira dan tak mungkin berwajah masam jika ada yang menegur dengan nama pendek. Jangan risau, Kak Izanor tak akan membatu atau berlakon jadi tunggul kayu bila diseru Kak Iza mahupun Kak Nor. Hehehe!

 
Izanor Sharif. Maksud nama Sharif merujuk himpunan nama-nama indah dalam Islam ialah jujur. Izanor mahu jujur dalam kehidupan. Jujur dalam berkarya dan memberikan penulisan yang bermakna buat semua pembaca.


Senyum-senyum bunga!


Itu Mawar Biru pin tudung RM5. Teruja beli di Uptown JB. Esoknya terus pakai dan sebelum naik kereta suruh adik tangkap gambar. Semata-mata sebab Mawar Biru. Sedondon dengan tudung. Nyaris tenggelam bentuk dan kelopaknya yang cun. 

Thursday, June 2, 2011

5 Tip Memilih Nama Pena (Samaran) yang Cool

Ringkasnya, nama pena atau nama samaran mewakili diri penulis berdasarkan imej yang ingin ditonjolkan. Setiap penulis yang menggunakan nama pena memiliki tujuan masing-masing yang boleh saja dirumuskan seperti:



1- Nama asal yang terlalu panjang.
   
Abdul Ismet Ulam Raja bin Abdul Ismet Ulam Petai

"Siapa nama penulis buku Jenis Ulam Popular? Hm... Abdul Ismet... Abdul Ulam, eh? (terdiam beberapa saat) Entahlah, tapi nama memang ada bunyi ulam-ulam juga!" Ia bukan saja sukar menembusi kotak memori, malah mampu mengelirukan. Entah mana satu tajuk buku dan nama penulis. ADOI!



2- Menepati konsep genre penulisan

Beberapa contoh nama kartunis : Ujang-Cabai-Ubi-Aie-Lalang-Pandan-  

Bayangkan bila kita berbual menyebut tajuk komik 'Ejen 808 dan Mutiara Perak'. Siapa yang lukis, ya? Siapa yang buat komik itu? Nor Noreysah binti Ahmad Janggut memang tertulis di muka surat pertama, namun ia sukar dihafal bagi detik perbualan tanpa memegang komik. Berbanding nama-nama contoh, nama sebegini panjang agak janggal dan tak berapa sesuai untuk kartunis. Hmm!

Nama-Nama Indah dalam Islam : Mawarz Da Bomz

Sungguh tidak serasi dan tidak berkaliber. Pembeli yang baru membelek-belek kulit buku pasti ragu-ragu. Eh, kenapa nama penulisnya kabur dan samar dari indah? Hmm!

Aku, Ipad dan Futsal Gol : Ustaz Haji Mubarak bin Haji Kasimi

Eh-eh-eh... biar betul? Nampak tak? Jelas kan? Memanglah tak salah mahu guna nama sebegini sekalipun. Cuma, sedikit kekok dan macam tak kena saja. Hmm!



3- Pelbagai Cabang Penulisan

Bakat yang meluas. Ada penulis yang hanya fokus terhadap penulisan puisi. Namun, ramai penulis yang mampu mengarang cerpen, novel, skrip filem, lirik lagu dan sebagainya. Ada yang gemar menggunakan dua, tiga nama atau lebih atas sebab tertentu.

Nama sebenar : Siti Mawar Zulaikha binti Malik
Nama pena (Novel) : SM Zulaikha
Nama pena (Puisi) : Mawar Biru
Nama pena (Lirik Lagu) : Mawar B
Nama pena (Skrip Filem) : Zulaikha Malik

Ini masih lagi relevan di antara satu nama pena dengan nama pena yang lain. Masih mampu dikaitkan dan diteka oleh peminat, pengkritik mahupun para pemerhati.

Ambil contoh nama Siti Salmah binti Mahmud dan nama pena pilihannya ialah, SAL. Hanya 3 huruf. Dia baru lagi berjinak-jinak tulis puisi. Hasil naik taraf beberapa tahun kemudian, SAL LIP LAP. Penulis skrip yang semakin dikenali. Dalam setiap dramanya mesti ada lampu yang lip lap lip lap.

Dalam masa yang sama, identitinya sebagai penulis novel, Sophie Sal Kinsella. Ya, sudah terang dan nyata nama pena yang terinspirasi dari penulis terkenal di mata dunia. Nama yang berbeza kerana Siti Salmah sememangnya mahu merahsiakan penglibatannya. Cukuplah, umum mengenalinya dengan nama SAL LIP LAP yang biasa bertentang mata dan ditemuramah pihak media.

Sama ada dikenali atau menyorok di sebalik nama, semua ini terpulang kepada pilihan sendiri. Hmm!

* * *


Baiklah, dengan ini Izanor mempersembahkan 5 tip hasil pengalaman pencarian nama pena sebelum ini. Ia tak semudah terlintas di jalan fikiran. Pilih dan fikir. Fikir dan pilih. Pilih-pilih-pilih...fikir dan pilih! Sudah bersedia mahu fikir dan pilih sehingga terpitam-pitam? Selamat membaca dan mencuba!


1) Maksud yang baik


Seeloknya nama yang dipilih mempunyai maksud yang baik kerana ia akan jadi sebutan ramai. Sebutan yang tidak akan putus selagi penulis masih berkarya dan berada dalam industri buku. Walaupun kita rasa diri tidak popular, hakikat buku yang terpampang di merata tempat: di kedai-kedai mahupun laman web-penulis seharusnya peka. Orang akan terjumpa-terpandang-terbaca dan menyebut nama penulis. Secara tak sengaja dengan TER- pun karya kita ditemui, inikan pula ada yang mencari dan menjejaki. 

Mawar: bunga mawar harum dan cantik bentuknya.
Afiqah: sangat pemurah, sangat berpengetahuan


*Mawar Afiqah*


Tak semua nama memiliki maksud di sebaliknya. Jadi, tak salah kita gabungkan nama sebenar dengan nama pena yang beerti. Semoga semakin ramai yang menyebut-memanggil: umpama mendoakan yang baik-baik buat kehidupan kita.



2) Catchy dan Cool!

Nama yang mudah disebut dan senang ingat-bila sekali dengar terus BANG! bak peluru menembusi otak. Dasyattt! Pilih nama pena sampai ada efek filem aksi polis tembak penjahat? Selagi tak wujud tak terdengar bunyi BANG, sah nama yang tak cukup CC!


Mawar Biru? Fine! Penulis mengaku nama yang belum cecah tahap catchy dan cool. Tapi... itu kira mampu diterima bumilah juga. Eh, bagi peluanglah... okey apa? Hehehe! 


Mawar Biru Berkelopak Sepuluh atau Mawar Biru Berduri Tajam? Oh, tak perlulah! Ini dua contoh nama yang teramatlah perlu dielakkan demi kebahagiaan sejagat. Jangan seksa bakal pembaca buku kita +___+ 



3) Google!

Ini memang penting dan perlu. Taip saja di kotak carian google nama pilihan kesukaan dan lihat keputusan yang terpapar. Sebelum ini Mawar Biru disangkakan amat gah namun ramai pula pengguna di dunia yang dikenali dengan nama itu? Oh, betapa tidak eksklusif!


Maka harus ditukar dan mulakan proses pening-pening kumbang sehingga jumpa yang berkenan lagi. Harus kreatif supaya tampil berbeza. Biar ada keunikan. Apa kata tukarkan Mawar Biru kepada Mawar Biruz? Mawar Berduri jadi Mawar Berdurew? Ini sekadar contoh okey:P


Kenapa mesti beria-ia? Mestilah! Andaikan Aamir Khan baru baca salah satu novel tulisan kita dari perpustakaan. Aamir Khan mahu cari Facebook kita. Dengan teruja Aamir Khan online-taip Mawar Biru dan hasil carian mendapati berpuluh-puluh halaman. Beratus-ratus pun tiada mustahil!


Boleh saja wujud Butik Andaman Mawar Biru-restoran mamak Mawar Biru Maju atau Persatuan Mawar Biru yang memperjuangkan alam sekitar. Itu baru 3 contoh! Aamir Khan sudah penat klik dan klik dan ingat dia ada banyak masa lapang? Aamir Khan mungkin fikir lain kali sajalah. Ya, lain kali yang akhirnya terlupa. Lain kali yang belum tentu ada. Mawar Biru juga yang rugi! Huhuhu, nampak kan peri pentingnya ketelitian merajinkan jari untuk meng-GOOGLE?




4) Tanya sini sana

Tanya pendapat ramai. Yang dekat atau yang jauh. Lagi ramai lagi bagus. Mereka boleh bagi komen dan kritikan. Seolah kita berada dalam satu kumpulan perbarisan. Sepatutnya kita hentak kaki kiri, tersilap hentak kaki kanan. Orang belakang boleh nampak kesalahan. Manakala orang kiri kanan pun boleh tegur jika ada tersalah gerak tangan-kekurangan gaya baju seragam.


Jadi... kongsikan dan sebarkan senarai nama pilihan kita pada kawan-kawan yang dipercayai mutu pengadilannya. Mereka akan jujur dan ingin yang terbaik buat kita. Ambil peratusan paling tinggi.


Thats how i`m do it!:D


Tapi... bergantung tahap keras kepala-jenis keluli sangat memang tak akan ikut pilihan orang lain pun.



5) Keselesaan

Apa yang kita suka? Kenapa Mawar Biru? Sebab memang suka bunga mawar dan warna biru. Alahai, budak tadika pun boleh jawab:D


Memang itu hakikatnya. Buat apa perlu jadi sesuatu yang lain yang tak menggambarkan personaliti sendiri? Mungkin terlalu ingin nampak hebat tanpa sedar memilih nama: Diva Mawar Da Bomb. Okey, yang tersiratnya bagus bagi menaikkan semangat dan membesarkan imej. Tapi tak selesa pun tak guna. Kita sendiri yang rasa janggal. Percayakan diri dan naluri! Ini faktor nama Izanor dipilih. Nama yang cukup dekat dan akrab di telinga.


Dekat + Akrab = SELESA


Sekianlah perkongsian yang dapat diberikan. Semoga ada manfaat bagi sesiapa yang masih tercari-cari nama pena demi penampilan COOL dan terkini. Ewah!

Hm... apa maksud nama Izanor Sharif? Apa yang cool dan catchy sangat ya? Berapa lama meng-Google buat kajian keunikan nama pilihan? Agak-agak, ramai tak yang jadi mangsa dera Izanor semasa senarai nama disebarkan dan mendapat keputusan yang memuaskan skrin hati? Nantikan catatan yang seterusnya, sampai bertemu lagi. Daa!:D