Friday, June 17, 2011

Al-kisahnya Nama Izanor Sharif

Mawar! Memang sejak dulu suka bunga mawar. Tak ingatlah sejak bila, tahu-tahu bila ditanya apa bunga kegemaran-mesti mawar jawapannya. Cantik dan harum! Rasanya itulah daya tarikan yang utama. Sampaikan dulu sebelum wujud Facebook, pernah ada akaun Friendster yang guna nama Mawar.


Mawar Mawar nama yang pernah dijadikan profil. Oh, sekarang sudah delete ya!:D Hanya Facebook satu-satunya portal berkawan-kawan yang Izanor daftar. Paling cergas, dua kali sehari pasti online. Paling kurang-sesibuk mana sekalipun setakat ini, selang tiga hari tetap merajinkan jari. Seolah tiga hari tak masuk pejabat, hai memang semputlah mahu teliti perkembangan rakan-rakan dan info terkini. Campur dengan TAG dan notifikasi yang berderet-deret? Hm!

 
Bunga mawar banyak warna. Kebiasaannya, yang jadi rebutan-paling menawan dan menghiasi meja si penerima bunga tentulah mawar merah, kan? Terpulang citarasa panahan mata masing-masing.


I love mawar putih! Teramat paling suka pasti bergetar hati zetttt bila bersua. Zettt! Bunyi kejutan elektrik. Hm, timbulnya mawar biru sebab itu warna kesukaan penulis. Mawar Biru mana jumpa-mana wujud-yang ada pun palsu celup warna. Memang rasa sangat simbolik dan ideal!


*Mawar Biru*


Alkisahnya, masa dok fikir-fikir nama pena apa yang sesuai lagi serasi, memang Mawar yang melompat keluar dari otak. Macam kotak Pop Out. Dasyattt:P Tapi, takkan Mawar semata-mata? Satu perkataan? Maka, luaskan lagi skop pemilihan-gabungkan dengan nama apa ya?

 
Mawar Putih? Mawar Biru? Mawar Berduri? Adoi! Mawar: nama yang cantik dan unggul. Langsung tak jumpa padanan yang benar-benar cool. Fikir lagi dan lagi. Tetap buntu dan sesat jauh dari garisan penamat.

 
Terasa klasiknya…awak tulis novel remaja yang vava, isk! Okey, sedar diri dan mula menyenaraikan pilihan nama pena yang lain. Selamat tinggal Mawar!

 
Ada lebih kurang 7 nama yang tersenarai. Tanya pendapat kawan-kawan. Mengkaji kelebihan dan kekurangan di setiap sudut. Termenung dan bertapa berhari-hari. Akhirnya… Izanor berjaya meraih takhta. Nama Izanor itulah. Menyinar emas berbanding yang lain.

 
Belum! Seksaan masih berterusan. Belum berurusan dengan Google dan belum tentukan ejaan yang paling cool lagi. Huhuhu! Penat! Proses memilih nama pena mengambil masa berminggu-minggu di luar jangka. Nampak perkara ini seakan remeh. Sebenarnya tak mudah dan impaknya sangat besar. Mencabar mental dan fizikal.


Google! Tak banyak tapi ada pemilik nama Izanor di internet. Yang bukan Melayu pun ada. Tak sangka durian rambutan cempedak nangka:P Apa solusinya? Tukar nama lain? Tidak! Izanor memang suko dan selesa dengan Izanor-tak mungkin berpaling lagi. Bagi hadiah tiket melancong ke Bali pun tak hairan okey.

 
Cetusan jiwa mencadangkan: Kaedah menukar ejaan!

Ixanor

Exanor


Boleh tambah satu watak untuk geng X-Men tak?



Eizanor

Iezanor

 
Nampak tak usaha mahu tampil unik? Dengan tambahan huruf E?


 
Geleng kepala. Memang tak suka dan tak mampu terima. Biarlah kekal dengan tujuh huruf ejaan Izanor saja. Tapi, Izanor apa? Okey, guna nama ayah sendiri. Tak perlu susah-susah fikir lagi.


Mawar Biru?


Nama Izanor memang tiada maksud di sebaliknya. Namun, Izanor sangat dekat dan akrab sebab itu panggilan kawan-kawan sejak sekolah rendah hingga menengah. Selepas tamat sekolah, jumpa kenalan pelbagai kategori dan kelompok, panggilan nama lebih meluas dan tidak terhad kepada Izanor lagi.


Ya, ada yang kata nama Izanor terlalu panjang. Tiga suku kata. Sukar mahu menyebutnya. Ramai orang yang bergelar IZA. Begitu juga NOR. Jadi, rasa lebih istimewa bila dipanggil dengan nama penuh: Izanor.

 
Apa pun, tak berkira dan tak mungkin berwajah masam jika ada yang menegur dengan nama pendek. Jangan risau, Kak Izanor tak akan membatu atau berlakon jadi tunggul kayu bila diseru Kak Iza mahupun Kak Nor. Hehehe!

 
Izanor Sharif. Maksud nama Sharif merujuk himpunan nama-nama indah dalam Islam ialah jujur. Izanor mahu jujur dalam kehidupan. Jujur dalam berkarya dan memberikan penulisan yang bermakna buat semua pembaca.


Senyum-senyum bunga!


Itu Mawar Biru pin tudung RM5. Teruja beli di Uptown JB. Esoknya terus pakai dan sebelum naik kereta suruh adik tangkap gambar. Semata-mata sebab Mawar Biru. Sedondon dengan tudung. Nyaris tenggelam bentuk dan kelopaknya yang cun.