Friday, June 8, 2012

Dia Punya Cerita (Esei Penuh Memori Izanor di Tingkatan Lima)


Memang sejak dulu lagi. Bila? Sejak azali agaknya. Sejak kaum kerabat dinosor hidup lagi dalam dunia ini. Saya benar-benar tidak suka, benci dan bosan dengan subjek yang satu ini. Memeningkan kepala dan menyeksa urat-urat otak. Bukannya saya seorang, ramai lagi yang tertekan dan terdera dengan subjek yang tahap kesukarannya sangat mencabar emosi (bagi sayalah). Namun, mereka semua itu sekurang-kurangnya ingin juga belajar, buat latihan, dan rajin berusaha. Saya? Huh, kosong bin tiada!

Semasa di sekolah rendah, saya masih kategori budak baik. Semua kerja sekolah gerenti siap. Keputusan ujian mesti dapat markah 80 ke atas. Tidak ada apa yang menghairankan! Kacang rebus! Hmm… setakat itu sahajalah kenangan terindah yang saya ada.

Minggu kedua sesi pembelajaran tingkatan satu, masalah bermula! Ah, sudah! Satu habuk pun tidak tersangkut dalam minda. Setiap kali berperang dengan kertas peperiksaan, hasilnya pasti gagal! Guru yang dipersalahkan sebab mengajar perkara susah. Bermula dari saat itu, saya mengucapkan selamat tinggal buat subjek ini.

Kehidupan tingkatan dua menjelma. Saya langsung tidak ambil peduli tentang subjek ini. Kebiasaannya, semasa guru beria-ia membuat penerangan, saya hanya fokus kepada dua perkara. Tidur-tidur ayam atau berbual sakan. Ya, sungguh berani saya bersikap buruk. Tambahan pula dianugerahkan guru yang lemah lembut, alahai… bahagianya hidup!

Catatan ketika di tingkatan tiga. Semua latihan ditanggung beres. Fotostat bulat-bulat! Saya memang tidak tahu buat sendiri. Detik guru mengajar, mata saya sikit pun tidak berkelip memanah ke arah papan hitam. Kononnya, menumpu sepenuh perhatian, padahal tiada satu contoh pun yang saya faham! Lakonan sebegitu terpaksa dilakukan kerana pelajar-pelajar yang lain semuanya bersemangat waja hendak belajar.

Saya sahaja yang tersesat lorong! Sewaktu PMR menjelang, saya selesaikan setakat yang mampu. Selebihnya bagi kertas soalan objektif, saya hitamkan sesuka jari dan mata pensil. Pada kertas soalan subjektif pula, saya hanya jawab beberapa soalan yang tidak ubah seperti di sekolah rendah. Baki yang lainnya terbiar kosong. Saya tidak rasa terkilan walau secuit! Selepas keputusan peperiksaan diterima, saya terasa mahu cucuk mata dengan garpu menatap slip di tangan. Saya meraih objek bulan sabit kurus! Ya, jelas terbukti markah yang melayakkan saya mendapat C. Adakah ia sejenis lawak antarabangsa? Geografi yang saya tekuni sehingga bermata panda hanya mendapat D?

Tingkatan empat…
Hore! Saya ditukarkan kelas dan bertemu kembali teman sekepala. Namun, disebabkan guru kali ini bermata helang dan hobinya pula memeriksa buku latihan para pelajar, terpaksalah saya menyiapkan tugasan kerja rumah juga. Aci main salin buta-buta sahaja! Semasa hari peperiksaan saya tidak pergi. Bersantai di rumah, dengar radio lagi seronok!

Semua ini memang gila! Jangankan orang lain, saya sendiri susah hendak percaya. Saya langsung tidak ada hati pada subjek ini. Tuhan sahaja yang tahu betapa seksanya saya setiap kali berpura-pura minat sewaktu guru mengajar. Terasa seperti digelek dengan tayar jentolak! Subjek ini bukannya senang. Bukan calang-calang orang mampu takluk puncak markah. Ia akan jadi senang jika kita faham dan memperbanyakkan latihan. Sudah tentu mesti rajin, saya pula… malas! Saya sedar dan tahu bahawa subjek ini penting demi masa depan. Namun, entahlah… Matematik? Matematik! Dengar namanya sahaja saya sudah cukup benci. Sakit seluruh jiwa! Jika diberi pilihan, Matematik adalah subjek pertama yang akan saya singkirkan dari senarai matapelajaran sekolah menengah. Semua orang tahu itu adalah perkara yang mustahil. Oh sedihnya…!

Teman-teman seperjuangan yang sehati dan sejiwa sudah kering air liur dalam usaha memulihkan diri saya. Mereka kata, “Entah apalah yang akan jadi pada awak?” Saya buat tidak kisah sambil terus goyang kaki dan jari. Mujurlah ibu bapa saya tidak tahu. Jika perihal anaknya yang sudah benci separuh nyawa pada Matematik diketahui mereka, silap hari pasti dimasak lemak cili api!

Itu semua cerita lama. Tup! Tup! Minit-minit berlari pantas. Tanpa sedar, saya adalah antara calon yang akan menduduki kerusi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini. Baru sekarang rasa gerun! Saya mula menyesal lalu terhegeh-hegeh mahu berubah sikap. Bayangkan hendak ulangkaji semula semua tajuk, formula dan jalan kira-kira yang diabaikan sejak dari tingkatan dua? Emosi saya hanya tuhan sahaja yang tahu. Andai masa mampu diundur, tidaklah saya segerun ini.

Saya bersemuka dengan guru Matematik. Saya ceritakan masalah dan dilema yang dihadapi. Puan Fazilah memang baik budi. Dia beri saya nasihat dan semangat. Puan Fazilah juga asalnya tidak menyukai subjek Matematik. Pelik, alih-alih jadi guru Matematik pula! Saya terhairan-hairan mendengarnya. Menurut Puan Fazilah lagi, disebabkan ingin berjaya, siang dan malam dia bertungkus lumus belajar mendekati Matematik. Pesan Puan Fazilah pada saya…
“Awak sudah beritahu situasi ini, awak mesti rajin. Masih sempat lagi, sekarang bulan Februari. Saya yakin awak boleh buat!” Uwaa… saat itu hati saya tersentuh dan terasa mahu menangis!

6.45 am. Mentari pagi masih segan silu menampakkan sinarannya. Pemandangan yang indah! Saya amat kagum melihat alam ciptaan tuhan. Sesungguhnya, saya bersyukur kerana masih bernafas bagi menikmati suasana yang begitu mendamaikan ini. Hidup ini singkat! Saya tidak sepatutnya mensia-siakan apa yang dianugerahkan oleh tuhan. Saya pejamkan mata beberapa saat. Bayangan wajah ibu dan ayah saya muncul! Oh, saya sayangkan mereka berdua! Dua insan yang banyak berjasa dan berkorban. Saya tidak mahu mengecewakan mereka. Sekiranya saya terus begini, saya tidak akan mencapai apa-apa. Saya harus mengubah pandangan terhadap Matematik. Saya mesti belajar bersungguh-sungguh, berusaha sedaya-upaya dan akhirnya menjalani peperiksaan. Semoga impian saya jadi kenyataan. Amin~

2 comments:

Outbound di malang said...

Nice blog :)
salam kenal sobat :)
di tunggu kunjungan balik.nya ya !terimakasih ...

Ayna Najla said...

Saya pun tak suka matematik.. x suka sbb kena ingt formula...mmg x suka..tp suka kalu mengadap buku sejarah, geo dll...lagi suka bila mhadap novel tebal...:)