Thursday, May 13, 2010

Penulis, Telefon dan Idea

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Ini cerita dua minggu yang lalu. Mungkin sudah agak lewat, tapi masih juga Izanor mahu mengisahkannya buat para pembaca. (Ala... mengaku sahajalah mahu mengadu. Mengisahkan konon! Hehehe)

 
Sabtu bersamaan dengan 1 Mei. Hari Buruh yang bertanggungjawab terhadap peristiwa itu. Peristiwa apa? Jeng, jeng jeng!

Sony Ericsson kesayangan telah hilang dari pandangan. Isk, isk...


Ya! Izanor kehilangan telefon yang belum mencecah dua tahun jagung usianya semasa pergi kenduri di rumah seorang teman rapat. Apa boleh buat? Hanya setakat itu jodoh perhubungan 'pemilik dan telefon' di antara kami.

Agaknya, Sony Ericsson sudah bosan dengan Izanor yang selalu mengabaikannya. Sony Ericsson kecil hati kerana Izanor lebih suka bertegur sapa dan bermain dengan keyboard laptop tanpa mengendahkan badan keypadnya. Sikap Izanor yang hanya mencari Sony Ericsson ketika mahu mengunci jam loceng semata-mata sememangnya tidak wajar.

Sebaik Izanor terjaga dari tidur atas khidmat yang dicurahkan oleh Sony Ericsson, Izanor akan kembali kepada laptop. Terus menghidupkan suis laptop dan berjam-jam menghabiskan waktu bersama. Apabila sudah kepenatan dan mahu melenakan mata, barulah bantuan Sony Ericsson diperlukan. Oleh itu, disebabkan segala penyebab yang menyeksakan lagi merana, Sony Ericsson pun membuat keputusan meninggalkan Izanor. Al-kisahnya~


Adakah teori sebegitu boleh dipercayai? Terpulanglah! Lalalalala;)


Sebenarnya, kehilangan telefon bukanlah sesedih mana. Rasa kecewa dan terkilan memang ada. Tapi, hanya di tahap biasa-biasa. Apa yang lebih menyedihkan ialah... kehilangan semua kandungan yang terdapat di dalamnya.


  • Kotak idea (terdapat beberapa idea yang tersimpan dalam fail draf. Idea tentang apa sahaja yang terlintas. Boleh digunakan untuk masa akan datang mengikut kesesuaian tema penulisan. Kebiasaannya, idea itu akan dimasukkan ke dalam laptop. Tapi itulah, belum sempat berbuat demikian idea telah terkubur bersama telefon yang entah di mana)

  • Nombor telefon rakan dan kenalan. Izanor hanya ingat dan hafal kurang dari sepuluh nombor. Alahai, sayang sangat.

  • Gambar-gambar yang menghuni My Picture. Sama ada yang dirakam sendiri atau dihantar oleh rakan-rakan. Lagi sekali, sayang sangat juga!

  • Alamat rumah, pejabat mahupun laman web yang penting-penting

Hmm, tak mengapalah. Walaupun kecewa, sedikit kesal dan terkilan dengan idea-idea yang berterbangan... Izanor akur atas apa yang terjadi. Semoga kehilangan ini menjadi garis permulaan kemunculan idea-idea baru yang lebih hebat dan mencurah-curah. Berusahalah! (Mengenggam penumbuk)


Patah tumbuh, hilang berganti. Telefon lama pergi, hadir telefon baru. Sebelum mengundur diri, saksikanlah bahan bukti yang terpapar di bawah ini. Semoga pembaca-pembaca sentiasa ’cool’ tidak kira apa jua dugaan yang dilalui. Senyum-senyum bunga, semua! Sampai kita bertemu lagi (^_^)



Julai 2008-Mei 2010 : Si Lama yang terasa diabaikan, merajuk dan hilang.



Mei 2010: Si Baru ini milik adik yang mempunyai dua telefon. Ya, Izanor gembira kerana ada jam loceng yang mampu menganggu dan mengatur kehidupannya seperti biasa. :D


Nota: Tujuan catatan ini dihebohkan bukan untuk minta simpati. Tetapi, sekiranya sebuah telefon baru muncul sebagai hadiah... semestinya tidak akan ditolak dan diterima dengan senyuman yang melebar hingga ke telinga. Hohoho:P Gurauan semata-mata, okey! (~_v) 

2 comments:

eMi mLi said...

No telefonku 019-933... sambunglah sendiri :p

Izanor said...

Dail-dail tak dapat :D