Thursday, November 4, 2010

Fujitsu Hitam Menawan Kalbu

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Kredit gambar: Facebook AinMaisarah


Sesiapa yang sering mengikuti setiap catatan dalam bilik biru ini pasti mengetahui masalah laptop Izanor yang sering sakit-sakit. Sudah dihantar ke klinik tetapi, masih juga sakitnya tidak sembuh-sembuh! Oleh itu, Pengurus yang prihatin dan AinMaisarah yang baik budi telah memberikan Izanor sebuah laptop baru.


Izanor amat terharu dan menghargainya! (T__T)


Fujitsu nama diberi. Laptop kelahiran Jepun ini telah berada di pangkuan Izanor sejak Selasa minggu lalu. Maka, genaplah sepuluh hari ia jadi saksi temujanji Izanor bersama Alakudin, emel yahoo, facebook, dan beberapa laman web yang lain.

Sesungguhnya, Fujitsu diberi layanan kelas pertama. Plastik yang membaluti muka skrin masih tidak dibuka. Begitu juga plastik kulit di bahagian atas (mungkin boleh disebut kepala laptop). Setiap kali tamat tugasan, Fujitsu akan disimpan selamat dan selesa ke dalam kepompongnya (beg laptop) semula. Izanor tidak sesekali membiarkannya terpampang atau terbentang tanpa makna. Sekadar berhenti rehat kurang satu jam pun, ketebalan dan kemampatan dinding beg pasti melindungi Fujitsu.

Ya! Izanor menjaga kebajikan Fujitsu dengan begitu rapi. Sangat-sangat skema! ;) Semua itu dilakukan demi memastikan Fujitsu kekal sihat dan cergas. Izanor harap Fujitsu tercegah dari sebarang penyakit. Terselamat dan kebal menghadapi serangan virus-virus yang berleluasa.


Semoga menulis berjuta-juta perkataan. Chaiyok! Chaiyok!


Itulah kata-kata azimat yang diucapkan Kak Ain kepada Kak Izanor selepas Fujitsu bertukar tangan. Wah… berjuta-juta perkataan? (Bayangkan taburan huruf-huruf yang melintas dan berlari-lari di hadapan mata!) Sebagai sahabat dan mentor yang dihormati, pesanan berharga itu Izanor kunci dalam kotak hati.


Senyum-senyum bunga. Sampai kita bertemu lagi ;) 

2 comments:

eMi mLi said...

Wah, kalau berjuta2 huruf mungkin saya boleh buat kut. Hehe.

Izanor said...

Rasanya purata sebuah novel dalam 30 ribu patah perkataan... darab berapa agaknya cecah sejuta? ;)

Berapa buah novel yang mampu ditulis demi mencapai rekod berjuta-juta perkataan? Sungguh jelas Matematik penulis yang lemah kerana asyik bertanya soalan!