Tuesday, August 9, 2011

Catatan Ramadhan 1: Alas Meja Merah Cool

Tadaa!


Al-kisahnya hari pertama puasa-lagi setengah jam sebelum masuk waktu berbuka, baru tersedar yang meja makan tidak berlapik dengan moleknya. Sejarah hari-hari biasa kami sekeluarga jarang menggunakan meja ini untuk makan. Ada satu lagi meja bulat di dapur yang sering dijadikan tempat berkumpul. Walaupun meja di dapur hanya mempunyai 3 kerusi, langsung tak jadi masalah buat penghuni rumah yang waktu makannya sungguh tak sehaluan. Ada yang suka makan cepat. Ada yang lambat balik ke rumah maka akan jadi orang terakhir yang makan. Ada juga yang diet langsung tak ingin makan malam. Oh! Tiada istilah makan tengahari kerana memang tiada siapa di rumah waktu siang hari antara jam 12.00 hingga 2.00pm. Kecualilah pada hujung minggu, itu pun jika tiada kenduri-kenduri.


Berbalik pada cerita asal, meja makan utama yang memuatkan 8 kerusi tiba-tiba jadi penting dan tidak lagi sekadar jadi penempatan adik bongsu membina bangunan dengan buku-buku sekolahnya. Hanya ada alas kain yang kuning itu semata-mata tanpa ditemani alas plastik. Bahaya! Atas faktor cara makan yang tak berapa tertib, alas plastik amat diperlukan sebagai pembenteng taburan nasi mahupun tumpahan kuah yang dijangka berleluasa. Maklumlah, aktiviti mengisi perut tanpa memikirkan masa depan si alas meja. Hmm!


Alas plastik yang sepatutnya bertindak sebagai 'bodyguard' si alas kuning sudah lama terhumban (dihumbankan) kerana fizikalnya yang koyak-koyak tak mampu diterima lirikan para tetamu. Alas plastik yang baru nampaknya masih belum berpeluang menunjukkan kehebatannya. Masih terpamer dan tergulung di kedai-kedailah jua.


Hendak dijadikan penyedap cerita, alas mengkuang yang dulu berjasa juga kini hilang entah tersorok di sudut mana. Mungkin terhimpit di bawah susunan kotak-kotak dalam stor sana. Kotak-kotak bersaiz XXL yang memang hati tak kuasa mengangkatnya.


Dalam keadaan lagi setengah jam hendak berbuka, emak mencadangkan satu pembaharuan. Satu sejarah tercipta! Sejenis alas meja yang boleh tahan unik dan cool rupa bentuknya terpilih. Selepas digunting-gunting lalu terbentanglah empat segi merah yang tersurat tulisan-tulisan putih di bahagian hujung.



Tadaa! Untuk imej yang lebih jelas. Rasa seronok atau sadis, ya?


Ada sesiapa yang berminat? Kita perasan cool sangat guna alas meja terkini, entah-entah ramai lagi yang sudah cipta sejarah yang sama di rumah masing-masing. Hari ini sudah hari ke 10 kita berpuasa, kan? Maknanya sudah sepuluh hari jugalah si merah itu berbakti di sana.

Sampai bertemu lagi. Senyum-senyum bunga!

(^_________^)

No comments: